Thursday, July 24, 2008

KE MANA PAS SELEPAS INI?

Oleh : Tun Telanai
Assalamu’alaikum wm.wrt,



Saya sedang menulis satu artikel mengenai kebijaksanaan UMNO mencipta isu bagi mengalihkan pandangan rakyat terhadap permasalahan yang dihadapi oleh negara dan masalah dalam UMNO yang kronik. Apabila siap kelak saya akan disiarkan dalam blog ini.


Sebelum itu, eluk rasa saudara pembaca sekalian meneliti tulisan Irwanis Johan yang disiarkan oleh Malaysiakini.com . Ulasannya cukup menarik [
http://www.malaysiakini.com/letters/86540]

Muzakarah saat mula kejatuhan PAS

Atas kepentingan generasi berbilang kaum di tanah air, saya cuba mengulas isu pertemuan PAS-Umno supaya pemimpin-pemimpin yang tergila-gila dengan muzakarah (ibarat amok Tok Nading) melihat secara rasional dan profesional isu ini. Apa yang perlu pemimpin kedua-dua parti Melayu ini, sama ada muat atau tidaknya baju dan seluar yang hendak dipakai mengikut falsafah dan kandungan jiwa dan citarasa rakyat Malaysia terkini.



Takut-takut muzakarah ini nanti menjadi mangsa jenama PAS dan Umno, kerana rakyat Malaysia kini hanya inginkan keadilan, bukannya fanatik sesuatu kaum dan parti.Kalau dilihat PAS, ideologi parti tersebut berteraskan Islam dan penghuninya Melayu. Manakala Umno berteraskan ideologi kebangsaan dan penghuninya juga Melayu. Paling dikhuatiri nanti keputusan terakhir pada muzakarah itu akan jadi begini, "nan bo ti nan, kui bo ti kui", "wal hasil balik asal" atau kawan-kawan saya di utara Semenanjung selalu sebut "padan muka hangpa, puas hati aku." Apa tidaknya, kerana dua pihak yang mewakili parti ini akan menjadi otak yang terlalu Melayu dan bukannya kenegaraan.



Oleh itu ikutilah fakta dan data yang akan dibentang oleh penulis ini.Kemasukan PAS dalam Perikatan selepas peristiwa 13 Mei disebabkan betapa terdesaknya Melayu Umno memerlukan Melayu PAS. Akhirnya termetrinya perjanjian persefahaman pada ketika itu dan pemimpin PAS diberi sedikit kuota kabinet yang bertaraf menteri dan timbalan Menteri. Oleh kerana kependekaran sepak terajang Umno, PAS akhirnya seperti melukut di tepi gantang dan teresak-esak menangis di belakang tempayan angan-angan dan momokan Umno.



Keputusannya Datuk Asri Muda pada pilihanraya berikutnya hilang kerajaan Kelantan yang diterajuinya dan akhirnya keluar daripada PAS. Jadi jika diberikan markah - PAS mendapat 0 dan Umno pula 2. Kenapa Umno mendapat dua markah - PAS hilang kerajaan, Asri sendiri keluar PAS. Sebab-sebabnya sila rujuk orang lama dalam PAS.Dalam era 1980-an, PAS kembali ke zaman kegemilangannya apabila peralihan kuasa daripada kepimpinan nasionalis Islam kepada kepimpinan ulama dan Umno bawah kelesuan pentadbiran Tun Hussein Onn digantikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.



Maka tikam-menikam dan fitnah-menfitnah mejadi alat pada kedua-dua parti. Maka lahirlah generasi perubahan - golongan profesional dan kelas menengah - yang pada sebelum ini hanya menjadi pengundi di saluran ketiga kini menjadi mastermind menyusun arah dan hala tuju rakyat ketika ini. Buktinya perpecahan Umno dan kewujudan kumpulan 11 yang akhirnya mencetuskan pengharaman Umno sedangkan PAS hanya menjadi minoriti pembangkang dan DAP menjadi kuasa majoriti pembangkang. Tatkala Melayu Umno bergaduh, Melayu PAS pula ibarat katak di bawah tempurung - berbincang hal kafir-mengkafir, lemparan hujah- hujah murahan daripada Umno, lalu dikupas dan diolah serta dijadikan modal oleh PAS.



