Oleh : Lim Hong Siang [Merdekareview:http://merdekareview.com/bm/news.php?n=10574]
Tiada kepastian sehingga hari ini bahawa krisis Perak akan dibubuh noktah dengan penghakiman Mahkamah Persekutuan yang bakal diumumkan pada 9 Februari 2010. Apa yang pasti, Februari tahun ini tidak kurang "berkocak"-nya berbanding Februari 2009, melihat kepada isu demi isu yang beratur menunggu masa untuk diletupkan.
Perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim dan inkues tragedi kematian Teoh Beng Hock telah dijadualkan pada awal bulan Februari, sebelum diberi kata dua "siapakah Menteri Besar Perak yang sah" pada 9 Februari. Desas-desus mula tersebar, meramalkan pembubaran DUN Perak dalam masa yang terdekat.
Pada masa yang sama, kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor yang menjadi sasaran selepas Perak, juga diuar-uarkan bakal ditumbangkan. Khabar ini tercetus sejak tahun lalu, meletakkan 16 September 2009 sebagai saat letup-hancurnya kerajaan PR, yang kemudiannya ditundakan kepada Januari 2010.
Biarpun khabar sedemikian disifatkan sebagai "perang psikologi" oleh mereka yang tidak mempercayainya, namun ia tetap mencungkil saraf PR, sehingga Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim sendiri turun ke gelanggang negeri darul Ehsan ini untuk menghalang impian UMNO-BN daripada menjadi "kenyataan".
Bubar DUN Perak?
Sindiran "1Malaysia, 2Perak" menjadi tamparan sengit kepada Perdana Menteri Najib Abdul Razak, sejak beliau menerajui kerajaan dengan laungan slogan "1Malaysia". Malah, rampasan kuasa yang mengungkit kemarahan rakyat, sehingga gambar dirinya dipijak ini telah menjadi beban UMNO-BN dalam PRU ke-13.
Berlatar-belakangkan konteks ini, Najib dijangka akan melepas tangan sebelum PRU ke-13. Lebih-lebih lagi, UMNO-BN amat yakin dengan sokongan masyarakat Melayu-nya di Perak, ditambah pula penghakiman kes ini bakal memberi implikasi yang boleh menimpa Najib sendiri, maka UMNO-BN terpaksa memilih untuk berdepan dengan rakyat.
Sama ada Menteri Besar BN sekarang, Zambry Abdul Kadir membubar DUN sebelum penghakiman diumumkan, atau Menteri Besar PR, Nizar Jamaluddin berbuat demikian seandainya dirinya disahkan sebagai "MB halal", akan menjurus kepada pembubaran DUN dan disusuli dengan pilihan raya negeri Perak.
Kes liwat: Perkembangan yang tidak menentu
Empat hari lagi Januari sampai ke penghujungnya. Sembilan hari selepas itu "MB Perak yang sah" bakal dikenalpasti. Seandainya diberi laluan, segala-gala ini akan berlaku di sekitar Februari, setahun selepas krisis Perak bermula.
Di Kuala Lumpur pula, perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim akan berlangsung. "Bahan bukti" yang bakal dihadap ke mahkamah, sama ada "melucukan" atau "menggemparkan", pastinya menjadi isu kempen jikalau pilihan raya Perak diadakan. Malah, untuk berdepan dengan perkembangan yang tidak menentu ini, PR perlu mengerah kepakaran peguam dan sokongan rakyat di ibu negara.
Sudah pastinya, Anwar Ibrahim wajib berulang-alik ke mahkamah sepanjang tempoh perbicaraan. Sebahagian rakan seperjuangannya akan berada di sisinya untuk menghadapi kes mahkamah, sementara sebahagian yang lain pula akan menjelajah ke negeri Perak untuk mengembalikan kuasa kerajaan negeri itu ke pangkuan PR.
Perkiraan ini berdasarkan andaian bahawa DUN Perak dibubarkan. Seandainya ditambah pula andaian pembubaran DUN Sarawak (pilihan raya lalu - Mei 2006), pembahagian kerja antara pemimpin PR akan menjadi lebih rumit.
Bagaimana pula dengan Selangor?
Keadaan sedemikian mungkin membuka ruang kepada musuh PR di Selangor. Sekiranya diteliti rekod kerajaan PR ini, hampir kesemua Exco-nya terjerat dengan tuduhan yang dilemparkan. MB-nya Khalid Ibrahim terperangkap dengan isu "kereta dan lembu"; Exco Senior-nya Teresa Kok pernah ditahan bawah ISA kerana isu azan; Exco yang lain seperti Ean Yong Hian Wah, Ronnie Liu, Yaakob Sapari dan Xavier Jayakumar pula disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM).
Tidak cukup dengan itu, imej kerajaan PR di Selangor dicalitkan apabila gambar peribadi Elizabeth Wong didedahkan pada tahun lalu, dan tuduhan khalwat dilontarkan terhadap Halimah Ali. Malah, ADUN PR yang lain seperti Lau Weng San sebagainya terbelit dengan tuduhan menyertai perhimpunan haram, yang belum tentu nasibnya.
