Wednesday, June 27, 2007

KETUANAN MELAYU: SIAPA PEMBELA DAN SIAPA PENGKHIANATNYA?

Oleh : Tun Telanai

Assalamu’alaikum wm.wrt,

Suara hati anak muda yang mempunyai pandangan jauh ke hadapan, apa akan terjadi terhadap nasib agama, bangsa dan negara 50 tahun akan datang. Ketika itu, usia kemerdekaan kita telah mencapai satu abad. Bagaimana kedudukan orang Melayu ketika itu?

Apakah bangsa Melayu masih lagi berpegang kuat terhadap agamanya?
Bagaimana pula kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu ketika itu?
Dan, masih wujud lagikah orang Melayu yang akan mempertahankan budaya dan bahasanya?


Bahasa melambangkan bangsa, hilang bahasa, maka hilanglah bangsa itu.

Tiga persoalan ini perlu dijawab secara jujur oleh orang Melayu yang masih cinta dan kasih kepada bangsa dan agamanya.




Tulisan ini akan dibahagikan kepada dua siri :

Siri pertama, menyiarkan tulisan Mohd Nazree Mohd Yunus, Mantan Presiden PMIUM 05/06 yang juga Mantan Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya 05/06. Pandangan beliau mewakili generasi muda memperlihatkan kebimbangan survival bangsa bagi menghadapi berbagai kecalaruan cabaran masa depan akibat tindakan tanduk kepimpinan politik sekarang ini yang tidak jujur, tidak ikhlas dalam perjuangan, mementingkan diri sendiri dan melakukan berbagai kecurangan terhadap amanah yang diberikan oleh orang Melayu.

Siri kedua, menghuraikan kebimbangan yang diluahkan oleh Nazree itu mempunyai asas yang kukuh, memang ada tanda-tanda bahawa bangsa Melayu akan hilang dari di dunia ini [di Malaysia]. Kehilangan yang dimaksudkan ialah orang Melayu ketika itu telah hilang identiti kemelayuannya dari segi pegangan agama, pendidikan, ekonomi dan khususnya sosio-budaya sendiri telah lenyap ditelan zaman.
Pertama ikuti tulisan Nazree yang bertaju :

KETUANAN POLITIK MELAYU :
ANTARA UMNO ATAU PAS YANG MENJADI TERAJU


Ambang sambutan kemerdekaan yang ke-50 sudah semakin hampir. Semakin detik kemerdekaan melanjutkan usia, semakin resah kita sebagai anak muda melihat dan mengamati suasana. Semakin tua usia kemerdekaan maka semakin tua juga usia pergerakan pola politik negara. Berdasarkan senarai 10 rakyat Malaysia yang terkaya. Orang Melayu hanya pada kedudukan yang ke-9 iaitu Syed Mokhtar Al-Bukhary (MMC) dengan kekayaan 1bilion. Robert Kuok (Kuok Group, 5.6b), Ananda Krishnan (Astro, 4.6b), Teh Hong Piow (Public Bank, 2.1b), Lee Shin Cheng (IOI, 2.05b), Quek Leng Chan (Hong Leong, 2b), Lim Goh Tong (Genting, 1.5b), Yeoh Tiong Lay (YTL, 1.1b), Tiong Hiew King (Rimbunan Hijau, 1.05b) dan Lim Kok Thay (Chairman, Genting Group, 440m) .

Apa yang signifikan antara senarai 10 orang terkaya Malaysia dengan persoalan ketuanan Melayu. Orang Melayu masih di belakang. Namun tuntutan kaum yang lain masih lagi bernafsu besar. Isu Lina Joy, artikel 11, Penghantaran memorandum oleh 11 Menteri non-muslim terhadap Pak Lah tentang isu artikel 11. Perebutan anak dan pengurusan jenazah antara muslim dan non-muslim. Jelas perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam ambang sambutan kemerdekaan yang ke-50. Rakyat perlu faham tentang Islam dan menghormatinya. Mungkin juga ini berlaku kerana pemimpin sendiri sudah tidak mengendahkan Islam dan pihak yang memperjuangkan Islam seperti PAS sudah ketandusan idea untuk menyebarkan dakwah Islam. Ini semua tanggungjawab kita bersama di samping bebanan yang lebih besar untuk bertanggungjawab itu sepatutnya dipikul oleh pemerintah.

