DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Wednesday, November 14, 2007

CATATAN DARI MASJID JAMEK

Oleh : Dr.Syed Husin Ali, Timbalan Presiden PKR
Dibawa Oleh : Tun Telanai
Assalamu'alaikum.wm.wt,

Perhimpunan 10 November telah berlalu dan telah mencipta sejarahnya tersendiri. Berbagai pandangan positif dan negatif telah diperbincangkan dari pelbagai perspektif. Walau bagaimana pun ia telah mencapai sasaran dan matlamatnya. Abdullah dan menantunya, Khairy amat terasa bahang penentangan rakyat terhadap SPR yang melaksanakan sistem pengurusan pilihanraya yang tidak adil.

Ikuti catatan Dr.Syed Husin Ali yang mengikuti perhimpunan tersebut dari dekat :
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Apabila keluar dari rumah selepas Zohor semalam untuk bertemu Rosli dan kawan-kawan lain yang berjanji hendak pergi bersama ke perhimpunan Bersih, hati saya menaruh dua kebimbangan.


Pertama, bimbang tidak ramai hadir, akibat gertak Perdana Menteri merangkap Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan ugutan pihak Ketua Polis Negara.


Kedua, berikutan gertakan dan ugutan itu, bimbang pihak berkuasa akan bertindak ganas ke atas peserta perhimpunan. Seorang teman lama mengingatkan saya supaya hati-hati jaga keselamatan. Kami kurang pasti ke mana hendak dituju. Akhirnya kami memilih untuk ke Masjid Jamek, sebab itu paling dekat dengan Dataran Merdeka, pusat pertemuan yang asal. Kami menaiki LRT dan turun di stesyen Pasar Seni kerana diberitahu Lat dan Hasrul bahawa polis sudah berkawal ketat di stesyen Masjid Jamek.


Dari sana kami terus menuju destinasi dengan melintasi bangunan Pasar Seni. Di merata tempat kami lihat sudah banyak kumpulan polis yang berjaga. Kami berjalan terus tanpa gangguan. Hujan sangat lebat. Tetapi kami sudah bersedia dengan payung dan topi. Selain itu saya membawa jaket hujan. Kami berhenti sekejap untuk menukar pakaian dengan baju-T Bersih berwarna kuning. Jalan menuju ke Masjid Jamek sudah penuh sesak dengan manusia - lelaki perempuan, tua muda dengan pelbagai warna baju, selain warna kuning. Semakin menghampiri masjid itu, semakin luas melaut warna kuning. Saya anggar lebih 6,000 orang sudah berhimpun di dalam dan luar masjid. Kami dengar seramai itu juga sudah berada di Masjid Negara, Sogo, Masjid India dan kurang sedikit di Pasar Seni.


Hujan lebat


Saya lihat juga beberapa buah trak FRU dan berpuluh, jika tidak beratus anggota polis berkawal dengan senjata dan perisai. Mereka menyekat semua jalan yang boleh menuju ke Dataran Merdeka.


Jalan basah kerana hujan lebat dan nampak buih-buih, agaknya bekas air pancut berkimia dan “bom gas” yang ditembak dari trak-trak tersebut. Saya menghidu bau gas dan mata merasa sedikit pedih.


Seorang yang berdiri dengan kawan-kawannya di sebelah saya, tanpa ditanya berkata dengan pelat Kelantan, “Mereka baru bede (bedil) tadi. Wah, tok leh benapah (bernafas).” Keadaan waktu itu kelihatan tenang. Hujan semakin lebat - hujan rahmat yang dapat mengurangkan kesan buruk gas pemedih mata. Kami diberitahu bahawa beberapa orang sudah dicekup polis. Kemudian, perlahan-lahan perwira Bersih - kebanyakannya anak muda - mulai mengasak laksana gelombang kuning ke arah tembok pertahanan polis.


