DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Thursday, February 12, 2009

KRISIS ISTANA DAN PENDERHAKAAN

Oleh Wan Fauzdin
Dipetik daripada kaman Marhaen :[http://www.marhaen.org/v1/mar_a_wanfauzdin99.html]


Kisah hikayat Hang Tuah amat terkenal di kalangan orang-orang Melayu meskipun sejarah tidak pernah membuktikan secara jelas kewujudan kononnya Pahlawan Melayu itu. Nama Hang Tuah dikaitkan dengan sifat-sifat ketaatan beliau secara mutlak terhadap Sultannya walaupun kadangkala tindak tanduknya jelas menyalahi hukum agama namun demi Sultan, Hang Tuah rela berbuat apa sahaja. Hang Tuah sanggup menipu Tun Teja yang mencintai dan mempercayainya, asalkan Tun Teja dapat dipersembahkan kepada Sultan. Hang Tuah juga sanggup meninggalkan sahabat-sahabatnya bahkan membunuh Hang Jebat teman karibnya demi perintah Sultan walaupun Hang Tuah sedar Hang Jebat menderhaka kepada Sultan demi membelanya yang dihukum oleh Sultan secara tidak adil.

Hang Tuah tidak harus dijadikan ikutan, begitu juga Hang Jebat tidak wajar dicontohi. Ketaatan yang mutlak Hang Tuah pada Sultan menjadikan Sultan ketika itu lalai dan alpa. Sultan merasakan terlalu berkuasa kerana di belakangnya Hang Tuah sedia berkorban apa sahaja. Akhirnya Hang Tuah menjadi mangsa fitnah, ketika itu terserlah lah sikap Sultan yang merasakan terlalu berkuasa dan mengambil tindakan yang zalim. Hang Jebat meskipun mempunyai prinsip yang lebih mulia sedikit daripada Hang Tuah, tetapi Hang Jebat juga tidak boleh disanjungi walaupun tindakannya mempunyai nawaitu yang baik. Hang Jebat ingin membalas dendam terhadap Sultan yang zalim, tetapi beliau melakukan tindakan yang salah di mana rakyat yang tidak berdosa turut menjadi mangsanya sedangkan Sultan masih bertakhta.

Kisah Hang Tuah dan Hang Jebat seharusnya dipadamkan dari ingatan kita khususnya bagi kita orang-orang Melayu berugama Islam. Kedua-dua mereka tidak wajar dijadikan ikutan kerana akan merosakkan masyarakat dan rakyat keseluruhannya. Sifat yang ada pada Sultan ketika itu juga tidak harus diikuti oleh mana-mana Sultan atau Raja kerana segala tindakan yang diambil tanpa usul periksa, tidak berlaku adil dan tanpa menggunakan kebijaksanaan juga akan turut menghancurkan rakyat jelata. Bahkan, Sultan yang bersikap sedemikian pasti dibenci dan dijauhi rakyat melainkan mereka-mereka yang ingin mengampu untuk mendapatkan sesuatu sahaja. Pengampu dan penghasut-penghasut seperti Pateh Kerma Wijaya lah sebenarnya telah merosakkan nama baik Sultan ketika itu.

Apabila mengingati kembali Hikayat Hang Tuah ini, hanya seorang sahaja tokoh yang boleh diikuti dan boleh kita sanjungi. Tokoh ini adalah Bendahara yang mana beliau telah cuba menasihati Sultan agar jangan bertindak terburu-buru di dalam menghukum Hang Tuah apabila Hang Tuah difitnah membuat curang bersama gundik Sultan di Istana. Namun Sultan tegas dengan titahnya bahkan Sultan menitahkan Bendahara untuk menentukan matinya Hang Tuah. Namun, Bendahara mengambil langkah bijak dan penuh bijaksana kerana menyedari keputusan Sultan itu adalah tidak adil dan zalim. Bendahara tidak ingin bersubahat dengan kezaliman Sultan, lantas beliau menyembunyikan Hang Tuah. Di sini, mungkin ada yang berpendapat Bendahara telah derhaka pada arahan dan titah Sultan. Penulis berpendapat Bendahara tidak derhaka kerana tidak menuruti perintah Sultan sedemikian rupa, bahkan Bendahara mengambil tindakan yang bijaksana. Atas kebijaksanaannya itu lah Sultan berjaya diselamatkan dari takhtanya.

Meskipun Hikayat Hang Tuah ini boleh disangsikan kebenarannya (sebab itu dipanggil hikayat), tetapi dari cerita inilah maka timbul kata-kata seperti "Takkan Melayu Hilang Di Dunia" dan juga " Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah". Banyak pengajaran yang boleh dijadikan iktibar dari hikayat ini. Dalam suasana politik yang berlaku di negara kita ini amat mendukacitakan apabila pihak Istana seolah-olah cuba diheret bersama untuk mencapai cita-cita politik. Maka, timbul persoalan siapakah yang memainkan peranan seperti `Bendahara' yang bijaksana pada ketika ini?

MERDEKA RAKYAT NEGARA PERKASA

“SELAMATKAN RAKYAT SELAMATKAN NEGARA”
‘PROTES SAMPAI TURUN”