Maka terbitlah ketika itu 'Amanat Haji Hadi'. Jangan ketinggalan membacanya. Dari segi markahnya waktu ini, PAS (1) Umno (2). PAS mendapat 1 (kepimpinan ulama), Umno memperolehi dua (The Malay Dilema dan Umno Baru).Jika diamati, fahaman kebangsaaan memonopoli segalanya dalam aspek pemerintahan negara dan tidak mungkin atas kehebatan BN. Mungkin akan wujud pula parti seperti parti kebangsaan Cina atau parti kebangsaan India.



Faktornya generasi sekarang hanya mementingkan kehidupan daripada memikirkan negara. Beginilah hasil pemerintahan BN apabila rakyat (Melayu) tidak ada patriotisme, budaya dan jiwa timur hilang sedikit demi sedikit di atas bumi yang dipijak dan langit juga yang selalu mendung.Hasilnya pada piliharaya umum pada 1990, PAS memperolehi kembali Kelantan, bukan atas tiket "perpaduan ummah" yang digembar- gemburkan tetapi atas slogan "kepimpinan ulama" dan ia hanya mampu menyelesaikan mimpi-mimpi orang Kelantan, dan tidak pada negeri-negeri lain di Semenanjung.



Maka jika dikira markah, PAS mendapat 0.99 dan Umno pula 2 iaitu PAS mendapat Kelantan dan Umno memperolehi perpaduan baru Umno dan tersingkirnya terus musuh-musuh Dr Mahathir daripada parti.Jangan sekali-kali pembaca lupa bahawa isu muzakarah pernah terjadi pada era akhir 1970-an dan sebelumnya tragedi Memali (pertengahan 1980-an) semasa isu kafir-mengkafir tengah hangat diratah lumat oleh kepimpinan ulama PAS dalam era awal 1980-an. Untuk menarik undi popular kaum Cina, maka PAS mewujudkan Majlis Perundingan Cina (CCC).



Pada masa yang sama kepimpinan PAS bertukar tangan kepada Fadzil Noor dan keluar pula Nakhaei Ahmad daripada PAS. Penulis hanya sekadar mengingati kesinambungan kepimpinan ulama dan kemasukkan Anwar Ibrahim dalam Umno sebagai memerangi kebangkitan Islam dalam PAS kerana popularnya peranan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dalam masyarakat Melayu ketika itu dan sebahagian besar ahli-ahli Abim mengikut jejak Anwar pada 1982.



Hasilnya, bawah kepimpinan baru Umno dan PAS, isu muzakarah tidak kedengaran lagi. Hanya berkisar siapa lebih Islamik - Umno atau PAS? Jadi pengaruh kefahaman Islam mula menular di hati generasi muda apabila Umno terpaksa mengatasi PAS dengan program Islamnya sendiri.Apa tidaknya, jika sebut sahaja Islam, maka terpacullah penceramah PAS dengan sebutan Umno Islamiah sedangkan ideologinya masih fanatik nasionalis.



Di sini markah untuk PAS (1) dan Umno (0). Mungkin gaya kepimpinan Fadzil sebagai presiden PAS ketika itu lebih menonjol dan pengaruh Abim dalam Umno mula mengambil tempat di posisi penting pentadbiran Umno dan agensi kerajaan. Adakah ini satu strategi mengislamkan Umno, siapalah tahu?Maka dalam era 1990-an, Umno mempunyai musuh dalam selimut kerana budaya Islam telah mula menular dan meresapi tubuh badan parti fanatik nasionalis ini, maka Dr Mahathir terpaksa mengadakan usaha memburukkan kehebatan Anwar sehingga tercetusnya peristiwa reformasi pada 1998. Dan pada piliharaya umum 1999, PAS dapat menawan Terengganu, meluaskan penguasaan PAS di beberapa negeri, di samping mengekalkan Kelantan.



Ingin diingatkan, hasil kemenangan pilihanraya umum 1999, dalam satu persidangan tahunan PAS di Terengganu, PAS telah mengakui bahawa kemenangan menerajui Kelantan dan Terengganu atas faktor Anwar, bukti sejarah mengakui kebenarannya. Penulis ingin melanjutkan kegemilangan PAS dalam menerajui jiwa rakyat atas platform Barisan Alternatif tetapi kerana nafsu besar PAS dalam mengiakan negara Islam, DAP dan PAS mula tidak sehaluan. Ada cendekiawan beranggapan PAS terlalu gopoh mengetengahkan isu negara Islam dan jika tidak salah penulis, kepimpinan ulama PAS ketika itu diterajui oleh feudal bermentalkan Islam bawah Harun Taib dari Terengganu, maka tinggallah PAS, Parti Keadilan Nasional (Keadilan) dan PRM dalam pakatan BA.



