Diterbitkan semula Oleh : Tun Telanai
Assalamu’alaikum wm.wrt,
Sentuhan pena Hj Subky Latiff cukup memukau. Bidasannya tajam dan menyengat. Tulisannya dinanti saban minggu dalam akhbar Siasah. Suatu yang menarik dalam penulisan politik popular Subky adalah jangkaannya yang mengena. Tulisan di bawah ini dihasilkan pada September 1983, namun ia cukup relevan untuk direnung semula dalam konteks kini, ketika UMNO berhempas pulas untuk menawan semula Kelantan pada pilihanraya umum ke-12.Apakah rakyat Kelantan sanggop mendakap UMNO semula dan membiarkan para pemimpinnya melahap khazanah rakyat? Jawapannya ada ditangan rakyat Kelantan sendiri.
-------------------------------------------------------------------------------------- ---------
-------------------------------------------------------------------------------------- ---------
Orang-orang Kelantan pada umumnya adalah bangga dengan perjuangan tokoh-tokoh besar Tok Janggut dan Tok Kenali. Sehingga ini anak-anak Kelantan di luar negeri bila ditanya mereka dari mana, mereka kerap mengenalkan diri mereka dari 'negeri Tok Janggut' atau 'negeri Tok Kenali' atau kedua-duanya sekali.
Walaupun Kelantan juga pernah melahirkan cerdik pandai seperti Tengku Hamzah dan Tan Sri Nik Ahmad Kamil dan mereka pernah menjadi pembesar yang dihormati di seluruh negara, tetapi tidak pernah kita mendengar anak-anak Kelantan di luar negeri berkata bahawa mereka datang dari negeri Tengku Hamzah atau Tan Sri Nik Ahmad Kamil.
Orang-orang Kelantan mempunyai sebab untuk berbangga dengan perjuangan Tok Janggut dan Tok Kenali, kerana mereka berjasa menentang kedatangan penjajah dan meletakkan asas masyarakat Islam bagi negeri Kelantan.
Saya berbangga jadi orang Melayu, kalau orang Melayu itu adalah orang Melayu seperti Tok Janggut dan orang Melayu seperti Tok Kenali.
Kedua-dua tokoh itu bersama-sama ramai lagi tokoh lain para ulamak dari Kelantan, telah berjaya meletakkan peta negeri Kelantan begitu istimewa di seluruh Tanah Melayu dan Nusantara. Kelantan telah menjadi tumpuan bagi para pelajar agama untuk melanjutkan pelajaran dalam kurun ke-19 dan separuh dari kurun ke-20 ini.
Kebanyakan pelajar dari Semenanjung, sebahagian dari pelajar di Sumatera, Tanah Jawa dan Kalimantan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke Kelantan sebelum berangkat ke Makkah. Syeikh Idris Al-Marbawi, pengarang kamus Marbawi - kamus Melayu-Arab - yang belum ada tandingannya di Nusantara telah belajar di Kelantan sebelum berangkat ke Mesir.
Ibu bapa pula yang berazam untuk melihat anaknya jadi orang alim, bercita-cita untuk menghantar anak mereka belajar ke Kelantan. Sesudah itu barulah anak itu dihantar ke Makkah, Madinah atau Mesir.
Asas yang ditegakkan oleh Tok Janggut dan Tok Kenali dan lain-lain ulama Kelantan itu banyak membantu penduduk Semenanjung kekal menjadi orang Islam dan agama Islam terpelihara di negara ini. Pada hal kedatangan penjajah Barat - Peringgi , Sepanyol, Belanda dan akhirnya Inggeris - adalah untuk memburu orang-orang Islam.
Peringgi dan Sepanyol datang ke alam Melayu kerana mereka mendapat tahu bahawa penduduk di rantau ini terdiri dari orang-orang Islam. Pada sekitar kurun ke-14 itu mereka baru saja menumbangkan kerajaan Islam di Kardoba - negara Sepanyol dan Portugal sekarang.
Penganut agama Eropah yang sudah mengalahkan Islam itu memburu orang Islam di mana saja mereka dengar ada orang Islam. Atas visi inilah Peringgi atau Benggali Putih datang ke Melaka dan Sepanyol ke Filipina dan mereka diikuti oleh Belanda dan Inggeris.
Tujuan besar mereka adalah untuk menghapuskan Islam dan menggantikannya dengan agama orang Eropah.
Rombongan para padri Sepanyol sangat berjaya dengan tugasnya di Filipina hingga penganut Islam menjadi rakyat minoriti di negara itu sekarang. Ketika saya ke Filipina tahun 1970, saya sempat menyaksikan rakyat negara itu merayakan ulang tahun ke-400 Manila ditakluki oleh penjajah Barat. Mereka gembira merayakan ulang tahun mereka dijajah yang saya kira sepatutnya hari itu bukanlah hari yang patut digembirai.
Pengaruh agama Eropah itu juga berkembang dan begitu berpengaruh di bahagian-bahagian lain di Nusantara ini. Tetapi di Malaysia, orang Islam adalah bertuah, mereka masih kekal sebagai orang Islam dan bangga menjadi orang Islam.
Apa yang membantu orang Islam Malaysia boleh kekal dengan agama mereka ialah adanya asas-asas yang diletakkan oleh para ulamak yang membuka pondok-pondok di merata tempat khususnya di Kelantan, Kedah, Utara Perak dan Terengganu.
Ulamak-ulamak yang membuka pondok itu dikira kolot, ketinggalan zaman, antikemajuan, antipembangunan dan sebagainya, tetapi mengajar Islam kepada murid-murid mereka.
