Saturday, November 24, 2012

BERAKHIRNYA ERA BN – BAHAGIAN PERTAMA OLEH LIEW CHIN TONG



 Barisan Nasional merupakan kerajaan bukan-komunis yang yang paling lama memerintah melalui pilihanraya demokratik (walaupun semua orang tahu bahawa terlampau banyak manipulasi dan taktik kotor digunakan oleh BN).


Namun demikian, setelah lebih setengah abad (sejak zaman pemerintahan Perikatan pada 1955), BN sudah tua dan uzur serta semakin lemah dan lelah. Ia sudah lapuk dan usang serta tidak relevan lagi kepada rakyat Malaysia. Gugurnya BN dari arena politik negara hanya  menunggu masa sahaja.

Lima sebab utama berakhirnya era BN adalah:

* BN semakin tidak popular

BN semakin tidak digemari pengundi pelbagai kaum di kawasan bandar, pengundi pelbagai kaum di kalangan wanita, pengundi muda pelbagai kaum di-bawah umur 40, pengundi bukan-Melayu di seluruh negara dan pengundi Bumiputera bukan-Islam di Sabah dan Sarawak. Kumpulan-kumpulan ini marah dengan kepimpinan BN yang diterajui UMNO yang lebih mementingkan kroni mereka sahaja.

* Gula-gula politik BN gagal beli undi

Senjata lazim yang dipakai oleh BN untuk memenangi pilihanraya-pilihanraya lalu, iaitu wang, sudah semakin tumpul. Sehinggakan trend masakini ialah para pengundi sudah bijak untuk menerima habuan kerajaan tetapi tidak mengundi BN kerana mereka tahu ia bukan duit dari poket pemimpin BN, sebaliknya ia adalah wang milik rakyat.

Ia cuma seperti harta kembali kepada tuan yang asal. Habuan seperti BR1M, sama yang diberi tahun lalu atau tahun depan sebenarnya adalah daripada cukai pendapatan rakyat, dan dengan itu, rakyat sudah sedar bahawa tidak perlu rasa terhutang budi apabila menerima bantuan yang sememangnya hak dan milik rakyat sendiri.

* Amalan kronisme BN yang menjadi-jadi

Kerajaan BN yang sekian lama mengamalkan amalan nepotisme dan kronisme terus dan akan meneruskan amalan terkutuk ini yang telah menyebabkan banyak kumpulan rakyat terpinggir dan terbiar. Selagi BN kekal berkuasa, amalan pilih kasih dan diskriminasi itu akan menjadi corak pentadbiran negara yang menimbulkan gejala rasuah, salah guna kuasa dan pembaziran.

* Ancaman inflasi yang tidak terkawal dan ketidaktentuan ekonomi

Masalah ekonomi yang hanya mengkayakan kapitalis yang sudah kaya tetapi memiskinkan rakyat yang gigih berusaha sudah menjadikan kelaziman BN, khususnya sejak awal tahun 1980-an. Keadaan ini menyebabkan tekanan inflasi dan ketidaktentuan ekonomi negara.

Sebagaimana yang diucapkan oleh tokoh sains dunia Albert Einstein, “Kegilaan bererti melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali tetapi mengharapkan keputusan yang berlainan.” Kata-kata ini mengajar kita bahawa kalau hendak kepada perubahan, yang pertama, amalan yang buruk atau tidak baik mesti diubah terlebih dahulu!

* Kemunculan media alternatif

Kemunculan media alternatif telah memberi peluang kepada rakyat untuk mendapatkan berita-berita dan warta-warta yang bernas dan tidak berat sebelah tentang urusan pentadbiran negara. Rakyat sudah semakin tidak percaya lagi dengan media besar kawalan BN yang hanya menyiarkan berita kebaikan pemerintah tetapi mengutuk segala kebaikan Pakatan Rakyat serta masyarakat sivil.

Media seperti Utusan Malaysia dan TV3 serta sekutu-sekutu mereka telah terbukti berniat jahat dengan menyiarkan fitnah yang boleh mencetuskan huru-hara dalam negara. Nasib baik rakyat Malaysia sudah matang dan sudah fasih dengan taktik kotor media kawalan UMNO itu, dan menjadikan suara kerajaan BN tersebut semakin tidak relevan. – Roketkini.com

Liew Chin Tong adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Setiausaha Biro Antarabangsa DAP. Rencana ini ditulis dengan kerjasama dam bantuan Soh Boon Hong

Bahagian kedua: Bagaimana Pakatan Rakyat dapat mengembalikan maruah dan harga diri rakyat Malaysia

No comments:

Post a Comment