DEMI RAKYAT :

GUNALAH OTAK, GUNALAH AKAL, GUNALAH JARI, GUNALAH PERASAN DAN GUNAKANLAH KESEMPATAN YANG ADA UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN YANG MENGUNTUNGKAN SEMUA PIHAK DENGAN TIADA MENGUNDI UMNO-BN DALAM PRU KE-13

Monday, April 28, 2008

MAHATHIR MENGHINA NASIONALIS MELAYU

Oleh : Rustam Sani : [http://arissani-rustam.blogspot.com/]
[Rencana ini telah disiarkan dalam majalah Detik (1 Julai 1999), dan merupakan reaksi saya[AllahyarhamRustam Sani] terhadap ucapan penutup Mahathir di Perhimpunan Agung Tahunan Umno sebelum itu].


Sehingga kini saya masih tidak tahu siapakah sebenarnya yang menjadi sasaran kemurkaan Dr. Mahathir Mohamad: saya atau Allahyarham ayahanda saya, Ahmad Boestamam.


Dalam ucapan penutupnya pada Perhimpunan Agung Umno yang baru berlalu, Dr. Mahathir telah memerikan ayahanda saya sebagai terlibat dalam “politik tepi jalan” – dan seterusnya dalam nafas yang sama telah menyatakan bahawa saya sendiri tidak ada ubahnya daripada ayahanda saya itu. Mungkin tidaklah terlalu sukar untuk memahami jika Dr. Mahathir tidak begitu senang terhadap saya dalam situasi kerjaya politiknya sedang gawat seperti sekarang ini. Keterlibatan saya dalam gerakan reformasi dan kritikan saya terhadap amalan kronisme, nepotisme dan korupsi di negara ini dalam zaman pentadbirannya tentulah bukan sesuatu yang akan menyenangkan hati Dr. Mahathir terhadap saya.


Oleh itu, saya tidaklah begitu terperanjat jika selain kata-kata yang menghina diri saya pada akhir ucapannya itu, Dr. Mahathir juga telah “mendedahkan” nama saya di kalangan nama-nama para “kroni” Anwar Ibrahim yang telah mendapat manfaat daripada dasar penswastaan dan penganugerahan projek-projek yang diamalkan oleh kerajaan sekarang. Nyatalah bahawa sekali ini saya memang merupakan salah satu objek serangan dan fitnah Dr. Mahathir – meskipun saya tidak akan mendapat kesempatan untuk mempertahankan diri saya melalui media massa arus utama yang begitu kuat dikongkong dan dipasung kerajaan negara ini. Yang lebih sukar saya fahami ialah mengapa kerana kemarahannya terhadap saya itu, Dr. Mahathir merasa perlu untuk menghina dan memperleceh ayahanda saya yang sudah hampir dua dasawarsa meninggalkan kita.




Saya kira tidak wajar baginya menghina ayahanda saya jika beliau berasa kurang senang terhadap saya, kerana beliau sendiri begitu marah kepada Sasterawan Negara Prof. Shahnon Ahmad yang dikatakannya telah menghina ibunda beliau. (Padahal, bagi seseorang yang benar-benar memahami budaya Melayu, perkataan yang tidak disenangi oleh Dr. Mahathir itu adalah kata kesat yang biasanya ditujukan pada seseorang, dan tak ada kena mengenanya dengan ibu seseorang).


Sebenarnya, dengan penghinaan yang telah dilemparkan oleh Dr. Mahathir terhadap ayahanda saya itu beliau juga telah turut menghina dan menafikan sumbangan para nasionalis yang sejenis, seangkatan dan sealiran dengan ayahanda saya. Sedangkan sumbangan mereka itu terhadap mencetuskan perjuangan memperoleh kemerdekaan negara ini (termasuklah usaha membentuk dan melancarkan badan politik Melayu yang kemudiannya dikenal sebagai Umno) sudah diakui oleh para ahli sejarah dan tercatat dalam buku-buku sejarah.