Bagi DAP, ia hanya boleh minum semeja dengan Keadilan dan PRM. Dalam keadaan anti kemuncak ini, yang menjunam adalah PAS. bKeadaan bertambah buruk apabila PAS pula kehilangan pakar politiknya yang terbaik iaitu Fadzil yang bersemadi pada 2002.Hala tuju PAS terumbang-ambing kerana tiada haluan politik yang teguh seperti yang ditonjolkan oleh Fadzil apabila penggantinya Abdul Hadi Awang tidak selincah Fadzil. Maka PAS tidak mendapat tempat di hati rakyat pada pilihanraya umum 2004. Hanya tinggal Kelantan sahaja - itu pun dalam keadaan nyawa-nyawa ikan.



Jadi, markahnya PAS (0) dan Umno (1) - PAS hilang Fadzil, Umno (1) apabila BA berpecah.Kembalinya Anwar dalam kancah politik Malaysia setelah ditahan selama enam tahun mengembalikan kegemilangan arena politik Malaysia. Tiada Fadzil, tiada Dr Mahathir dan tiada Anwar, politik negara dikuasai oleh ahli-ahli politik yang suka terloncat-loncat.Balik-balik siapa lebih Islam dan siapa lebih kafir, dan Abdul Hadi bukanlah seorang ahli politik yang hebat - beliau lebih berkaliber sebagai pendakwah sepenuh masa. Tambahan lagi, semua penasihat utama beliau dari Terengganu, maka pemikiran Abdul Hadi lebih keterengganuan" berbanding sebagai presiden PAS.



Mungkin PAS menafikannya, tetapi itulah hakikat yang berlaku. Akibat perangai "keterengganuan" Abdul Hadi, maka dunia politiknya sekadar berkeliaran sesama orang PAS Terengganu yang keras kepala. Peranan Anwar dalam mewarnakan kembali wajah politik Malaysia amat dinanti-nantikan oleh semua rakyat yang berbilang kaum. Kelincahan beliau melontar isu menyebabkan BN sendiri terkapai-kapai hendak menangkisnya.



Rakyat sudah gian dalam gerakan pembaharuan (reformasi) dan senantiasa hendak membalas dendam terhadap BN, menanti saat masanya saja, disusuli pula perdana menteri kini Abdullah Ahmad Badawi selalu tidur dan silap dalam tindakan politiknya.Peluang ini memberi PAS, PKR dan DAP mengatur strategi untuk meletakkan calon-calonnya yang berpontensi dalam pilihanraya umum ke-12 bagi kerusi-kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang difikirkan akan memperolehi kemenangan. Perbincangan pakatan pembangkang hanya bertumpu untuk menaikkan tingkat sokongan rakyat terhadap pembangkang bukan ke arah pembentukan sebuah kerajaan baru atau "kerajaan dalam penantian".



Cuma bagi PKR, PAS dan Umno perebutan pengundi dari kalangan pengundi Melayu masih belum dapat 100 peratus, hanya sekadar 35-42 peratus. Hujahnya, Melayu itu mudah lupa, ibarat kata Dr Mahathir. Bekas perdana menteri ini umpama hilang regu apabila ketiadaan Fadzil. Kepada Anwar, Dr Mahathir menganggap bekas timbalannya ini bukan tandingannya dalam pentas perdana politik Malaysia, begitu juga tanggapannya terhadap Abdul Hadi. Maka untuk menyelesaikan ketagihannya berpolitik, sasarannya berpindah kepada Abdullah dan kegilaan Dr Mahathir ini memberi sedikit keuntungan pada pakatan pembangkang.



Akhirnya pada penghujung 2007, kebangkitan rakyat mula menampakkan hasil apabila muncul gerakan demonstrasi Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), isu rakaman video perbualan VK Lingam dan demonstrasi Hindraf. Reaksi rakyat ditambah pula dengan konsep Islam hadhari keagungan Abdullah yang tercemar apabila gambar beliau memegang bahu pelakon Michelle Yeoh semasa program Piala Monson di Trengganu. Tidak cukup dengan itu, ditambah lagi isu skandal seks menteri MCA.



Jadi keputusan pilihanraya umum lalu telah membuahkan hasil apabila Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur jatuh ke tangan pakatan pembangkang tetapi tidak menunjukkan sebarang perubahan di Terengganu? "Kenapa" menjadi satu gema persoalan yang perlu dijawab oleh PAS dan sehingga kini PAS tidak terjawab, kenapa?Ada orang memaklumkan pada penulis, perkara ini kena tanya sendiri pada feudal bermentalkan Islam dalam PAS Terengganu.