Mereka mengajar anak-anak Melayu tentang perjalanan bulan dan matahari hingga mereka tahu mengira bila anak bulan boleh kelihatan, bila bulan gerhana dan bila matahari gerhana.
Orang-orang inilah yang menjadi benteng mempertahankan orang Islam sekalipun Peringgi, Belanda, Inggeris saling bertukar tangan menjajahi Tanah Melayu. Berbagai-bagai cara diusahakan oleh penjajah, tetapi orang Islam yang patuh kepada pimpinan para Tok Guru iaitu para ulamak, menyebabkan orang Islam Tanah Melayu tidak jadi macam orang Filipina dan bahagian-bahagian lain di Nusantara.
Sesudah penjajah terpaksa pergi dan mereka gagal merobohkan pondok-pondok, Peringgi gagal menutup sekolah pondok, Belanda tidak dapat merobohkan sekolah pondok, Inggeris dan Jepun juga tidak berani menyentuh sekolah pondok, mereka pergi dan urusan pentadbiran negara diserahkan kepada anak negeri tahun 1957.
Pentadbiran anak negeri sendirilah yang memusnahkan asas yang ditegakkan oleh Tok Janggut dan Tok Kenali tadi. Sesudah itu Kelantan hingga hari ini tidak lagi menjadi tumpun para pelajar Islam.
Kelantan sudah tidak bermain kepala ibu bapa bila mereka mahu menjadikan anak-anak mereka orang alim. Tok Janggut masih dikenang dan Tok Kenali masih dikenang dan ada orang yang mengkaji sejarah mereka. Tetapi bukan mustahil orang mengenal mereka nanti sama dengan orang mengenal pencipta dikir barat. Memuja dan membanggakan Tok Janggut dan Tok Kenali adalah baik. Tetapi tanda menyanjungi mereka tidak memadai sekadar mengatakan 'aku datang dari negeri Tok Janggut' atau 'aku datang dari negeri Tok Kenali'.
Sanjungan yang paling bererti ialah dengan menyambung perjuangan mereka.Orang-orang Kelantan saja yang boleh menyambung perjuangan mereka. Kalau orang Kelantan mahu Kelantan menjadi tumpuan para pelajar Islam semula.
Masih ada di tengah-tengah Kelantan para ulamak yang boleh bergerak untuk menyambung asas yang diletakkan oleh Tok Kenali dulu. Dan asas itu sendiri agak kukuh dan orang Kelantan memang boleh buat. Kebetulan sekarang di tengah-tengah Kelantan ini dilahirkan seorang tokoh yang terkenal iaitu Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, anggota Parlimen dari Pengkalan Chepa.
Beliau adalah Tuan Guru yang mendapat perhatian dan beliau sudah pun ditonjolkan sebagai pemimpin. Beliau tidak berhajat untuk menjadi pemimpin, tetapi bakat pimpinan yang ada padanya menyebabkan masyarakat Islam Kelantan mahukan pimpinannya.
Nik Aziz mungkin tak sehebat Tok Janggut dan Tok Kenali. Tetapi masa ini beliau mempunyai kedudukan yang boleh menggantikan Tok Janggut dan Tok Kenali bagi memimpin Kelantan kembali kepada peta lamanya di tanahair kita ini.
Dengan bantuan lain-lain ulamak di Kelantan dan di luar Kelantan, dengan sokongan rakyat Kelantan, Tok Guru Nik Abdul Aziz boleh menyambung perjuangan Tok Kenali bagi meletakkan asas yang kukuh bagi masyarakat Islam di negara ini.
Orang mungkin melihat kelemahannya, tetapi beliau adalah orang yang belum diberi peluang. Kini peluang mulai diberi dan dengan bantuan dan dengan pengalaman yang mulai diperolehi, masyarakat Islam Kelantan boleh kembali kuat di bawah pimpinan Nik Aziz.
Nik Aziz kini muncul di tengah-tengah masyarakat mulai berkehendakkan kepimpinan ulamak. Nik Aziz tidak pernah mengaku dia ulamak dan dia pun tidak pernah meminta dia dipilih menjadi ketua. Tetapi kerana dia adalah ulamak, tanpa dia memberitahu dia ulamak pun, orang tahu dia ulamak dan orang mahu dia memimpin.
Ada tanda-tanda bahawa zaman gemilang bagi Kelantan akan berulang semula. Zaman gemilang itu tidak bererti siang malam di pasang elektrik. Zaman gemilang ialah zaman ia menjadi perhatian semua bagi orang-orang untuk berlindung dan mendapatkan khidmatnya.
Ciri-ciri yang ada pada Nik Aziz, boleh menepati pimpinan yang dimulakan oleh Tok Janggut atau Tok Kenali. Dan bukan pula suatu yang mustahil selepas ini orang-orang Kelantan luat negeri mengenalkan dirinya sebagai 'orang negeri Nik Aziz'.
Kalau orang dulu boleh mengaku mereka datang dari 'negeri Tok Kenali' maka tentulah mereka boleh menyambung tradisi itu dengan mengaku mereka orang 'negeri Nik Aziz' .
Kerana orang Kelantan tak pernah mengaku datang dari 'negeri Tengku Hamzah' atau 'negeri Nik Ahmad Kamil', maka adalah janggal bagi mereka untuk menyebut 'kami datang dari negeri Tengku Razaleigh'. Tetapi tidak janggal menyebut 'negeri Nik Aziz'.
“SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”
Sekian, wassalam. Terima kasih.
No comments:
Post a Comment