Oleh yang demikian, memang sudah dijangka bahawa para pejuang dari zaman tersebut akan begitu tersinggung oleh sikap sombong dan menghina yang diperlihatkan oleh Dr. Mahathir itu. Lihatlah sebagai contoh nada penulisan kolumnis (penulis lama) Ibnu Muslim di akhbar Harakah baru-baru ini tentang perkara tersebut. Kolum tersebut juga melaporkan bahawa seorang pelopor nasionalisme Melayu dari zaman itu yang banyak berkorban tetapi tidak pernah berkesempatan mengaut untuk dirinya kekayaan negara ini – Ustaz Yahaya Nassim namanya – begitu marah dengan kenyataan Dr. Mahathir itu sehingga beliau menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Dr. Mahathir tentang nasionalisme Melayu.


Memanglah benar perjuangan politik ayahanda saya dan para pelopor nasionalisme Melayu lainnya itu tidak pernah membawa mereka ke tengah-tengah koridor kuasa pemerintahan negara – melainkan telah membawa mereka ke dalam belenggu dawai berduri penjara pemerintahan penjajah untuk puluhan tahun lamanya. Memanglah benar bahawa kerjaya politik mereka tidak sampai ke tahap “kejayaan” yang memungkinkan mereka mengaut kekayaan besar untuk diri mereka sendiri dan seterusnya mengagih-agihkannya secara yang tidak halal kepada para teman, saudara mara dan anak pinak mereka sendiri.


Jika itulah yang dimaksudkan oleh Dr. Mahathir dengan ungkapan “ahli politik tepi jalan” itu, maka anggapannya memanglah benar dan tepat. Namun, apakah itu bererti bahawa ahli politik tepi jalan itu lebih hina daripada ahli politik yang akhirnya berhasil merebut kuasa dan kemudiannya memanfaatkan kuasaan itu demi kepentingan dirinya sendiri menurut cara-cara yang tidak diredai dan diizinkan oleh rakyat?


Dengan penghinaan yang telah dilemparkannya terhadap ayahanda saya itu – dan secara implikasi terhadap para nasionalis radikal Melayu lainnya juga – Dr. Mahathir telah memperlihatkan kejahilannya yang amat menyedihkan tentang sejarah politik dan gerakan nasionalisme di negara ini. Namun dalam hubungan dengan hal ini juga timbul sedikit keraguan kepada saya tentang apakah motif Dr. Mahathir yang sebenarnya: Apakah beliau memang sebenarnya jahil atau sengaja mencuba memutar belit sejarah demi memberikan dirinya monopoli kedudukan sebagai penyumbang gemilang terhadap proses pembentukan negara ini?


Baru-baru ini akhbar Harakah telah mendedahkan bahawa dalam bukunya yang terakhir dalam bahasa Inggeris Dr. Mahathir telah membuat beberapa dakwaan yang sukar diterima dan sukar dipastikan tentang “sumbangannya” sendiri sebagai pelopor beberapa gerakan politik nasionalis awal di Kedah. Tidaklah dapat dipastikan apakah dengan membuat dakwaan tersebut Dr. Mahathir sebenarnya mencuba memperlihatkan bahawa sumbangannya tidak kurang pentingnya berbanding sumbangan tokoh-tokoh yang memang telah diakui sejarah pelopor gerakan nasionalisme Melayu di Kedah, seperti Senu Abdul Rahman dan Mohd. Khir Johari yang jauh lebih tua usianya daripada Dr. Mahathir.


Apakah Dr. Mahathir mencuba memperlihatkan niat dan sikap yang sama terhadap para pelopor nasionalisme Melayu dari golongan kiri seperti Ahmad Boestamam, Ishak Haji Muhammad, Dr. Burhanuddin Helmi, Ibrahim Yaacob dan sebagainya? Padahal sumbangan mereka ini telah sejak lama diakui dan dihormati oleh para pemimpin Umno sendiri yang lebih “senior” daripada Dr. Mahathir, seperti Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, dan Tun Dr. Ismail.


