Sekadar tunggu disembelih?
Oleh : Ahmad Lutfi Othman
Minggu ini suhu politik tanahair makin membahang dan panas menikam.
Bapa Altantuya Shaariibu, model Mongolia yang dibunuh kejam, Setev Shaariiibu, yang berada di Kuala Lumpur dalam lawatan tiga hari, mendakwa pernah melihat gambar anaknya diambil bersama Perdana Menteri, Najib Razak.
Dua akta primitif, yang mengekang kebebasan bersuara, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), masing-masing dibentang di Dewan Rakyat untuk pindaan dan pemansuhan (tetapi diganti dengan rang undang-undang pencegahan, yang juga dilihat keras).
Apa pun, ramai percaya, tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 tidak akan melewati Jun ini, selepas beberapa kali ramalan tersasar. Najib masih belum kejap hatinya untuk turun ke medan meskipun saban hari berkempen politik menggunakan dana dan kemudahan awam.
Dalam pada itu. setiap program ceramah, debat dan diskusi politik Pakatan Rakyat mendapat sambutan hangat, tidak kira siapa yang mengisinya. "Paling kurang, kutipan derma dapat menampung kos program, tapi selalunya mampu meningkatkan hasil tabung PRU13," usik aktivis PAS Kuala Lumpur.
Di Parlimen, laporan PSC berhubung penambahbaikan proses pilihan raya bukan saja menimbulkan kontroversi ekoran sikap Speaker yang bebal itu, namun suasana menjadi lebih kritikal apabila pelbagai pendedahan membongkar konspirasi membabitkan lebih kurang 11 nama pegawai kanan kerajaan, yang bersedia menjadi "barua Umno-BN" bagi mempertahankan Putrajaya dan merampas Selangor daripada Pakatan.
Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar menyebutkan beberapa nama yang dikatakan terlibat dalam 'task force' untuk memberi taraf kerakyatan kepada warga asing bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya nanti.
"Ini isu serius kerana saya anggapnya seperti menjual negara kepada rakyat asing," kata Mahfuz. "Jika semua ini benar, hak rakyat akan dikuasai warga asing malah masa depan negara turut ditentukan warga asing," tambahnya.
Tentu nama-nama yang disebut itu bingkas menyanggah atau sekadar memberi daleh, "saya tidak tahu apa-apa", misalnya Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Wan Omar Wan Ahmad dan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Mohamed Thajudeen Abdul Wahab.
Mahfuz juga menyebut beberapa nama lain seperti Penasihat kepada Perdana Menteri, Othman Razak, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah JPN beserta tiga pegawai kanannya, dan juga orang-orang penting di MKN dan SPR.
Wartawan Saidah Hairan melaporkan, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, dalam satu taklimat kepada penggerak parti di Selangor, hujung minggu lalu, turut menyebut 11 nama berkenaan. Ia menjadikan senarai daftar pemilih yang ada "begitu kotor dan sukar sekali dibersihkan".
"Mereka buat kerja dengan tersusun. Jika Pakatan Rakyat Selangor kalah, bukan kerana rakyat menolak kerajaan tetapi disebabkan kemasukan daftar pemilih warga asing. Apakah Selangor menjadi negeri ketiga (selepas Sabah dan Terengganu) yang dirampas BN dengan cara begini," katanya.
Sementara itu, Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi respons tegas terhadap mereka yang didakwa terlibat dengan 'task force' ini: "Jangan jadi umpan untuk pegawai kerajaan dapat duit dan pangkat kerana ia hanya sembelih mereka sendiri. Bila bersara nanti, tidak dihormati masyarakat, bila mati akan dikutuk oleh masyarakat, itu nasihat sayalah."
Dalam tinjauan rambang, saya dapat rasai kegelisahan dan kebimbangan aktivis Pakatan, khususnya pendokong PAS. Mereka mahu tindakan segera diambil, dan bukannya sekadar menunggu perhimpunan besar-besaran Bersih 3.0, 28 April nanti.