Melihat kepada senario sedemikian, tidak mustahil sekiranya kerajaan negeri PR ini digulingkan, walaupun pernah seketika selesa dengan kedudukan 36-20 kerusi selepas PRU ke-12. Pada November 2009, ADUN Port Klang-PKR Badrul Hisham Abdullah keluar parti sebagai calon bebas yang menyokong BN, merapatkan jurang kepada perbezaaan 14 kerusi, yang cuma memerlukan "penyeberangan" lapan orang ADUN untuk menukar kerajaan.
Kemelut luar dan dalam
Perkembangan terkini semakin tidak menentu, apabila kontroversi penggunaan kalimah "Allah" gagal ditamatkan. Pada masa yang sama, Malaysia digemparkan pula dengan penangkapan 10 orang pelajar ( termasuk 9 orang warga asing) di bawah ISA, sebagaimana yang diakui oleh Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin Hussein pada hari ini.
Namun, kemelut terbesar sebenarnya datang dari dalaman PR sendiri. Zulkifli Noordin (PKR), Hasan Ali (PAS)... antara pemimpin PR yang kontroversi telah dihadapkan kepada lembaga disiplin parti masing-masing. Nasib Hasan Ali dan seorang lagi pemimpin PAS, Khalid Samad akan diketahui minggu ini, sementara tindakan terhadap Zulkifli Noordin pula akan diketahui dalam tempoh sebulan.
Padahal, lidah UMNO telah bersedia dengan retorik yang bakal didendangkan seandainya kedua-dua orang yang menggelar dirinya "pejuang Islam" ini tersingkir dari PR. "Zul Noordin pejuang sejati atau 'duri dalam daging'" tulisan Zaini Hassan yang tersiar di Utusan Malaysia hari ini mempersoalkan, "Apa ini? Bercakap mengenai Islam pun tak boleh? Hendak mengkritik kawan yang menentang Islam pun tak boleh?"
ULASAN :
Bulan Februari adalah bulan pertarungan politik yang paling hebat di abad ini.Pertarungan di antara yang haq dengan yang bathil.Pertarungan di antara hidup dengan mati di antara Pakatan Rakyat dengan UMNO [BN]. Seperti Hang Tuah bertarung dengan Hang Jebat. Salah seorang pasti kecundang.
UMNO dari segi politik tidak boleh menandingi Pakatan Rakyat yang lebih hebat [walaupun berlaku krisis dalaman, tetapi UMNO juga mengalami krisis dalaman juga, tetapi media massa milik dan pencacai UMNO sembunyikan hakikat sebenar]. Kelebihan UMNO yang tidak ada pada Pakatan Rakyat ialah KUASA.
Dengan kuasa inilah UMNO boleh mempertahankan kuasanya sampai sekarang. Kuasa itulah memudahkan UMNO mempergunakan pasukan polis dengan sewenang-wenangnya dan memperalatan sistem perundangan negara di samping institusi-institusi kerajaan [seperti SPR, Jabatan/agensi dan jentera kerajaan] menyokong perlanjutan usia UMNO memerintah Malaysia. Tanpa institusi ini, sudah lama UMNO rebah ke tanah dan telah disemadikan di makam pahlawan di masjid negara.
UMNO akan menghadapi tiga halangan politik yang amat besar yang akan memberi kesan ke atas kelansungan UMNO di negara ini, iaitu pertama kes liwat Anwar Ibrahim, kedua kes rampasan kuasa di Perak dan ketiga kes kematian Teo Beng Hock, Setiausaha Politik kepada anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah.
Ketiga-tiga kes ini, UMNO akan berusaha dengan apa cara sekali pun halal-haram, dosa-pahala tidak akan dipedulikan asalkan dia menang.Jadi pasukan polis [sudah mula tunjuk taring dengan menyekatdan menyempitkan ruang demokrasi bagi menyuarakan pandangan yang berbeza dengan UMNO] dan sistem perundangan negara menjadi sandarannya [telah dibuktikan dalam perbicaraan Mohd Nizar Jamaluddin V Zambry Abdul Kader, Nizar hanya menang satu, yang lain dimenangi oleh Zambry proksi Najib Tun Razak.
UMNO akan tetap menang dalam ketiga-tiga kes ini kerana UMNO masih memegang kuasa.
Bersiap sedialah pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat mencari kaedah atau saluran lain untuk terus menentang UMNO. Kita pasti akan meninggalkan dunia ini, tetapi kita wajib melatih dan mendidik anak cucu kita dan generasi baru agar berterusan menentang UMNO sampai ke hari kiamat.
LAWAN TETAP LAWAN
“UMNO TIADA, RAKYAT SEJAHTERA”.
"SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
1 comment:
apa yang saya cari, terima kasih
Post a Comment