Sunday, December 2, 2012

SHAHBUDIN HUSIN : BEZA PERHIMPUNAN UMNO DENGAN MUKTAMAR PAS



Perhimpunan Agung UMNO tahun ini yang berakhir semalam diadakan hanya berselang dua minggu dengan Muktamar Agung PAS yang diadakan di Kota Bharu pertengahan bulan lalu. Kedua-duanya, UMNO dan PAS saling menyedari bahawa perhimpunan dan muktamar tahun ini adalah yang terakhir sebelum piliharaya umum diadakan.


UMNO berhimpun kali ini dalam suasana ketakutan hilang kuasa, sementara PAS pula dalam keghairahan mahu menggenggam kuasa.

Ini menjadikan suasana kedua-duanya dapat dilihat mempunyai perbezaan yang nyata.

Dalam perhimpunan UMNO kali ini, bermula daripada ucapan dasar yang disampaikan oleh Najib selaku Presiden UMNO, serangan terhadap pembangkang dan tokoh-tokohnya begitu jelas dapat didengari. Nama Anwar, Nik Aziz, Hadi Awang, Lim Kit Siang dan lain-lainnya begitu menghantui pemimpin UMNO sehingga mereka dan parti masing-masing dilabelkan dengan pelbagai gelaran oleh perwakilan dan pemimpin yang berucap di majlis penggulungan.

Meskipun ada mesej perpaduan dan ingatan supaya jangan ada sabotaj terhadap parti dan calon yang dipilih tetapi nada ucapan Najib menggambarkan ketakutan beliau terhadap perkara ini mungkin memberikan mimpi lebih buruk kepada UMNO dan BN dalam pilihanraya nanti.

Serangan yang keterlaluan terhadap pembangkang dan para pemimpinnya yang dizahirkan oleh UMNO sepanjang pehimpunan kali ini jelas menggambarkan ketakutan yang terlalu menghantui UMNO tentang kekuatan pembangkang itu sendiri. Najib dan UMNO seolah-olah sepakat bahawa kekuatan pembangkang hanya dapat dilumpuhkan dan sokongan rakyat dapat dikembalikan melalui serangan dan kutukan yang tidak henti-henti itu.

Anehnya, sementara Najib dan semua pemimpinnya menyedari bahawa kemerosotan sokongan terhadap UMNO lebih berpunca daripada persepsi yang berjaya dilakarkan ke wajah mereka oleh pembangkang melalui pelbagai isu yang didedahkan kepada umum, tetapi UMNO tidak pula berusaha menjawab semua isu-isu tersebut.

Antara isu yang dipercayai telah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap UMNO ialah berkaitan rasuah pemimpin, salah guna kuasa, Scorpene, pembolotan peluang perniagaan oleh keluarga dan kroni pemimpin UMNO, campurtangan dalam pentadbiran kerajaan dan terakhir ini isu pengakuan Deepak yang melibatkan keluarga Najib sendiri.

Semua isu yang berlegar ini tidak dijawab sepanjang perhimpunan UMNO walaupun beberapa isu itu muncul seiring dengan perhimpunan seperti isu Deepak, Scorpene dan pengakuan bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan tentang campurtangan Hishammuddin dalam urusan polis.

Sementara perwakilan takut untuk membangkitkannya kerana bimbang dicop pro pembangkang dan tidak mahu nama tercicir sebagai calon pilihanraya, Najib dan kepimpinan utama UMNO pula sengaja mengelak untuk menjawab dan menangkis segala isu berkaitan perkara itu walaupun menyedari ianya amat menjadi perhatian di kalangan rakyat.

Naib Presiden UMNO, Zahid Hamidi yang sebelumnya nampak gah dengan berjanji akan menjawab isu Deepak ketika ucapan penggulungan, sekali lagi mungkir janji dengan rakyat Malaysia apabila langsung tidak menyentuh isu itu. Beberapa bulan sebelum ini, Zahid juga tidak menunaikan janjinya untuk menjelaskan isu beliau menggunakan jet untuk menunnaikan haji ke Mekah.