Laungan “Allahu Akbar” dan “Lailaha illallah” bergema. Semangat naik dan lebih ramai mara. Yang berteduh dalam masjid pun mulai keluar. Yang tinggal cuma beberapa orang perempuan berumur dan kanak-kanak. Pihak polis bedebah membalas dengan menghujani tembakan air pancut dan juga “bom gas” yang disasarkan rendah-rendah. Ada yang kena kaki atau badan sesetangaha peserta. Saya tidak boleh bernafas, mata pedih susah dibuka. Saya terlupa membawa tuala kecil, walaupun sudah mengingatkan diri sebelum bertolak dari rumah.


Saya basahkan sapu tangan dan menutup hidung. Di sekeliling ramai yang berundur, kebanyakan berjalan dengan teratur dan sedikit saja yang berlari, sambil terbatuk-batuk. Saya rasakan gas kali ini lebih teruk daripada yang pernah saya alami dalam beberapa perhimpunan sebelumnya.


Tembakan 'bom gas' Ada seorang mengedarkan garam untuk dikemam dan kawan-kawan saya mengatakan mereka merasa lega selepas itu. Bila merasa boleh bernafas seperti biasa semula, ombak kuning yang terdiri daripada sebahagian rakyat yang berkumpul di tepi jalan, bergerak semula.


Sekali lagi mereka menemui serangan dari pihak polis dan tembakan pancutan air dan “bom gas” dari trak mereka. Kami berundur semula. Kami dengar ada lagi yang kena pukul dan ditangkap. Saya teringat kepada keganasan polis semasa siri demo Reformasi kira kira 10 tahun dulu, walaupun tidak seteruk itu. Suasana tenang semula. Kami mendapat berita bahawa keadaan di tempat tempat lain tidak seburuk di Masjid Jamek. Kami dengar juga perarakan dari Masjid Negara, Sogo dan Pasar Seni sudah bermula menuju ke Istana Negara. Ramai pemimpin parti dan badan bukan kerajaan (NGO) ikut serta dalam perarakan itu.


Saya dengar beberapa orang pemimpin dari Masjid Jamek, termasuk Dr Hatta Ramli, Shamsul dan Dr Badrul Amin sudah cuba meloloskan diri untuk ke Istana Negara juga. Saya dan kawan-kawan mengambil keputusan untuk tidak bergerak, selagi masih ramai belum pergi. Tidak lama kemudian tiga orang pegawai FRU meminta untuk menemui wakil-wakil perhimpunan rakyat di situ. Mereka memberitahu, polis akan memberi laluan jikalau yang berhimpun membuka baju kuning mereka dan terus balik. Wakil-wakil yang muncul secara spontan menolak tawaran ini.


Ada sebilangan kecil yang mengambil peluang berundur. Tetapi majoriti terus bertahan di Masjid. Di depan Istana, ramai sudah berkumpul, kebanyakannya adalah mereka yang terus menuju ke sana.


Anwar telefonKami dengar dari teman-teman yang sudah sampai depan Istana bahawa perhimpunan di sana semakin besar. Sdr Anwar Ibrahim menelefon, mengatakan jalannya ke Istana banyak disekat dan oleh itu beliau mengambil keputusan untuk naik motosikal ke sana.


Beliau memang sudah banyak pengalaman menjadi pembonceng dalam keadaan sesak seumpama ini. Beliau selamat sampai dan khabarnya mendapat sambutan gemuruh. Pada masa itu saya melihat Sdr Fuziah menasihat beberapa orang supaya bergerak dari Masjid Jamek ke Istana Negara. Saya dan kawan-kawan pergi dari satu kumpulan ke kumpulan lain, menasihat supaya mereka keluar dengan alasan hendak balik, tanpa buka baju kuning, tetapi mesti melencong ke Istana.


