DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Thursday, June 26, 2008

KENAIKAN HARGA PETROL: SEJAUHMANA RAKYAT FAHAM?

Oleh : Dr Rahmat Ghazali

Rata-rata rakyat marhaen yang membina komposisi terbesar warganegara serta komposisi pengundi tahu bahawa negara memiliki Petronas. Rakyat tahu bahawa Petronas memberikan sumbangan terbesar kepada budget negara; 65% keuntungan Petronas diambil oleh kerajaan dan jumlah itu menyumbang kira-kira 35% daripada keseluruhan budget tahunan negara (sebagaimana dinyatakan oleh Tan Sri Mohd Hassan Merican pada 17 Jun).

Menggunakan logika matematik maka rakyat melihat bahawa kenaikan harga petrol juga menguntungkan negara; maka dengan itu mengapa harga petrol di negara ini harus meningkat sekiranya keuntungan yang diperoleh juga meningkat?

Lalu rakyat mencari justifikasi dengan melihat negara Venezuela, sedangkan rakyat tidak arif tentang berapa tong petrol sehari yang dikeluarkan oleh negara itu dan berapa tong pula dikeluarkan oleh negara kita (Petronas; 700 ribu tong sehari dan Venezuela; 4 juta tong sehari).

Isu kedua, rakyat juga tidak dapat menerima kenaikan harga petrol yang mendadak yang dibuat oleh kerajaan; mengapa harus naik 40% mendadak untuk petrol dan 63% untuk diesel? Mengapa kenaikan itu tidak dilakukan perlahan-lahan supaya keperitan kenaikan petrol itu tidak dirasakan secara mendadak juga. Dalam sukan tinju, ia seperti satu pukulan TKO yang membunuh.

Ketiganya, sebelum tarikh 5 Jun (tarikh kenaikan harga petrol) pihak kepimpinan tertinggi negara telah meuar-urakan bahawa harga petrol tidak akan naik sehingga menjelang Ogos, tetapi esok-lusa setelah janji sedemikian diumumkan, media massa mengejutkan rakyat dengan berita sedemikian.

Rakyat seperti dipukul dua tiga kali dengan pukulan yang amat kuat: pertama kenaikan harga petrol yang tinggi, kedua kenaikan yang diumumkan secara mengejut dan ketiga rantaian implikasi yang amat menakutkan – inflasi, meningkatnya harga barangan dan makanan dan rakyat mula merasakan bahang kemiskinan. Semuanya ini datang bertubi-tubi dengan kenaikan harga minyak masak, kenaikan harga beras, tak lama lagi tarif elektrik dan kita pasti ia akan merebak kepada bahan makanan yang lain sama ada secara sedar dan tidak disedari; gula, tepung, ikan, sayur, roti, dan susu.

Malah pada setakat rencana ini ditulis, semua harga barang makanan yang disebut itu sudah pun mula naik. Pada petang kenaikan harga petrol diumumkan dan melarat ke sebelah malamnya, saya lihat ramai yang berpusu-pusu ke kiosk petrol untuk mengisi minyak; tindakan sedemikian hanyalah tindakan singkat yang hanya dapat menyelamatkan dua tiga puluh ringgit sahaja. Bagaimana dengan impak kenaikan harga minyak itu pada hari-hari mendatang.

Sedihnya, daripada pemerhatian saya dan rakan-rakan akademik yang lain, pembeli petrol di kiosk itu seringkali memaki hamun dan menyumpah seranah pihak yang mereka tanggapi sebagai bertanggungjawab menaikkan harga petrol itu. Siapa yang dimaki hamun itu?

Entah saya pun tidak tahu, tetapi sekadar dapat meneka siapa yang mereka sumpah seranahkan itu. Malangnya ada di kalangan Menteri yang menambahkan lagi keresahan rakyat apabila dengan terang-terangan mengumumkan bahawa harga petrol akan naik lagi sebelum menjelangnya akhir tahun; mungkin melonjak sehingga tiga ringgit seliter. Apa yang harus dibuat?

Jelaskan kepada rakyat bahawa kenaikan harga petrol adalah fenomena global? Rakyat akan fahamkah? Malah rakyat akan bertanya pula mengapa kita harus tunduk kepada fenomena global sedangkan negara kita dilihat sebagai negara pengeluar minyak juga?

Dalam dilema sedemikian, pihak berhaluan kiri mula membuat janji bahawa jika kerajaan negara ini jatuh ke tangan pembangkang nescaya harga petrol akan diturunkan. Pelbagai rasional dikemukakan oleh golongan sedemikian dan juga pihak pembangkang.

Rakyat marhaen sememangnya suka kepada janji-janji manis yang boleh melenakan tidur mereka walaupun pada siang harinya mereka masih melalui hidup dalam keperitan. Maka dengan janji sedemikian mereka mula melihat justifikasi yang muluk-muluk untuk memberi merit kepada pihak pembangkang dan kontradiknya ia merupakan demerit kepada pihak kerajaan.

Dari perspektif lain, pilihanraya kecil Sanglang, Perlis, pasti akan berlangsung tidak lama lagi setelah pihak mahkamah menerima petisyen parti PAS terhadap keputusan Pilihan Raya Umum Mac lalu. Isu yang pastinya dipergunakan ialah isu kenaikan harga minyak.

Malah sejak semalam dan tersebar dalam media massa pagi ini, heboh pula mengenai komponen parti Barisan Nasional (BN) di Sabah yang dijangkakan akan keluar dari perikatan BN, akan mengusulkan undi tidak percaya kepada kepimpinan tertinggi negara di parlimen. Apakah rakyat yang kecewa dengan kenaikan harga minyak, dengan inflasi, dengan kemiskinan golongan masyarakat kampung dan kota akan berdiri teguh untuk menyokong kerajaan dalam isu ini?

Kadangkala kita boleh membayangkan perasaan dan antisipasi rakyat terhadap isu terbaru ini. Segalanya lebih terasak lagi dengan wujudnya golongan oportunis yang suka melihat perubahan sosiopolitikal di negara ini meskipun perubahan yang dijanjikan itu seringkali kabur dan kelabu.

Walaupun media arus perdana secara tradisinya seringkali menggunakan kuasa pengampang untuk memperlihatkan senario isu sosiopolitikal negara sedemikian dari sudut pandangan yang membina, namun hari ini saya perhatikan keadaan sudah berubah. Kisah-kisah dan sudut pandangan pihak pembangkang juga termuat dan terselit di sana-sini dalam media arus perdana; malah seperti ada agenda tertentu.

Desakan-desakan supaya kepimpinan tertinggi negara mengundur diri juga tidak lagi disorokkan, malah ditambah dengan asakan daripada akhbar tabloid dan akhbar-akhbar berhaluan kiri. Senario sedemikian saya fikir telah membuka ruang kebebasan akhbar dan kebebasan bersuara yang agak signifikan di negara kita sejak akhir-akhir ini berbanding dengan era Tun Mahathir dahulu. Namun persoalannya, apakah implikasinya kepada rakyat, dan negara?

“SELAMATKAN RAKYAT SELAMATKAN NEGARA”
‘PROTES SAMPAI TURUN”

Sekian. Wallahu'alam dan terima kasih

No comments: