DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Sunday, July 15, 2012

UMNO ITU SUDAH TERLALU FAKIR DALAM PERJUANGAN


Oleh : Aspan Alias

Muhyiddin menyeru agar UMNO mempertahankan kerusi Gelang Patah habis-habisan kerana Gelang Patah merupakan kawasan yang menempatkan pusat pentadbiran negeri Johor dan mempunyai infrastuktur yang terbaik di negeri Johor. Di dalam kawasan ini jugalah terletaknya Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan berbagai-bagai infrastruktur terbaik di negeri Johor.


Kenyataan seperti ini yang datangnya dari Timbalan Perdana Menteri dan ianya membayangkan bahawa negeri Johor juga merupakan negeri yang sangat ditakuti oleh BN dalam menghadapi PRU yang akan datang ini. Kenyataan yang membayangkan ketakutan dari pihak BN tidak pernah kita dengar sebelum ini jika ia melibatkan negeri Johor kerana Johor sebelum ini merupakan kubu kuat BN sejak negara mengadakan pilihanraya.

BN dan UMNO di negeri Johor sebelum ini hanya mengambil pilihanraya umum sebagai satu pesta sahaja kerana bak kata orang UMNO semasa parti itu kuat dahulu, 'calon UMNO tidak payah turun berkempen. Hantarkan songkok untuk mewakili calon-calon-calonnya sahaja sudah cukup dan BN akan menang'. Tetapi kenyataan yang datang dari seorang Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan anak Johor ini, amat jelas yang BN di Johor tidak boleh lagi bercakap takbur seperti dahulu. Keadaan sudah berubah dan rakyat lebih fokus untuk mencari pemimpin dan parti yang lebih berguna dari dahulu.

Muhyiddin meminta UMNO dan BN Johor perlu melipat gandakan usaha untuk mempertahankan Gelang Patah daripada ditawan oleh Pakatan Rakyat. Ia bermakna Johor terutamanya di Gelang Patah UMNO sedang berada di posisi defensif di tengah-tengah kemaraan pengaruh Pakatan Rakyat sekarang ini. Jika Gelang Patah yang merupakan kubu tradisi BN Johor sudah berada di posisi defensif, bagaimana agaknya di kawasan-kawasan lain yang lebih lemah dari Gelang Patah?

Mungkin apa yang dikatakan oleh setengah pemimpin-pemimpin UMNO dan BN di Johor yang mereka (BN) kali ini akan hilang sepuluh kerusi parlimen dalam pilihanraya umum yang akan datang itu memang akan menjadi kenyataan. Mungkin itu jugalah sebabnya kenapa Sallahuddin Ayob, naib presiden PAS yang sekarang mewakili kawasan Kubang Kerian mengambil keputusan untuk kembali ke Johor untuk menjadikan impian PR menjadi pemerintah kepada kerajaan Johor menjadi kenyataan selepas PRU yang akan datang ini.

Jika penekanan dan tumpuan kepada kawasan Gelang Patah ini keterlaluan mungkin ada kemungkinan yang Gelang Patah dan beberapa kawasan Parlimen di Johor akan kekal dalam BN dan yang lainnya akan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.

Tidak ada perkara yang tidak menjadi kemungkinan dalam politik negara pada hari ini. Contohnya tidak pernah sesiapa terfikir yang UMNO akan menjadi seperti hari ini; fakir dalam perjuangannya serta miskin dalam nilai dan budaya bangsa yang dipimpinnya.

Itu semualah yang menjadikan UMNO sudah hilang seluruh identitinya sebagai sebuah parti pemerintah yang bermaruah dan berintergriti sehinggakan parti itu tidak akan kebah dari stigma yang terlalu buruk di sisi pandangan rakyat yang ramai.

No comments: