Oleh : Ahmad Lutfi Othman
Mulanya saya minta Hasni Abas, aktivis budaya yang rapat dengan Sasterawan Negara, A Samad Said mengatur pertemuan dengan Pengerusi Bersama Bersih itu, bagi menyampaikan sikap Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) terhadap tuntutan akses media yang bebas dan adil.
Hasni mencadangkan perjumpaan itu di Parlimen, tetapi saya agak keberatan. Sudah lama saya tidak bersepatu dan bertali leher! Beliau kemudian memaklumkan, Pak Samad setuju menerima kunjungan KAMI di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur, 12 April, jam 11 pagi.
Saya membayangkan pertemuan itu hanya membabitkan rombongan KAMI dengan Pak Samad, dan mungkin dua tiga orang lagi AJK Bersih. Rupanya, pagi itu ada sidang akhbar penting -- dengan kehadiran wakil media yang agak ramai -- yang menuntut ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) "meletakkan jawatan dengan serta merta kerana mereka telah melemahkan integriti daftar pemilih dan membiarkan penipuan dalam pilihan raya".
"SPR yang wujud pada hari ini tidak lagi diyakini dan dipercayai rakyat Malaysia," kata Pak Samad membacakan kenyataan Bersih, di hadapan hampir 30 warga media, diapitpenggerak badan gabungan itu, Maria Chin Abdullah, P Subramaniam dan K Amurugam.
Selepas mengemukakan contoh-contoh "penipuan dan kerja jahat yang tidak dapat disorok lagi", beliau merumuskan: "Membiarkan ahli SPR terus bertugas hanya akan menjadikan pilihan raya umum yang akan datang ini terkotor, tidak adil dan tidak demokratik."
Terdapat lebih 400,000 pengundi yang disyaki, yang nama mereka ditemui oleh Malaysian Electoral Roll Analysis Project (Merap), tidak dibersihkan. Beberapa kes penipuan ditimbulkan, di antaranya:
1. Dalam suku tahun terakhir 2011, tiada kematian dilaporkan di bawah Kod 33 di Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, dan Tanjong Karang. Namun demikian, banyak sijil kematian dikeluarkan di tempat-tempat tersebut pada suku tahun itu. (Suku tahun keempat 2011)
2. Pendaftaran dua kali ditemui ketika 15,520 pengundi di Sabah dan 8,585 pengundi di Sarawak didaftarkan semula di Selangor. (Suku tahun pertama 2012)
3. Masih terdapat lebih 15 orang didaftarkan sebagai pengundi dalam sebuah rumah. (Suku tahun pertama 2012)
4. Di Selangor sahaja, sebanyak 7,841 pengundi didaftarkan di bawah Kod 71, code ini untuk warganegara dilahirkan di luar negara. (Suku tahun pertama 2012)
Pengendali sidang media itu, Hishamuddin Rais, sebelum sesi soal jawab, memberi sedikit ruang buat saya sebagai jurucakap KAMI merakamkan keprihatinan terhadap tuntutan memperjuangkan proses pilihan raya yang adil dan bersih.
Selain menyatakan nota sokongan kepada Bersih, dengan menekankan keperluan isu akses media dan tempoh kempen minimum 21 hari diberi perhatian lebih serius -- selaras hak rakyat untuk mendapat maklumat yang komprehensif dan tepat, secara mudah dan cepat, sebelum mengundi -- saya menyokong penuh gesaan agar ahli-ahli SPR meletakkan jawatan.
Sebenarnya saya mula menimbulkan satu peruntukan penting dalam Perlembagaan Persekutuan -- tetapi tidak begitu disedari ramai -- mengenai SPR dan peranan strategik Yang di-Pertuan Agong dalam proses pilihan raya kita sejak beberapa tahun lalu lagi.
Seorang rakan, bekas peguam dan kini pensyarah undang-undang, mengingatkan saya Perkara 114(2) Perlembagaan. Paling akhir saya mengulas hal ini, empat hari sebelum perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011.
Antara petikan tulisan itu adalah: "Sememangnya penggubal Perlembagaan 1957 kita begitu cermat ketika memasukkan Perkara 114(2): "Pada melantik ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu SPR yang mendapat kepercayaan awam."
"Kedudukan Agong yang nuetral dari segi politik membolehkan baginda melaksanakan tugas strategik bagi memastikan SPR benar-benar berwibawa, diyakini rakyat, bertindak saksama dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik."
Saya juga pernah menyinggung siapa sebenarnya Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan lima ahli SPR, iaitu Abdul Aziz Mohd Yusof, Wan Ahmad Wan Omar, Zainal Abidin Mat Said, Jamdin Buyong, Mohamad Ramji Alli, P Manogra, dan Christopher Wan Soo Kee.
Anda boleh membuat penilaian tersendiri terhadap keupayaan ahli-ahli SPR itu, untuk bertindak dengan penuh integriti dan bertanggungjawab, berdasarkan latar belakang masing-masing, seperti tertera dalam laman web www.spr.gov.
Saya kira ahli-ahli SPR itu berdepan dengan krisis keyakinan yang cukup dahsyat, apatah lagi dengan pendedahan mengejutkan bahawa ada di antara mereka itu yang terbabit dalam task force memberikan kerakyatan kepada warga asing, seterusnya mendaftar sebagai pengundi, bertujuan memenangkan BN dalam PRU13.
Elemen penting yang membentuk SPR iaitu "kepercayaan awam" (confidence of the public) sudah dicabuli dengan teruk sekali. Mungkin wajar Bersih menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam waktu terdekat bagi memaklumkan perkara ini kepada baginda.
Selesai sidang media, Pak Samad bangun mendekati saya, merakamkan penghargaan kepada KAMI. Saya juga mengharapkan ada kerjasama lebih spesifik bagi membangkitkan isu tuntutan akses media dan kempen minimum, yang kini tenggelam dengan kontroversi daftar pemilih yang kotor itu.
No comments:
Post a Comment