UMNO bercanggah-canggah pemikirannya
dan bercelaru arahnya. Perhimpunan Agungnya yang tamat semalam akhirnya
benar-benar menunjukkan parti itu sudah tidak boleh diterima kata-kata mereka
yang bersalah-salahan maksudnya dalam satu ucapan. Pangkal ayatnya lain hujung
ayatnya lain.
Pada keseluruhannya UMNO tidak
mempunyai perkara baru dalam Perhimpunan Agungnya selain daripada mengugut dan
menakut-nakutkan sesama sendiri sambil berucap bergegar-gegar sehingga hampir
pecah Dewan PWTC itu. Perhimpunan itu sahajalah tempat UMNO mengumpulkan
ahli-ahlinya kerana ahli-ahli UMNO di peringkat bawahan tidak akan mampu
mengumpulkan orang walaupun dalam mesyuarat agung cawangan-cawangan
masing-masing.
Dalam mesyuarat agung
cawangan-cawangan parti itu hampir 60% dari mesyuarat itu tidak cukup korum dan
minit-minit mesyuaratnya tidak melambangkan keadaan sebenar dalam
mesyuarat-mesyuarat tersebut. Seperti biasa perhimpunan itu merupakan medan
memaki hamun Pakatan Rakyat dan yang paling hebat dikutuk ialah parti DAP dan
PAS. UMNO tidak dapat menerima kerjasama DAP dan PAS serta kehadiran Anwar
Ibrahim di dalam politik tanahair yang mengamalkan sistem demokrasi, acuan Dr
Mahathir itu.
Perhimpunan itu penuh dan sarat
dengan ucapan menakut-nakutkan orang Melayu kononnya jika Pakatan Rakyat
mentadbir negara, orang Melayu akan hilang politiknya, akan hilang Raja-Raja
Melayu, akan hilang agamanya dan akan hilang segala-galanya. Dalam beretorik
mengakui UMNO sebagai parti untuk perpaduan nasional, tidak pula mereka (UMNO)
dapat mengenepikan sikap suka memecah-belahkan perpaduan yang sedang giat
diusahakan oleh PAS dan DAP serta peranan PKR dalam mencapai cita-cita murni
itu.
UMNO masih memainkan lagu lama
seperti menyanyikan lagu Momok Latif dari hari pertama sehinggalah hari
terakhir perhimpunan itu semalam. Di Perhimpunan ini sahajalah Najib dapat
bercakap besar tetapi Najib sendiri tidak berani bercakap dan berbahas dengan
pihak pembangkang di ‘common platform’ untuk penyelesaian isu-isu yang
berbangkit. Najib hanya bercakap di atas pentas yang PR tidak dapat menjawab
isu-isu yang dibangkitkan serta merta. Najib hanyalah sebagai burung yang
terbang dan hinggap di dahan kayu buat sementara meninggalkan tahinya di
dahan-dahan tempat ia hinggap.
Isu Melayu akan hilang di dunia ini
merupakan isu biasa yang disebut-sebut, kononnya Melayu akan hilang di dunia
ini jika PR memerintah. Tetapi Najib tidak sedar yang Melayu telah hampir
hilang dunianya, dan jika BN terus mendapat mandat, keadaan bangsa Melayu yang
sepatutnya menjadi perjuangan UMNO akan hilang segala ‘competitiveness’
sedangkan bangsa lain telah jauh maju tanpa apa-apa masalah besar dengan parti
atau badan siasah yang memperjuangkan hak mereka. Melayu akan terus terkongkong
dengan penjara UMNO yang tidak mungkin membenarkan Melayu berfikir dan
bertindak mengikut kemampuan mereka yang ada.
UMNO telah membunuh Melayu
terus-terusan dengan tidak membenarkan Melayu menjadi ‘competitive’ dan hanya
diminta mendagu kepada UMNO semata-mata. Najib tidak sedar yang UMNO mempunyai
3.2 juta ahli sedangkan orang Melayu mempunyai jumlah penduduk melebihi 19 juta
orang. 15 juta orang Melayu dan Bumiputra tidak menjadi ahli UMNO tetapi mereka
hidup juga di dalam dunia ini.
Laungan orang Melayu akan hilang
segala-galanya tidak relevan lagi kerana UMNO itu sendiri sudah tidak relevan
lagi. Laungan yang Melayu akan hilang tanpa UMNO itu merupakan isu meleset
kerana di Kelantan UMNO boleh disifatkan parti yang sudah mati, tetapi orang
melayu masih hidup segar bugar dan tidak pula kita mendengar di Kelantan orang
Melayu mati bergelimpangan di Kota Bharu, Pasir Mas dan di daerah-daerah lain
di negeri itu.