Baik Najib, Muhyiddin, Naib-Naib Presiden dan lain-lain pemimpin yang berucap tidak menggunakan pentas terbaik ketika perhimpunan ini untuk menjelas dan menjawab segala isu-isu yang menjadi buah mulut rakyat. Sewajarnya UMNO membuktikan mereka sentiasa dekat di hati rakyat dengan menggunakan kesempatan kali ini untuk menjawab semua isu-isu yang bermain di fikiran rakyat.

Dengan tidak menjawab semua isu-isu yang menjejaskan imej UMNO dari sudut persepsi itu, rakyat akhirnya berandaian ianya bukan lagi sekadar persepsi, tetapi adalah realiti dan kebenaran yang hakiki.

Perhimpunan kali ini menyerlahkan bahawa UMNO lebih sibuk menjaga rumahtangga orang lain daripada memperbaiki dan mencantikkan rumahtangga sendiri. Dengan asyik menyerang rumahtangga orang lain, UMNO terlupa halaman rumahnya sendiri bersepah dan cat luar rumahnya sudah pudar.

Selain tidak menjawab isu-isu yang berlegar dalam masyarakat, UMNO juga tidak menampakkan ia sebagai parti harapan untuk masa depan. UMNO lebih menyerang peribadi parti lawan dengan gambaran-gambaran yang menakutkan tetapi mereka sendiri tidak pula memberi tawaran yang terbaik atau membalas tawaran-tawaran yang dilakukan oleh pembangkang.

Buaian dan nyanyian nostalgia masih menjadi senjata UMNO sedangkan rata-rata rakyat lebih memikirkan tentang masa depan berbanding masa lalu. Ucapan dasar Najib jelas menyerlahkan hakikat itu tanpa beliau sedari bahawa generasi muda yang menjadi penentu dalam pilihanraya adalah generasi pasca merdeka dan juga pasca 13 Mei yang menjadikan pemikiran mereka lebih tertumpu kepada masa depan daripada nostalgia masa lalu.

Berbanding dengan muktamar PAS, tumpuan ucapan dan perbahasan kelihatan lebih tertumpu untuk memperbaiki parti, memberi cadangan dan teguran kepada pemimpin serta menggariskan apa yang harus dilakukan dan apa yang sepatutnya dielakkan dalam usaha menawan Putrajaya.

Beberapa pemimpin PAS ditegur keras oleh perwakilan, media rasmi Harakah dikritik dan lontaran idea bernas untuk memperbaiki kedudukan parti di mata rakyat dilontarkan tanpa sekatan. Dalam masa yang sama walaupun dipersetujui secara konsensus dalam PR bahawa Anwar adalah bakal PM jika berjaya memenangi pilihanraya tetapi keberanian untuk mencadangkan Haji Hadi untuk jawatan yang sama dilihat menggambarkan kematangan dalam menyuarakan pendapat.

PAS melalui muktamarnya yang terakhir sebelum pilihanraya ini dilihat berjaya meneguhkan lagi keyakinan mereka untuk terus mara menawan Putrajaya melalui kerjasama dengan PKR dan DAP. Walaupun bermacam tohmahan dan "batu ronson" muncul, keyakinan mereka tidak mudah goyang dan perpaduan antara tiga parti itu kekal utuh

Berbeza dengan UMNO, perhimpunan terakhirnya ini lebih menyerlahkan ketakutan yang nyata. Selain Anwar, kemaraan pembangkang dan kematangan rakyat yang mahukan perubahan yang turut menghantui Najib dan UMNO, mereka juga mempunyai ketakutan terhadap pemimpin sendiri yang mungkin melakukan sabotaj, tidak bekerja, menutup bilik gerakan atau melompat parti jika tidak terpilih sebagai calon nanti.

Ini menjadikan sekurang-kurangnya untuk tempoh sebulan dua ini, Najib masih tidak terjumpa tarikh sesuai untuk diadakan pilihanraya

No comments:

Post a Comment