Walau apa pun motif sebenar Dr. Mahathir memperlecehkan sumbangan para pelopor gerakan nasionalisme Melayu itu, saya kira pendorong utamanya tentulah kejahilan beliau sendiri tentang sejarah politik gerakan nasionalisme tersebut. Apakah yang menjadi punca kejahilan beliau itu – latar belakang keluarganya, latar belakang pendidikannya, atau sekadar sikapnya terhadap perjuangan orang Melayu pada ketika itu – perlulah diselidiki dan dikaji dengan lebih mendalam.


Yang nyata ialah: jika tidak kerana kejahilannya beliau tidak akan tergamak memperkecil-kecilkan dan menghina sumbangan seorang pelopor gerakan nasionalisme Melayu seperti Ahmad Boestamam semata-mata kerana dia berasa marah terhadap anaknya yang hanyalah seorang manusia kerdil yang tidak bertaraf “tokoh” dalam arena politik tanah air hari ini. Jika tidak kerana kejahilannya, masakan Dr. Mahathir tergamak menghina para pelopor gerakan nasionalisme Melayu itu semata-mata kerana beliau merasakan bahawa sumbangan beliau lebih besar daripada sumbangan mereka.


Salah langkah yang dilakukan oleh seseorang yang jahil itu biasanya tidaklah sukar untuk kita maafkan dan kita lupakan begitu sahaja. Yang sukar kita maafkan adalah tindakan orang jahil yang melakukan kesalahannya dengan niat jahat dan tanpa usul periksa terlebih dulu akan apa yang diucapkannya. Saya rasa inilah yang telah dilakukan oleh Dr. Mahathir apabila dia memperlecehkan peranan politik Allahyarham ayahanda saya dan diri saya sendiri. Itulah juga yang telah dilakukannya apabila dia mencuba menggambarkan saya sebagai kroni Anwar Ibrahim.


Tanpa melakukan terlebih dahulu kajian yang mendalam tentang peranan Ahmad Boestamam dalam gerakan nasionalisme Melayu atau mengkaji hakikat sebenarnya tentang peranan Rustam Sani dalam syarikat sendirian berhad yang telah dianugerahkan projek penswastaan pada tarikh yang tidak memungkinkannya dianggap sebagai penganugerahan oleh Anwar Ibrahim kepada kroninya, Dr. Mahathir sebenarnya telah mendedahkan niat buruknya dan sahsiahnya sendiri. Itulah sebenarnya yang tidak mudah dilupakan dan dimaafkan begitu sahaja.

“SELAMATKAN RAKYAT SELAMATKAN NEGARA”
‘PROTES SAMPAI TURUN”

Sekian.Wassalam

4 comments:

Unknown said...

mahathir mantan pm malaysia semua orang kenal dari segi nama, rupa dan ucapannya.
tapi dari segi akhlak dan moral memang boleh dipertikaikan untuk diletak kat tempat yang baik untuk di tauladai oleh generasi akan datang.banyak yang haprak dari yang molek.

jasa untuk duniawi memang bagus jika dibandingkan lain-lain pm malaysia.
tapi saya masih ingat sebab dia lah bantuan untuk sekolah agama rakyat di tarik balik, sampai hati menghalang umat islam dan sebangsa dengannya untuk menimba ilmu ugama. konon mengajar keganasan, serupa ucapan mahathir dengan rakannya bush......
memang ia tak sedar ia menghina bangsa ia sendiri, 'melayu mudah lupa'.
tapi suatu yang memang tak diduga sanggup menghina Nabi Muhammad mengenai serban, janggut kerana tak ada gillette (pisau cukur), orang sembahyang dengan orang yang tak sembahyang sama sahaja, laksana hudud akan huru hara negara dan banyak lagi ucapan yang sanggup menghina Nabi dan Pewaris Nabi.

patutke orang macam mahathir ini dijadikan contoh yang baik untuk generasi akan datang?

drp: masih siuman lagi.....

Anonymous said...

I couldn't refrain from commenting. Very well written!
Also visit my web-site best menthol cigarette

Anonymous said...

wonderful points altogether, you just won a new reader.
What would you suggest about your publish that you simply made a few days in the past?
Any certain?
Feel free to visit my webpage :: acne skin care product

Anonymous said...

hermes
goyard
bapesta shoes
hermes
off white clothing