Sunday, June 24, 2007

TUN RAZAK HUSSEIN SEORANG SOSIALIS?



DiPetik Daripada Blog :http://sangkelembai2006.blogspot.com/
Oleh : Tun Telanai

Assamu'alaikum wm.wrt,







Satu simposium yang dinamakan sebagai " LEGASI TUN RAZAK " anjuran Pemuda UMNO di PWTC telah diadakan pada minggu lalu. Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, merangkap Timbalan Presiden UMNO iaitu Najib yang juga merupkan anak sulung Tun. Semasa berucap, mengenang sejarah hidup dan perjuangan Tun untuk bangsa, agama dan negara, Najib menangis tersesak-esak. Menangis begitu bukan merupakan satu kesalahan, tetapi menunjukkan bahawa sang anak masih sayang dan kasih terhadap arwah yang sudah lama meninggalkan kita.


Sebahagian besar pemimpin veteran UMNO yang pernah berkhidmat di bawah Tun seperti Tengku Razalegh Hamzah dan Musa Hitam turut hadir dan memberi ucapan penghargaan terhadap sumbangan dan jasa Tun kepada bangsa dan negara. Keseluruhan intipati ucapan para jemputan simposium berucap mengenai isu-isu menjurus ke arah tersebut.


Tetapi ada satu artike yang ditulis oleh Zaharin Md.Yassin [yang dipecat daripada UMNO] melalui blognya-Sang Kelebai agak menarik yang mana intisari tulisannya menentang arus. Sila ikuti tulisan beliau selanjutnya :


Pemuda UMNO mengadakan seminar legasi Tun Razak Hussein dan beberapa orang yang pernah bekerja atau mengenal beliau dijemput untuk memberi pandangan. Maka seminarnya itu bertukar menjadi majlis nostalgia termasuk oleh anaknya sendiri Najib Tun Razak. Tidak ada seorang pun pengkaji politik yang dijemput membentangkan kertas kerja atas sikap dan pendirian politik Tun Razak Hussein.Pemuda sebagai orang muda, di saat kematian Tun mungkin baru berusia empat tahun dan tidak mengerti apa-apa terhadap kematian itu.


Sekiranya benar pengerusi penganjur seminar itu Khairi Jamalludin berkata, bahawa baru dia sedar kenapa Allahyarham ayahnya yang menjadi duta ke Kuwait terlalu sedih dan hiba pada 14hb Januari 1976 apabila Boeing 707 milik MAS yang menghantar pulang jenazah Tun Razak singgah di Kuwait kerana mengisi minyak. Semua orang tahu bahawa Khairy Jamalludin baru berusia 30 tahun sekarang dan Tun Razak Hussein telah meninggal 31 tahun. Bagaimana agaknya dia mampu ingat. Kalau dia berumur 40 tahun sekali pun jika dia boleh ingat maka memanglah dia seorang genius.

Satu perkara yang tidak di ambil ingatan dan tidak dipedulikan orang yang mendengar Berita di TV3 akan kisah Tun Razak Hussein ialah beliau pernah berjalan kaki dan berkaki ayam bila bersekolah di kampung asal di Langgar Pekan, Pahang. Bagi orang yang berfikiran waras, mereka akan bertanya, bukankah Tun Razak Hussein anak seorang pembesar Pahang yang bergelar Orang Kaya Indra Shahbandar, antara orang berempat Keluarga Diraja Pahang? Kenapa dia begitu miskin dan tak mampu membeli kasut?



Di sinilah sepatutnya kita ambil kira sikap politik Tun Razak Hussein. Beliau bukan sahaja idola, mentor atau sumber inspirasi kalangan orang politik tetapi juga kepada anak-anak yang terbiar. Jarang hendak diperkatakan orang bahawa ayahnya Dato Hussein Bin Mohd. Taib walau pembesar di Negeri Pahang tetapi berkahwin dua.