Untuk makluman pembaca, statistik seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia, dalam kajiannya, menunjukkan bahawa pada pilihanraya umum Mac lalu, peralihan pengundi Cina dan India kepada pembangkang begitu menonjol tetapi tidak berlaku perubahan pada pengundi Melayu. Ertinya pengundi Melayu tidak berubah, yang berubah hanyalah pengundi Cina dan India.



Hasil kajian ini, penulis ingin memberikan peringatan kepada barisan kepimpinan PAS bahawa kebangkitan rakyat bukan atas gelombang PAS tetapi hasil cetusan politik Anwar dan kelemahan BN sendiri. Bukanlah kelemahan Umno tetapi tepatnya pada BN dan Umno sekali lagi tersepit di celah-celah tekanan kompenan BN, seperti kedudukan Umno dalam Perikatan selepas rusuhan kaum 13 Mei 1969. Jadi nyata dan jelas di sini bahawa PAS senantiasa beruntung bersama gelombang ciptaan orang lain dan bukannya gelombangnya sendiri.



Jelasnya di sini, PAS dan Umno adalah parti-parti ortodoks Melayu - ibarat batu lesung, menumbuk cili bersama belacan, yang menjadi mangsanya sang tekak yang menilai kesedapannya. Maksud saya, tekak itu suara rakyat, jadi PAS perlu melihat bahawa isu muzakarah adalah program lapuk untuk pemimpin lampau antara PAS dan Umno sedangkan rakyat sekarang menaiki kapal baru yang dinamakan "kebajikan" yang lebih besar untuk destinasi pilihanraya umum ke-13 nanti.



Jika PAS hanya melayan pemikiran ahli politik ortodoksnya, jangan salahkan rakyat yang berbilang kaum menolaknya pada pilihanraya umum nanti. Jika isu muzakarah diteruskan, maka tunggu dan lihatlah kejatuhan PAS.


“SELAMATKAN RAKYAT SELAMATKAN NEGARA”
‘PROTES SAMPAI TURUN”


Sekian. Wallahu'alam dan terima kasih

4 comments:

  1. setuju sgt dgn artikel ni, tp kenapa lah tak boleh terima org pas ni, tlglah paham kami benci UMNO laknatullah tu woi,

    si nasharudin munafik tlg buat sidang akhbar mohon maaf... atas penafian yg adanya pertemuan bersama PM>

    ReplyDelete
  2. Sebenarnya masih ada jalan keluar dari masalah ini. Pastikan kita, dari pimpinan PAS peringkat tertinggi hingga ke peringkat ahli bawahan menolak UMNO sepenuhnya. Umno tidak boleh dipercayai... Jangan terpedaya dengan jerat dan taktik kotor UMNO! Sebenarnya tidak wujud soal perpaduan Melayu di negara kita, perpaduan UMNOlah yang sedang retak menanti belah. Pedulikanlah!!! Yang patut kita bimbangi sekarang ialah soal perpaduan Islam sama ada mereka memilih Islam yang sebenarnya yang dibawa oleh Nabi S.A. W ataupun Islam Hadhari yang dicetuskan oleh kaum kerabat BN. Namun saya sedikit merasa lega di atas kesedaran dan keprihatinan pimpinan PAS kepada perkara ini. Sepatutnya kita yang dah melalui pengalaman lebih 50 tahun ini, perlu peka kepada niat jahat UMNO dan sekutunya