50 tahun liku-liku perjuangan kemerdekaan turut melibatkan jatuh bangun pemimpin. Namun pada ketika Malaysia menarik nafas mendetikkan nadi, golongan anak muda, mahasiswa dan belia juga tidak terkecuali daripada mencorakkan dan mematerikan diri dalam lipatan sejarah negara.
Perkembangan politik di Malaysia semenjak kemerdekaan hingga hari ini masih didominasi oleh politik perkauman. Hal ini demikian kerana berbagai-bagai-bagai kelompok etnik sentiasa mengemukakan tuntutan yang bertentangan dan sukar dipenuhi. Analoginya mudah, jika tetamu datang ke rumah, tuan rumah boleh membuat kopi untuk tetamu sebagai menghormati tetamu tetapi apabila tetamu mengarahkan tuan rumah untuk membuat kopi, adakah situasi ini boleh diterima. Orang Melayu sudah memberi sebagai penghormatan kepada bangsa lain. Namun apabila diminta dengan rakus sehingga hak orang Melayu pun terancam sudah pasti permintaan tidak akan ditunaikan.

Bak kata Tunku

“....orang Melayu sedia memberi hak-hak yang munasabah dan patut kepada orang bukan Melayu. Orang Melayu telah memberikan pengorbanan yang banyak daripada hak-hak sebagai bumiputera Tanah Melayu kepada bangsa yang bukan Melayu. Belum ada satu bangsa anak negeri yang telah berbudi sebegitu banyak seperti yang telah diperbuat oleh orang Melayu. Sungguhpun ada jaminan hak-hak istimewa Melayu dalam perjanjian Persekutuan tetapi tidak sekali-kali mencegah atau menyekat bangsa-bangsa yang bukan Melayu daripada mencapai kesenangan dan kekayaan dan lagi sehingga sekarang hak-hak istimewa itu masih belum lagi menghasilkan keadaan yang setaraf di antara orang Melayu dengan yang bukan Melayu...”

Mahasiswa dan golongan anak muda melihat perbalahan antara agama dan kaum ini sebagai suatu perkembangan sebagai yang tidak sihat dan tidak mempunyai makna. Apa makna 50 tahun merdeka kalau yang di atas terus tidak mengendahkan apa yang berlaku di bawah. Prejudis antara agama dan kaum semakin meruncing. Kita anak muda mahu situasi ini diperbetulkan.

Hari ini kita mahu memperingatkan anak muda supaya bangkit untuk melihat isu-isu semasa yang berlaku dalam negara secara makro dan mikro. Golongan cerdik pandai mahasiswa harus bangkit untuk kembali menjadikan suara mahasiswa adalah suara rakyat. Mahasiswa adalah jurucakap masyarakat bukan jurucakap bagi UMNO, PAS, KEADILAN, DAP, MCA, MIC, GERAKAN ataupun PPP. Hari ini mahasiswa dan golongan belia mahu golongan elit politik sama ada kerajaan ataupun pembangkang terutamanya UMNO dan PAS untuk melihat dan menangani secara serius masalah agama dan bangsa kita. Tidak ada ertinya membincangkan tentang politik ketuanan Melayu jika agama dan bangsa tergadai.

Dalam aspek yang lain, gerakan mahasiswa perlu mempunyai prinsip untuk bergerak secara bebas. Disebabkan ketidakbebasan menyebabkan kita tidak lagi bertindak sebagai loceng amaran buat pemimpin. Untuk membentuk kesedaran dan menghidupkan jiwa anak muda, pembudayaan ilmu perlu dipasakkan di dalam jiwa mahasiswa dan belia. Budaya jurnalisme wajib dibugarkan semula. Teks-teks usrah harus dikembangkan menjadi teks yang masyarakat umum boleh mendapat manfaat daripadanya. Teks usrah yang membincangkan tentang akidah, ibadah dan muamalat wajib sampai seberapa segera yang mungkin buat masyarakat kita yang kian nazak menanti maut dalam jeritan ketuanan Melayu masih nyaring dilaungkan. Tanggungjawab ini ada pada mahasiswa. Sebarkan ilmu yang benar walau sedikit seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah.