Harakah sendiri dilihat tidak cukup responsif untuk menelanjangkan komplot jahat "sekumpulan pengkhianat dan penderhaka" yang dibayar imbuhan oleh wang rakyat ini. Ramai pemanggil mendesak saya agar menimbulkan isu 'task force' ini dalam Harakah secara lebih terperinci.
"Kalau begini jadinya, memang Pakatan akan kalah, tapi tewas bukan disebabkan penolakan atau kemarahan rakyat. Ia berpunca daripada kerja jahat Umno. Dan kita kena ingat, ini hanya salah satu daripada perancangan jelik mereka, mungkin banyak lagi strategi busuk yang belum dapat kita kesan," kata seorang pembaca setia Harakah dari Setapak
Saya merujuk pandangan Mohd Khairudin Othman, Setiausaha Perhubungan PAS Selangor tentang isu 'task force' itu. "Hal ini serius ... sebab sesiapa yang dapat IC melalui cara ini, maka nama dia secara automatik masuk dalam senarai daftar pemilih," katanya.
Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hasan dan wartawan kanan, Wan Noordin Wan Yaacob memaklumkan kepada saya rumusan temubual mereka dengan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh, yang mendedahkan usaha terancang strategis Umno memindahkan pengundi ke kawasan yang dikenal pasti berpotensi untuk dimenangi BN.
"Banyak kerusi Pakatan yang bakal terlungkup, termasuk Tumpat," kata Rashidi, merujuk kawasan yang diwakili Kamarudin Jaffar, Pengarah Urusan Harakah. "Dahsyat betul perancangan jahat Umno ini, Pakatan di Selangor mungkin jatuh kalau ianya berjaya," tegas Wan Nordin.
Difahamkan sasarannya lebih tertumpu kepada kerusi yang dimenangi secara majoriti tipis oleh PAS atau KeADILan. Dengan cara itu DAP akan dibiarkan menang dengan kelebihan undi yang besar asalkan BN dapat merebut kawasan bersebelahan apabila penyokong mereka dipindahkan ... (Saya pernah melontarkan kekhuatiran bahawa PAS mungkin akan menjadi parti paling malang dalam PRU13!)
Turut dibangkitkan salahlaku SPR "memperbetulkan" sempadan kawasan pilihan raya tanpa kelulusan Parlimen, satu lagi komplot untuk memenangkan BN, walaupun ia jelas aktiviti yang menyalahi undang-undang, iaitu memindahkan pengundi tanpa izin mereka dan memperbetulkan kawasan pilihan raya Dun mahupun kerusi Parlimen tanpa melalui persetujuan Parlimen.
Saya tertanya-tanya, mampukah Bersih 3.0 pada 28 April nanti "membersihkan" segala kekotoran dalam senarai daftar pemilih itu? Apa yang kita harapkan daripada "Duduk Bantah" itu? Jika Najib dan konco-konconya terus bersikap pekak-badak telinga tebal, apa yang boleh kita cetuskan lagi?
"Takkan nak biar Umno sembelih kita mudah-mudah macam itu saja. Sabah jatuh dengan taktik sama, Terengganu pun seperti itu, mana boleh kita tunggu Selangor juga tumbang dengan komplot jahat di bawah perancangan orang sama," marah seorang pembaca Harakah, dari Terengganu, yang mengaku "tidak dapat bersabar" lagi.
Ketika saya bersama Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) cuba berkempen dan melobi untuk memastikan hak pemilih untuk mendapat maklumat yang komprehensif, tepat dan cepat sebelum mengundi dalam pilihan raya paling sengit nanti, serta mendesak tempoh kempen minimum dilanjutkan kepada 21 hari, isu daftar pemilih menganggu tumpuan KAMI.
"Pakatan juga mesti tekankan bahawa semua pengundi pos, yang menjadi 'simpanan tetap' BN selama ini, mesti ditukar kepada kategori pengundian awal," kata seorang sarjana sains politik, dan tambahnya, "pastikan juga dakwat kekal memang benar-benar digunakan kali ini."
Baca juga artikel di bawah :
Task Force: Umno diam kukuhkan hujjah
Umno = United Myanmar Nepal Organisation
No comments:
Post a Comment