Saya dapati ramai daripada mereka datang dari Kelantan, Pahang dan Johor. Mereka tidak tahu jalan ke Istana. Kami meminta mereka cari orang yang tahu dan ikut saja. Apabila mereka sudah bergerak, barulah kami mengikut jalan Masjid India dan lepas itu terus melalui Taman Tasek. Kami melalui sisi Dataran Merdeka dan melihat ia dikawal begitu ketat. Kami terus menuju ke Masjid Negara, akan tetapi dekat Daya Bumi, kami disekat oleh FRU dan trak-trak merah mereka. Beribu-ribu berkumpul dekat Daya Bumi dan Pos Ofis Besar. Kami menunggu jikalau ada arahan. Tidak lama kemudian Lat menelefon memberitahu bahawa perhimpunan yang dianggar seramai lebih 30,000 di depan Istana Negara, sudah mulai beredar pulang ataupun menuju ke Masjid Negara. Memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sudah diserahkan oleh delegasi termasuk Anwar, Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.


Kemudian Anwar menelefon saya pula, menasihat semua kumpulan beredar pulang secara aman. Susah hendak mendengar suaranya oleh sebab ketika itu sebuah helikopter polis terbang rendah di atas kami.


Memang berjaya


Saya sampaikan kepada kawan-kawan pesan Anwar, dan mereka memanjangkannya pula kepada yang lain. Jadi, tidak sempat ke Istana. Akhirnya semua beredar perlahan-lahan secara teratur dan aman. Sampai di stesen LRT, kawasan sesak dengan mereka yang beratur untuk mendapatkan tiket pulang. Ramai berbaju kuning. Mereka bertanya, mengapa sekarang ini tidak ada tiket ulang-alik? Saya jawab, mana pernah kemudahan awam di bawah Umno BN mudah untuk orang awam?


Lantas saya terima SMA Faisal dari sekretariat Bersih, memberitahu 80 orang ditahan di IPK Hang Tuah. Tetapi sudah terlewat dan saya tidak terdaya ke sana. Bila saya tanya Lat, yang berada di sana, dia memberitahu sebenarnya kira-kira 24 orang saja yang ditahan. Mereka dibebaskan selepas jam 10 malam. Pagi semalam, saya baca dalam semua media kenyataan Ketua Polis Negara. Katanya 245 orang ditahan untuk soal siasat. TIdak tahu dari manakah beliau memetik bilangan ini. Hendak menyedapkan hati PM dan menantunyakah bahawa polis bertindak tegas?


Selanjutnya beliau berkata bilangan perhimpunan cuma 4,000 orang saja. Semua media Bahasa Malaysia dan Inggeris yang saya baca memberikan angka yang sama. Cukup setia. Hendak menyedapkan lagi hati pemimpin yang sama juga? Selain itu ada pula yang menyebarkan SMS bohong, kononnya pemimpin-pemimpin PKR tidak turun. Kesemua mereka ini tidak boleh menerima hakikat bahawa kira-kira 50,000 menyertai perhimpunan bersejarah ini.


Pemimpin, ahli dan penyokong semua pihak sama-sama berbasah kuyup di tempat-tempat berlainan, walaupun kebanyakannya berkumpul di depan Istana Negara, untuk memastikan perhimpunan ini berjaya. Memang berjaya. Rakyat jangan dicabar. Kebimbangan awal saya terus lenyap.


"SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMTAKAN NEGARA"
"PROTES SAMPAI TURUN"
Sekian.Wassalam.

1 comment:

:-: :-: äYu äWěSőMě :-: :-: said...

Assalamualaikum...
kenapa pilih nak buat mcm ni?

masa anuar jadi menteri dulu pun bukan ke dia pun banyak kumpul harta??

kenapa semua orang lupa apa yg jadi pada dia?

hairan jugak kenapa keramaian melibatkan agama or perhimpunan maulidur rasul x seramai perhimpunan mcm ni?

saya tak sokong mana2 UMNO ka? Pas Ka? Keadilan ka or apa2 yg sewaktu dengan nya cause semua nya kalau dah ada pangkat lupa agama... !!