Kegagalan teks-teks usrah yang sepatutnya menjadi rujukan masyarakat mengakibatkan kemungkaran yang lebih besar telah berlaku. Lihat kemungkaran Lina Joy dalam mencabar Islam. Bagi kita sebagai anak muda Islam, Lina Joy bukan mempertahankan haknya tetapi mencabar hak orang Islam untuk mempertahankan agama. Perbincangan isu Lina Joy atas landasan kebebasan agama dan hak asasi manusia adalah suatu yang tidak relevan.

Mana mungkin Islam sebagai agama yang berlainan dengan agama yang lain harus mempunyai kayu ukur undang-undang yang sama dengan agama lain. Perkara ini antara kandungan terpenting yang perlu diberi faham kepada pencinta agama lain. Kita bukan menghalang untuk penganut agama lain mengamalkan agama mereka tetapi apabila mereka sudah mula mempersoalkan amalan dan undang-undang Islam kita, maka penerangan perlu diberi dan pencarian kefahaman adalah tanggungjawab mereka untuk memahami Islam dalam kaca mata konteks undang-undang Islam bukannya hanya dari kaca mata undang-undang atau hak asasi manusia semata-mata. Hak asasi manusia tidak akan bernilai apabila nilai hak asasi itu bertentangan dengan nilai dan undang-undang Islam. Bezanya Islam ialah kita mempunyai undang-undang kita yang berpandukan Al-Quran dan Al-Sunah. Ayuh fahamilah Islam dengan “actualknowledge” bukan hanya secara surface. Islam tidak memusuhi sesiapa.

Agenda untuk membentuk satu peradaban bangsa dan negara yang benar-benar utuh dan jitu bukanlah suatu yang mustahil untuk dicapai. Yang penting, hubungan interaktif dan dinamik perlu dimiliki oleh setiap barisan kepimpinan dan cendekiawan negara.


Tahap pemikiran yang cemerlang dengan idea yang bernas dan merentas bidang pengetahuan lain mampu untuk memacu dan membentuk peradaban manusia yang seiring dengan kemajuan intelektual. Golongan intelek perlu diizinkan untuk membentuk persekitaran negara. Namun AUKU ternyata membunuh potensi mahasiswa dan belia yang cerdik pandai yang berada di Universiti.

Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 Perkara 20(1) Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berhimpun secara aman dan menubuhkan persatuan dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia Perkara 10 Kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan jelas menunjukkan bahawa setiap individu (rakyat) mempunyai kebebasan untuk berpersatuan termasuk mahasiswa. Di bawah AUKU seksyen 15, hak mahasiswa untuk berhimpun secara aman, hak berpersatuan dan hak bersuara langsung dinafikan.

Akibat golongan cerdik pandai tidak beroleh upaya untuk membentuk persekitaran, kita melihat antara kelompok yang boleh memelihara dan membentuk suasana adalah kelompok politik.

Landskap politik Malaysia jelas menunjukkan hanya ada dua parti politik yang berteraskan keahlian Melayu secara “genuine” adalah antara UMNO dan PAS. KEADILAN tidak boleh dimasukkan dalam kelompok ini kerana parti itu merupakan sebuah parti yang multiracial. Justeru kepentingan Melayu tidak dapat dibawa melalui parti tersebut.

Membincangkan tentang polimik siapakah yang lebih layak untuk melabelkan diri sebagai pejuang Melayu dan siapakah yang akan menjadi jaguh pejuang Islam akan kita bahaskan. UMNO dan PAS perlu memperakui bahawa perjuangan berasaskan kalimah tauhid adalah perjuangan yang kekal. Percayalah bahawa perjuangan tanpa mengambil kira kalimah tauhid tidak akan kekal.

Namun, dalam arena politik Malaysia kita juga perlu memperakui bahawa perjuangan memartabatkan bangsa tanpa menindas bangsa lain juga adalah perjuangan yang tidak boleh dikesampingkan. Ini bukan bermakna kita mahu berjuang semata-mata kerana bangsa. Islam tidak menuntut untuk kita berjuang hanya semata-mata kerana bangsa tetapi mempertahankan bangsa demi survival agama adalah yang wajib kita cermati dalam konteks politik Malaysia.

Kepimpinan yang berjaya untuk menambat hati rakyat ialah kepimpinan yang menegakkan agama serta mempertahankan bangsa dengan membantu bangsa lain juga. Keadilan sosial perlu diwujudkan melalui keselesaan sosial. Hari ini UMNO yang menjerit mempertahankan Melayu sudah lagi tidak cakna dengan masalah orang Melayu dan PAS yang menjerit tentang negara Islam sudah hilang taringnya untuk melaung dan bertindak menyelamatkan Islam walaupun diakui usaha kedua-dua parti ada. Usaha itu perlu lebih dinamik dan holistik. Anak muda akan bersama dengan kepimpinan yang dinamik dan holistik dalam membawa agenda Islam dan Melayu.

Kedua-dua situasi ini berlaku kerana ada saling perkaitan antara UMNO dan PAS. Perjuangan UMNO untuk bangsa tidak boleh dilihat secara rasialis dan perjuangan PAS untuk Islam tidak boleh ditolak sama sekali dan mengatakan mereka ekstremis agama, tetapi yang menjadi ketidaksefahaman antara penggerak kedua-dua parti ialah UMNO takut kehilangan kuasa jika mengiakan apa jua berkaitan Islam disebabkan kerana kemungkinan ramai pemimpin UMNO tidak berlatarbelakangkan pengajian Islam kecuali Pak Lah. PAS pula terlalu takut untuk membicarakan tentang kepentingan Melayu kerana takut dicop sebagai meniru langkah perjuangan UMNO yang berteraskan bangsa. Adakah memperjuangkan bangsa di samping agenda teras Islam bertentangan dengan agama?

Sebenarnya situasi seperti ini hanya akan merugikan Islam dan bangsa Melayu. Akhirnya UMNO akan tersepit dan PAS juga tidak akan ke mana. UMNO perlu juga menjerit untuk Islam di dalam Parlimen dan PAS juga perlu menjerit tentang Melayu di dalam Parlimen. Kita faham dengan perjuangan Islam adalah merangkumi semua, tetapi cara PAS mempersembahkan pendekatan itu yang perlu lebih holistik dengan mengambil kira demografi Malaysia.

Kajian & observasi yang dilakukan jelas menunjukkan 75.7% reponden mahasiswa dan belia Melayu mengatakan bahawa apabila membicarakan tentang agama/Islam adalah berat. Puncanya bukan Islam itu yang salah tetapi pendekatan kita yang kurang sesuai. Sebab itu PAS selaku parti yang memperjuangkan Islam harus melihat pendekatan Melayu dalam masa yang sama berpegang kepada teras Al-Quran dan Al-Sunah sebagai rujukan utama. UMNO juga perlu begitu, perjuangan bangsa Melayu tanpa mempertahankan agama mereka adalah satu perjuangan yang sia-sia.

Jika 50 dahulu tidak ada yang berani mencabar Islam dengan undang-undang disebabkan mereka faham tentang Islam walaupun tidak menerimanya. Namun pada hari ini, ada yang sudah berani mengatakan tidak pada Islam secara terangan. Di manakah maruah kepimpinan UMNO selaku parti yang memerintah secara bersama dalam BN? Di mana pula peranan PAS. Hilang Islam maka hilanglah Melayu kerana Melayu itu ditafsirkan di dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai yang beragama Islam, berbahasa Melayu dan berbudaya Melayu. Ketuanan Melayu akan hilang apabila generasi muda sudah jauh daripada agama.

