Kebenaran yang kabur
Oleh Dr Rahmat [http://mymassa.com/myvoice/SuaraMurba.php]
Oleh Dr Rahmat [http://mymassa.com/myvoice/SuaraMurba.php]
Sebagaimana yang tergambar pada dada media arus perdana minggu lalu, beberapa kolumnis mula meluahkan rasa bosan terhadap kes liwat DS Anwar-Saiful yang meleret pula kepada persepsi liar yang dikaitkan dengan konspirasi politik. Saya tidak melihat individu yang terlibat sebagai mekanisme utama yang membangkitkan fenomena media sedemikian, sebaliknya pihak medialah yang salah membuat ‘priming’ atau memberikan keutamaan yang tidak relevan di tengah-tengah kegenjotan ekonomi dan bahang inflasi dan kemiskinan yang mula terasa.Apabila saya berbual dengan sahabat baik saya Raihan Sulaiman Palestin; dengan penuh kekecewaan beliau meluahkan persoalan ke mana perginya kes kehilangan Sharlinie, ke mana perginya isu bahang kemiskinan yang mula menyerang rakyat akibat kenaikan harga barang, dan mengapa tidak dibangkitkan kemudaratan rakyat yang diterjah oleh inflasi.
Malah semalam apabila saya berbual dengan Prof Hamdan Adnan bekas Pesuruhjaya Suhakam, beliau amat gusar tentang kenaikan harga barang, namun yang menjadi isu bagi Prof Hamdan bukan sangat kerana persoalan ekonomi yang kian meruncing tetapi persoalan jenayah yang meningkat serta gejala sosial yang mendidih. Apabila rakyat miskin, melarat dan lapar, ada antara mereka yang akan sanggup melakukan apa sahaja kerana tuntutan biologi sedemikian. Siapa yang sanggup melihat anak-anak kelaparan, siapa yang sanggup melihat ibu-ayah yang sakit dan seyugia memerlukan wang untuk perubatan, apa yang harus dibuat jika tuan rumah sewa memberi notis keluar rumah kerana sewa tidak lagi mampu dibayar?
Segala rentetan masalah sosial-ekonomi rakyat yang berpunca daripada kenaikan harga petrol dan kenaikan harga barang akan tertuju pula kepada peningkatan kadar jenayah.Namun media arus perdana lebih ghairah mengutamakan isu liwat, dan isu konspirasi politik yang kadangkala amat meloyakan.Walau bagaimanapun kita amat memahami bahawa khalayak media amat teruja mencari kebenaran; dan pencarian itu lebih banyak mendorong khalayak untuk menggeledah media massa. Lalu kadar penonton Buletin Utama atau Berita Perdana meningkat dengan mendadak, lalu kadar jualan surat khabar baik arus perdana, tabloid dan apatah lagi akhbar parti-parti pembangkang, menjadi amat laris. Tapi persoalannya adakah media massa benar-benar beriltizam mencari kebenaran?
Adolf Hitler pernah berkata, “Sesuatu pembohongan pun boleh diyakini kebenarannya jika sering diulangi.” Malah Hitler menambah, “Lebih besar sesuatu pembohongan, maka orang akan lebih mempercayainya.” Kita mempunyai banyak pengalaman tentang taktik propaganda sedemikian; lihat sahaja bagaimana CNN berulang-ulang menyiarkan keruntuhan bangunan WTC setiap minit yang terselit bersamanya penglabelan ‘muslim terrorist’, lalu seluruh jagat mempercayai dakyah sedemikian sebagai benar.
Namun hari ini sudah ada masyarakat Amerika yang mahu menamakan loji najis dengan nama ‘George Bush’; mungkin kerana kebenaran yang diangkat oleh Bush pada Sep 11 sudah dilihat sebagai sama taraf dengan najis. Saya bukan cuba mengatakan ada konspirasi terhadap dakwaan pihak tertentu terhadap kes liwat yang riuh diperkatakan dalam media massa minggu lalu; tetapi jika isu konspirasi itu yang terngiang-ngiang dalam minda khalayak, maka ingin saya katakan bahawa konspirasi boleh berlaku pada kedua-dua belah pihak yang berkonflik.
DS Anwar sekarang mempunyai alasan kuat untuk menangguhkan ‘janji’ beliau bahawa jawatan Perdana Menteri akan jatuh ke tangannya menjelang pertengahan September ini. Namun sebelumnya akhbar-akhbar pembangkang telah mencanangkan perubahan kuasa akan berlaku pada bulan Julai, kemudiannya Ogos dan kemudiannya pula September. Tapi yang pastinya orang rapat DS Anwar mengatakan perancangan mengambil alih tampuk pemerintahan negara pada pertengahan September ini terpaksa ditangguhkan akbibat terbangkitnya tuduhan liwat berkenaan. Lalu ramai yang melihat bahawa tuduhan liwat menjadi justifikasi untuk menangguhkan perubahan kuasa yang dijanjikan oleh DS Anwar.
Pada masa yang sama, tiba-tiba pula kita lihat penyiasat persendirian Balasubramanian mengubah akuan bersumpah (berkanun) awalnya yang amat negatif terhadap DS Najib Tun Razak dan beberapa individu lain yang dikaitkan dengan kes Altantunya. Dan pagi ini akhbar melaporkan pula bahawa DS Anwar telah melaporkan pula kes tuduhan liwat itu pada Mahkamah Syariah, lalu ada pula yang melihat tindakan sedemikian tidak relevan kerana kes itu sedang dalam proses siasatan Mahkamah Sivil.
Justeru media massa yang tertentu serta khalayaknya mula membuat persepsi liar yang terselit padanya fitnah serta tanggapan lain yang sesetengahnya sekadar berasaskan logik politik semata-mata. Namun saya ingin mengulangi bahawa rakyat sudah muak dan loya dengan isu liwat ini. Rakyat mahu pihak media lebih banyak menumpukan perhatian mereka kepada membela kebajikan rakyat dan dalam konteks ini mengekang kenaikan harga barang makanan, dapur dan periuk nasi; kerana kelaparan rakyat akan membawa bencana yang amat buruk.Kadangkala kebenaran yang dicari melalui media dalam konteks senario hari ini amatlah menyangsikan.
Malah kadangkala media lebih suka mengaburkan kebenaran. Walaupun kita tahu bahawa akhirnya kebenaran akan ‘menang’ namun kerap kalinya media amat cenderung untuk menangguhkan kebenaran itu. Malah kebenaran dalam media amat bergantung kepada siapa yang menulisnya, dan siapa yang membacanya (dalam konteks media cetak). Bagi George Bush, Osama Laden sebagai ‘pengganas Muslim’ adalah suatu kebenaran, namun bagi pihak lain Osama Laden dilihat sebagai ‘pejuang Muslim yang menentang kebiadaban Amerika’.
Sebagaimana firman Allah dalam Surah An-Nur (Ayat 19) “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedangkan kamu tidak mengetahuinya.”Malangnya seperti kata Rubin dan Ibbotson (2002:5), “Kewartawanan melibatkan tapisan dan pengeditan maklumat, komentar dan kejadian yang mengubah bentuk dan sifat asalnya sesuatu kejadian itu.”
Dengan itu amat payah untuk kita mencari kebenaran yang tulen dalam media; malah seringkali apa yang kita lihat ialah kebenaran itu sering dikaburkan.Lalu ingin juga saya simpulkan bahawa kebenaran dalam media bukan kebenaran yang mutlak, malah ia boleh digubah mengikut kehendak pihak-pihak tertentu (sila rujuk kembali Surah An-Nur ayat 19); “Allah mengetahui (segala perkara) sedangkan kamu tidak mengetahuinya”.
Malah dalam dunia komunikasi hari ini, melalui medialah kita mengenali konsep-konsep ‘propaganda, bias, pengampang, tapisan-kendiri, kecondongan, keutamaan liputan (priming), penglabelan dan macam-macam lagi. Pernah seorang pensyarah di sebuah universiti di Kentucky, Amerika bertanya saya, “Sebagaimana kita mengenali teknik-teknik menyamun dan merompak daripada seseorang pakar perompak, lalu kita mahu mempercayai perompak itu?” Apa yang penting kita harus berdiri sebagai khalayak media yang kaya dengan pemikiran ‘kritikal dan analitikal’ supaya kita tidak mudah diperbudakkan oleh media massa. Kita boleh menilai kebenaran tetapi kita jangan mudah dipengaruhi
“SELAMATKAN RAKYAT SELAMATKAN NEGARA”
‘PROTES SAMPAI TURUN”
Sekian. Wallahu'alam dan terima kasih
No comments:
Post a Comment