Sekarang di Kedah UMNO boleh
dikatakan sebagai mati yang hampir pupus tetapi sejak PAS memerintah negeri itu
adalah salah satu negeri yang mendapat pujian dari Ketua Audit Negara sebagai
negeri yang ditadbir dengan baik dan orang Melayu masih bernafas malahan lebih
lega dari masa UMNO memerintah negeri itu. Tidak payah kita sebut Selangor dan
Pulau Pinang kerana semua orang sudah tahu yang kedua-dua negeri itu menjadi
negeri yang paling maju dan kedua-dua negeri ini menyumbang 40% dari pendapatan
Persekutuan kita ini.
Sebenarnya UMNO sudah kehabisan
modal. Justeru yang hanya tinggal yang boleh dijadikan isu hanyalah dengan
menakut-nakutkan orang Melayu sahaja.
Saya teringat bagaimana orang
tua-tua dahulu menakut-nakutkan anak-anak dan cucu-cucu mereka, kononnya jika
bersiar-siar di waktu petang yang menghampiri maghrib, kita akan berdepan
dengan syaitan-syaitan dan hantu jembalang. Anak-anak muda semasa itu semuanya
percaya. Tetapi hakikatnya orang-orang tua dahulu hanya mahu anak-anak mereka
duduk di rumah waktu itu kerana tidak mahu anak-anak mereka meninggalkan solat
maghrib. Begitulah UMNO yang menakut-nakutkan orang Melayu dalam perhimpunan
agung itu.
Sebenarnya mereka mahukan Melayu
tetap mengundi dan menyokong mereka kerana takutkan kuasa yang ada di tangan
mereka hilang dan terus merompak dan melanun khazanah negara kita ini. Itu
sahaja. Itulah sebabnya dalam posting saya yang sebelum ini saya menyebut yang
memisahkan kuasa dari UMNO itu ibarat memisahkan kulit dengan daging kita. UMNO
amat perit untuk menerima hakikat yang parti itu akan tumbang dalam pilihanraya
kali ini. Mereka tidak dapat menerima semua pihak berhak untuk mendtadbir
negara ini dengan dasar-dasarnya sendiri.
Maka itu sebabnya di dalam demokrasi
rakyat berhak untuk menggilir-gilirkan pentadbiran negara mereka. UMNO tidak
mahu rakyat tahu yang jika PR diberikan mandat kali ini, mereka boleh
kembalikan kuasa kepada UMNO dalam pilihanraya yang berikutnya. Sebab apa UMNO
takut? Jawapannya ialah kerana mereka takut tidak akan mampu untuk bangun
kembali jika PR memerintah kerana UMNO merupakan parti pemalas dan tidak mahu
berusaha untuk memperbaiki diri mereka walaupun jika parti itu sudah terdampar
di hadapan mata rakyat.
UMNO tidak seperti PAS yang mana
ahli-ahlinya mampu berdiri di atas kaki sendiri. Itu sebabnya saya menganggap
PAS seperti ayam kampung yang boleh mencari makan sendirian. Tetapi sebaliknya
UMNO itu ibarat ayam daging yang sentiasa mematukkan makanan siang dan malam
dengan senang. Itu sebabnya jika ayam daging dikeluarkan dari reban mereka ia
akan mati dalam tempoh dua hari sahaja kerana tidak mampu mencari makanan
sendiri.
Tindakan menakut-nakutkan orang
Melayu oleh UMNO itu adalah taktik yang sudah tidak laku lagi walaupun di
kalangan ahli-ahli UMNO itu sendiri. Saya mendapat puluhan sms dari perwakilan
UMNO itu sendiri sambil mengejek-ngejek ucapan pimpinan besar mereka dalam
perhimpunan agung itu sendiri. Bagaimana orang di luar UMNO hendak meyakini
parti itu lagi?
UMNO mesti bersedia untuk menjadi
pembangkang yang baik. Tetapi nampaknya UMNO sudah belajar menjadi pembangkang
sekarang ini jika kita ikuti perhimpunan itu. Mereka mengata PR seperti pihak
yang membangkang. Kalau sudah berlatih untuk menjadi pembangkang itu,
insyaallah mereka akan menjadi pembangkang yang baik. Ciri-ciri sabagai
pembangkang itu amat jelas terpapar di dalam perhimpunan agung parti itu dan
kita akui yang UMNO akan menjadi pembangkang yang berguna di Dewan Legislatif
Persekutuan dan DUN-DUN selepas pilihanraya ini.
Masalahnya UMNO kini dipimpin oleh
mereka yang tidak tahu apa-apa tentang UMNO itu. Mereka berfikir inilah cara
UMNO yang sebenarnya tetapi itu semuanya salah belaka. UMNO telah mengubah
paksi perjuangannya sejak Dr M mengambil alih pimpinan dan acuan itu sudah
menjadi acuan yang diguna pakai pada masa ini.
Itulah sebabnya rakyat terpaksa
mengubah acuan kali ini kerana acuan itu sudah dimamah zaman dan perlu diubah.
No comments:
Post a Comment