Fikirkanlah wahai pemimpin. Kita tidak punyai banyak masa. Di saat generasi muda bangsa lain sudah berfikir secara matang tetapi anak muda Melayu dilalaikan dengan hiburan. Bukan kita melarang langsung hiburan kerana agama juga membenarkannya, tetapi apakah makna hiburan kalau perkara tersebut memusnahkan jati diri, adab sopan dan maruah agama dan bangsa.

UMNO akan boleh bertahan lama jika mempertahankan Islam secara “genuine” dan PAS juga akan bertambah kekuatan “mainstream”nya apabila membawa imej Melayu.

Sebenarnya eksperimen ini telah berjaya kita lakukan dalam formula politik kampus. PMIUM telah membawa secara vokal Islam tetapi imej kepimpinan Melayu yang dibawa menyebabkan kepimpinan PMIUM sesi 05/06 telah diterima oleh masyarakat kampus. Pihak pentadbiran begitu “inteam” dengan kita. Kita tidak pernah menggadaikan prinsip kita untuk membawa makruf dan menentang mungkar di kampus. Jika PAS sudah meniru strategi boikot PMIUM, sekali lagi strategi membawa imej Melayu perlu diketengahkan.

Sudah tiba waktu PAS untuk memulakan kemenangan di bandar – bandar metapolitan. Jika UMNO mahu mengekalkan kuasa, bawalah secara jujur agama kita. Ketuanan Melayu bukan tiket untuk kita menidakkan peranan agama dalam perjuangan. Jika tidak mahasiswa dan generasi muda akan menolak parti yang tidak membawa agenda Islam dan Melayu. Kita yakin bahawa formula membawa agenda Islam dan Melayu secara tulen akan membantu membina negara Malaysia yang lebih harmoni dalam erti kata yang sebenar.

Keselesaan sosial yang sebenar adalah apabila kita dilayan dengan mengikut hubungan perasaan saling hormat-menghormati sesama manusia. Kepada generasi muda dan mahasiswa, ayuh kita kayakan minda. Kemiskinan minda menjadikan masyarakat kurang kesedaran sosial dan tidak peka dengan keadaan sosial semasa. Keadaan ini menjurus kepada kepincangan sosial.
Kata-kata Prof. Dr. Hamka: Orang yang bersahabat dengan “orang di atas” janganlah takut menyatakan cacat dan kekurangan yang harus diperbaiki. Kerana tiga orang yang beroleh celaka di atas dunia dan diancam oleh bahaya besar iaitu sahabat raja yang tidak mahu menerangkan kepada raja, apa cacat kerajaan. Orang sakit yang tidak mahu menerangkan kepada doktor apa macam penyakitnya. Dan seorang teman yang tidak mahu menyatakan rasa hatinya kepada sahabatnya. Ketiga-tiga orang itulah ialah orang yang khianat kepada dirinya sendiri.


Kita sebagai generasi muda jangan sesekali meletakkan diri kita sebagai orang yang khianat pada diri sendiri. Jika UMNO atau PAS tidak ada upaya untuk melakukan perubahan untuk agama dan bangsa, jangan terkejut jika mahasiswa bangkit menentukan perjuangan ini. Kita pastikan kekaburan yang ada disinari kebenaran dan perjuangan atas landasan politik sempit dilebarkan agar yang berjaya adalah Melayu itu sendiri dan Islam sebagai pegangan abadi. Salam Perjuangan mahasiswa.



[Mohd Nazree Mohd Yunus, Mantan Presiden PMIUM 05/06, Mantan Exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya 05/06
Rujukan :http://arahkita.blogspot.com/2007/06/ketuanan-politik-melayu-siapa-peneraju.html]


"SELAMATKAN NEGARA DAN SELAMATKAN RAKYAT"
"PROTES HINGGA TURUN"

Sekian.Wassalam.

No comments:

Post a Comment