Semenjak dia beristeri baru di Bentong, Pahang dan telah mendapat anak, antara anaknya adalah Zainun Hussein yang menjadi isteri kepada Hamzah Abu Samah, Bekas Peguam Negara dan Menteri Undang-undang. Keluarga Tun Razak Hussein mempunyai seorang adik perempuan lagi yang kemudian berkahwin dengan Mohamad Jusuh dan pernah menjadi Menteri Besar Pahang. Malangnya ini tidak diambil kisah oleh ayah Tun Razak Hussein dan dia membesar dengan pemberontakannya terhadap sikap ayahnya sendiri.Itu sebab bila belajar di England, Tun Razak menyertai Parti Buruh dan dengan minat yang mendalam dalam soal-soal politik, bila dia balik ke Malaya dan dia telah menyertai MCS-Malayan Civil Service.



Tun Razak Hussein menyertai UMNO kerana galakan kerajaan penjajah masa itu supaya pegawai-pegawai kerajaan termasuk MCS menyertai UMNO bagi mengaburkan mata orang-orang Melayu bahawa UMNO sebuah parti yang disokong oleh kerajaan dan siapa menyertai UMNO akan dikira selamat kerana, di luar UMNO terdapat beberapa parti lain termasuk gerakan berhaluan kiri yang ditekan oleh British termasuk PKMM yang diharamkan.


Perlu di ingat Tun Razak Hussein bukan Tunku Abd. Rahman Putra kerana Tunku terus meletakan jawatan sebagai pegawai Jabatan Kehakiman atau masa itu hendak ditukarkan menjadi Pegawai Pendakwa Raya. Sebaliknya Tun Razak Hussein kekal sebagai pegawai MCS walau seketika menjadi Menteri Besar Pahang.


Tun Razak Hussein memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO dan kemudian bertukar jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO dengan Sardon Jubir dan meletakan jawatan MCS bila beliau dipilih bertanding dalam PRU- Pilihan raya Umum 55 dan kemudian dilantik menjadi Menteri Pelajaran.Jawatan Menteri Pelajaran kekal selepas Merdeka dan beliau tidak pernah secara automatik dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri sebaik sahaja Malaya merdeka.



Tunku Abd. Rahman Putra tidak melantik Tun Razak sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana semasa itu sudah terdapat desakan supaya lantikan seorang Timbalan Perdana Menteri adalah perlu dari orang bukan Melayu. Akhirnya Tunku membuat helah untuk bercuti kerana hendak berkempen menghadapi PRU 1959 dengan meletakan jawatan dan melantik Tun Razak Hussein sebagai Perdana Menteri dan selepas kemenangan itu, Tun Razak Hussein terpaksa menyerah balik jawatan Perdana Menteri kepada Tunku dan baru Tunku Abd Rahman mengumumkan Tun Razak Hussein sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar merangkap Timbalan Perdana Menteri.


Pendedahan Tun Razak Hussein sebagai anggota Parti Buruh banyak membantu beliau menguruskan dasar pembangunan negara ini. Kerana dia faham sangat bahawa sebuah negara demokrasi yang mana sistem kekuasaan di tangan rakyat dan jika rakyat hendak menyokong kepada suatu parti maka prinsip negara bertanggungjawab atas kesejahteraan rakyat mestilah dilaksanakan.


Walau pun Tun Razak Hussein dilihat sebagai "otoritet" dalam menguruskan pembangunan negara ini, beliau melaksanakan kepentingan bersama atau lebih tepatnya "kepentingan negara"Garisan panduan DEB-Dasar Ekonomi Baru melalui serampang dua matanya jelas menunjukkan ada pemakaian sistem sosialis, di dalam sosialisme yang mana setiap orang diperlakukan sama oleh negara dan tidak ada kekuatan lain yang selain kekuatan negara.


Bagi melaksanakan DEB, satu mekanisme sokongan diwujudkan yang dinamakan RUKUN NEGARA. Ini memberi maksud apa yang dilakukan mesti dalam garis lima prinsip yang ada dengan mukadimah masyarakat adil dan kemajuan berasaskan sains dan teknologi.


Prinsip tersebut hampir menyerupai dan hampir dengan prinsip komunisme yang dikembangkan oleh Karl Marx dan Friederich Engels. Marx dan Engel memutlakkan prinsip sosialis dengan mengatakan bahawa keadilan dan berkemakmuran hanya tercipta kalau dalam masyarakat tidak ada kategori atas dasar kelas, lebih tepat disebut sebuah "masyarakat tampa kelas" (no class society)


Tun Razak Hussein menyedari dari segi Malaysia, sebelum atau selepas Merdeka tetap tidak boleh menerima fahaman komunis tetapi mungkin beliau memikirkan sama seperti yang ditulis oleh William Ebenstein di dalam bukunya Today Isms bahawa ideologi sosialis dalam negara yang baru hendak maju sangat penting. Maka Tun Razak Hussein membina DEB berlandaskan fahaman sosialis kerana menyedari Malaysia hendak mencapai pertumbuhan ekonomi yang cepat. Tanpa kemajuan ekonomi bererti Malaysia tidak akan ada kemerdekaan politik dan kepimpinan internasional yang sejati.


Bila Abdullah Hj Ahmad mengatakan dia ahli politik yang dilahirkan oleh Tun Razak Hussein, apa yang kita lihat bertentangan dengan akuan yang dibuat oleh Abdullah Hj Ahmad. Beliau hanya seorang pegawai MCS yang berketuakan Ketua Pegawai Eksekutif MAGERAN yang dipegang oleh Jeneral Ibrahim Ismail dan beliau bukan orang yang membuat dasar serta jika tahu apa yang di bincang dalam MAGERAN itu hanya kerana dia hadir di dalam mesyuarat-mesyuarat itu sebagai Pembantu Peribadi, sebab bila MAGERAN di mansoh kenapa dia dihantar menjadi Pengarah Belia, kenapa tidak ke Jabatan lain khasnya di Jabatan Elit Unit Perancang Ekonomi.


Percantuman idea sosialis itu yang menuntut sebuah kerajaan demokrasi supaya melaksanakan "negara memenuhi keperluan rakyat" atau sebuah negara yang dipanggil “walfare state” dan bukan terjemahan langsung negara kebajikan tetapi negara kesejahteraan. Dan sebuah negara kesejahteraan memiliki pandangan bahawa negara harus memberi subsidi kepada keperluan pokok iaitu rakyat terutama di bidang-bidang yang terbabit dalam mengolah dasar mendasar seperti pendidikan, pengangkutan awam, minyak dan makanan keperluan utama sapersi yang di sasarkan oleh William Ebenstein.


Bila Abdullah Hj Ahmad dalam kerajaan tiga beranaknya sekarang menarik semula subsidi yang pernah dijadikan dasar oleh Tun Razak Hussein, maka jelaslah dia bukan ahli politik yang dilahirkan oleh Tun Razak Hussein. Jika Najib Tun Razak sendiri yang punya DNA Tun Razak tidak punya genetik Tun Razak, siapa Abdullah Hj Ahmad yang hanya sekadar imam besar mazhab Islam hadhari yang sudah pasti jika sudah tidak menjadi Perdana Menteri, mazhab itu akan dibawa bersama ke kuburnya dan tidak diteruskan seperti berlaku kepada Anwar Ibrahim dengan masyakat madaninya.


Sang Kelembai: Kalau Abdullah Hj Ahmad rapat dengan Tun Razak dan dia jenis membaca dan bukan kaki tidur sudah pasti dia akan terjumpa satu catatan Tun Razak Hussein selepas balik dari lawatan pertama ke China sebelum PRU 1974, bahawa dia hanya hendak menjadi Perdana Menteri sepenggal sahaja dan selepas itu bersara dan balik ke Pahang. Tidak macam dia yang marah-marah bila rakyat mengatakan dia hanya layak menjadi Perdana Menteri sepenggal.




“SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”


Sekian.Wassalam

1 comment: