Oleh : Shahbudin
Husin
Agak
menggelikan hati apabila baru-baru ini menyaksikan Najib yang kini pemangku
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merasmikan Hospital
Bersalin Berisiko Rendah di Putrajaya. Selain merasmikannya, Najib juga
bercakap mengenai kemudahan yang terdapat di hospital tersebut yang dianggap
moden dan terkini untuk kaum wanita melahirkan anak tetapi kadar bayaran yang
dikenakan adalah rendah sekali. Bagi Najib hospital itu menyediakan kemudahan
kelas pertama dengan bayaran hanya pada tahap kelas ketiga.
Apabila
seorang lelaki bercakap mengenai kemudahan-kemudahan untuk bersalin, tentunya
ada perasaan tidak senang di kalangan kaum wanita yang mendengarnya. Cukuplah
tugas lelaki menyebabkan kaum wanita dihantar ke pusat-pusat bersalin dan
melahirkan anak, tetapi 'macho' lelaki akan pudar apabila turut bercakap
hal-hal yang berkaitan dengan wanita dan kewanitaan.
Sejak
melantik dirinya sendiri memangku jawatan menteri yang ditinggalkan oleh
Shahrizat Jalil, ini adalah tugas pertama Najib. Janganlah pula lepas ini,
Najib tergamak hadir merasmikan klinik kanser payu dara atau bercakap di
seminar atau forum mengenai kesuburan wanita, penyakit keputihan dan
sebagainya. Atau hadir melawat hospital bersalin dan menyampaikan jambangan
bunga pula. Meskipun jika setiap kali hadir di program-program berkaitan wanita
ini, Najib tetap ditemani oleh isterinya, Rosmah Mansor tetapi oleh kerana
beliau yang bercakap dan berinteraksi dengan hadirin, persepsi orangramai tetap
agak janggal terhadapnya. Ini kerana sudah menjadi kebiasaan, terutama dalam
masyarakat Melayu, hanya wanita sahaja yang bercakap berkenaan hal-hal kewanitaan
ini. Tidak manis bagi orang lelaki untuk turut campurtangan bercakap
mengenainya juga.
Sejak awal
lagi apabila Najib memutuskan melantik dirinya sendiri memangku jawatan Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ini, penerimaan orangramai agak sangsi
dan menimbulkan pelbagai andaian. Selain ada yang beranggapan ia menggambarkan
ketidakpercayaan Najib terhadap kepimpinan Wanita UMNO, ada juga yang bercakap
bahawa Najib sengaja memangku jawatan itu untuk diisi oleh isterinya. Memanglah
persepsi orangramai tidak dapat dihalang, lebih-lebih lagi bagi sebuah negara
demokrasi seperti Malaysia ini. Semua orang berhak memberi pandangan dan
tanggapan.
Dalam isu ini, jika Najib terus hadir dan
merasmikan pelbagai program yang berkaitan wanita, kemudian bercakap pula
berkenaan hal-hal sulit kaum wanita, 'kemachoan' beliau sebagai lelaki akan
hilang sedikit demi sedikit. Sebagai Perdana Menteri dan lelaki, Najib perlu
dilihat sentiasa 'macho' di mata kaum lelaki dan juga kaum wanita. Dalam hal
ini beliau perlu melepaskan jawatan yang sedang dipangkunya dan menumpukan
kepada tugas hakikinya sahaja. Kalau pun Najib tidak mempercayai sesiapa dalam
Wanita UMNO dan merasakan tidak ada yang sesuai untuk jawatan itu, beliau
sebenarnya masih ada masa untuk melantik isterinya, Rosmah sebagai Senator dan
kemudian memberikannya jawatan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat.
Adalah lebih
baik memberikan jawatan itu kepada Rosmah daripada Najib terus memangkunya dan
biarlah selepas ini isterinya pula merasmikan pelbagai program yang berkaitan
kaum wanita pula. Rasanya Wanita UMNO pun tidak ada masalah untuk menerima jika
Rosmah dilantik ke jawatan itu. Ini kerana bagi kaum wanita di negara ini serta
pertubuhan-pertubuhan wanita, waima Wanita UMNO sekali pun, kehadiran Rosmah
bukanlah begitu asing bagi mereka. Sudah banyak program Kementerian Wanita,
Keluarga dan Pembangunan Masyarakat yang selama ia dipimpin oleh Shahrizat yang
telah dihadiri oleh Rosmah seperti Sidang Puncak Wanita-Wanita Pertama yang
diadakan tahun lalu.
Sementara
itu, dalam beberapa lawatan ke luar negara yang diketuai oleh Rosmah pula, ia
juga difahamkan menggunakan peruntukan Kementerian Wanita, Keluarga dan
Masyarakat dan Shahrizat hanya menjadi pengiring kepada Rosmah sahaja. Kerana
itu, jika Najib melantik Rosmah sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat, ia bukanlah lagi sesuatu yang mengejutkan dan tidak ada sesiapa
yang akan 'terperanjat beruk' dengan perlantikan itu. Najib dalam hal ini harus
segera mengarahkan Perdana Menteri supaya menyegerakan perlantikan Rosmah itu,
sebaik-baiknya dalam masa terdekat ini supaya apabila pilihanraya diadakan,
Rosmah dapat memainkan peranan yang lebih aktif ke arah membawa kaum wanita
negara menyokong kerajaan yang ada sekarang.
No comments:
Post a Comment