    ReplyDelete
  3. assalamu alaikum. kenapa lah penulis dan komentar dua orang ni mcm lah semua orang umno tu kafir dan laknat.... itu lah kalau percaya pada idola...sembah peminpin macam kami ni pas bodoh sangat . kami di pas dah lama sepak terajang dalam hal politik...marah kami dengan orang umno bukkan semua umno tu jahat sampai nak labael laknatullah. kalau segelintir tak betul ...bukan semua tak betul...kalau sorang melayu buat tak senonoh bukan semua melayu buruk perangai...kalau sebuah rumah flat .dalam nya ada satu keluarga perangai buruk... takkan nak runtuh semua bangunan...pandangan saya orang yang anti umno ni dulu juak juak umno jugak..tapi bila kapt nya kena tendang dia pun keluar...cuba kaptan nya masih dalam umno ....oh umno kau lah yang aku sayang...piraaaah hangpa...tak payah lah nak ajar kami ....aku orang pas , bapak aku dan opah aku yang dah pergi pun orang pas... sebelum pkr ujud aku dah berjuang dalam pas....salah ke kita bertemu...melayu bertemu melayu...kalau huru hara baik lah aku berlindung di rumah melayu umno...sekurang kurang nya hati melayu ihsan islam ada...kalau aku berlindung rumah melayu umno pun dalam huru hara apa yang aku makan masih di masak orang islam....kau org pi lah berlindung di rumah mana mana kafir....yang nyata kalau kau orang nak solat tanya lah kiblat kat mana...nanti dia tunjuk mana yang patut....he he jgn di tunjuk yang lain dah. apa salah si komentar kata....alhamdulillah apa salahnya kita bertemu berbincang....perkara baik....tapi kalau kau orang tak setuju pun jgn lah nak paksa orang dan maki hamun kami orang pas... aku lebih takut the new world order, carilah maklumat ya...illuminati tu apa....ha ha tah entah dah ada di malaysia....aku cakap sebagai individu pas....apa yang aku nak tegaskan pada kau orang...aku undi pas sejak dari 80 an lagi...walaupun aku kecewa bro anwar masuk umno dulu tapi aku tak lah marah mcm engkau orang sekarang..aku lagi tak percaya pada dap dengan juak juak mereka... jngan lah nak bertakiyah dalam menghalal cara...

    tuan tuan orang yang hebat nak tau agenda pecah belah dan menguasai dunia cari lah isu illuminati..apa itu horus.... apa dalang ini akan lakukan...kau nak belasah umno hak kau...tapi kalau untuk berbaik dan cari jalan keluar atau mengurangkan tekanan sesama melayu jgn halang...lebih senang mengenal kafir dari munafik...lebih leceh mengenal fasik...apa pun apa ugama kamu ....jadi aku maafkan ..sebab komentar kamu pun tiada salam ...tapi kalau kamu kafir harbi...aku terpaksa perangi dan pertahankan hak muslim...jika amerika sibuk sibuk dengan hal dalaman negeri ini...sebagai muslim aku terpaksa bangun dan tentang walaupun mati... lagi aku tunggu... dan idamkan. kenapa nak sibuk sibuk dengan orang luar...iran di ugut ugut ..tengok tengok malaysia pulak berperang..tn pn kenapa susah sangat sesama islam nak berbaik... klu dah puak umno nak bersemuka pergi jer lah...kalau dah dia nak tipu peduli apa...hukum karma...kau buat jahat kau terima lah habuan...apa susah...penulis artikal ni aku rasa dia tak faham susur galur perjuangan org pas... yang susah hati dalam hal ni adalah dap....dap aku sampai mati tak percaya... pkr....boleh aku terima sikit sikit tapi aku tau bekas org umno jugak....kawan2 d tempat aku ramai bekas umno ke pkr...jugak... aku jugak nak tengok kalau pakatan rakyat menang pru 13...katakan org pkr jadi pm. agak apa nasib orang melayu.. aku pas tetap pas....sokongan merosot ke kami dah pernah lalui...kami tak harap kebendaan... dan aKU SENDIRI PUN BUKAN MAKAN GAJI DENGAN SESAPA... aku abdullah hamba allah...dia yang bagi aku rezki...kalau aku mati pun aku kena jawab pd allah.. aku bukan abdulannas hamba manusia...kalau aku mati...malaikat tanya sapa tuhan kamu...takkan aku nak kata dollah,nuar,adi,nik ah tong linggam pulak... so to all melayus...biar je depa nak bertemu...hangpa yg grass root dok dengar ja..anwar ada peranan dia...hadi ada peranan dia...dollah ada peranan dia...sapa yang tetapkan sejak azali.... tak lain tak bukan......jeng jeng jeng


    ALLAH TAALA.


    SO TAUBAT LAH KITA.. ESUK LUSA MANA TAU MATI DALAM KEADAAN MENGUTUK KAN DOSA


    SALAM SEMUA.

    ReplyDelete
  4. Seringkali kita terlupa kepada golongan:
    1) Islam yang beriman
    2) Islam tetapi fasik
    3) Islam tetapi munafik
    4) Kufur
    Dimana mereka berada dan dimana pula kita berada?
    Kerapkali juga kita terlupa kepada larangan... kerana Melayu itu mudah lupa.

    ReplyDelete