Friday, July 13, 2012

KADAR JENAYAH TURUN 26%, TETAPI ......?


Written by  Viktor Wong, Malaysia Chronicle

Menurut ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar, kadar jenayah dalam negara kita ini daripada bulan Januari 2012 hinggalah Jun 2012 telahpun turun pada kadar 26 peratus.

Daripada manakah statistik tersebut diperolehi? Adakah Tan Sri Omar dan para pegawai tingginya di Bukit Aman mengesahkan ketepatan kadar dan statistik tersebut? Siapakah yang menyediakan statistik tersebut dan adakah ianya dikaji dengan teliti serta disahkan kesahihannya sebelum ianya diumumkan secara rasmi kepada orang ramai?

Persoalan ini timbul apabila berdasarkan beberapa laporan baru-baru ini yang didapati kegiatan jenayah di negara ini telah menjadi semakin berleluasa, seolah-olah tidak lagi dapat dikawal.


Yang terbaru adalah seorang mangsa warga emas terbunuh setelah diserang oleh seorang peragut bermotosikal. Dan kejadian tersebut juga telah menimbulkan kemarahan di kalangan umum mengenai ketidakberkesanan pihak polis di dalam memerangi kegiatan jenayah di kawasan-kawasan yang dikenal pasti.

Sebelum ini laporan kajian di Petaling Jaya, Selangor juga telah mengesahkan kira-kira 320 kes samun, rompakan dan ragut telah berlaku di daerah tersebut pada setiap hari di antara bulan Mei 2012 hingga Jun 2012 sahaja. Selain daripada itu, kadar jenayah juga dilaporakan agak tinggi di kawasan Lembag Klang.

Para penjenayah ini bukan setakat meragut, merompak ataupun menyamun, bahkan sudah menjadi lebih ganas dan sanggup membunuh sesiapa sahaja demi mendapatkan habuannya.

Sebab apa yang Bukit Aman berikan?

Sebelum ini, beberapa pegawai kanan polis di Bukit Aman pernah beberapa kali menyatakan sebab-sebab pihak polis tidak dapat memerangi jenayah dengan lebih berkesan.

Di antaranya adalah kekurangan anggota polis untuk menjalankan tugas-tugas rondaan dan pencegahan. Di manakah kesemua anggota-anggota polis yang begitu ramai?

Jawapannya adalah, kebanyakan anggota-anggota polis ini telah ditugaskan untuk mengintip dan menagkap musuh-musuh politik Umno dan Barisan Nasional (BN). Malah, sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 dan Himpunan Hijau 1.0, ribuan anggota polis yang tak terkira jumlahnya telah dikerah ke kedua-dua kawasan tersebut bagi menahan dan membelasah orang ramai yang menyertai kedua-dua perhimpunan tersebut yang diadakan secara aman dan teratur.

Selain daripada itu, pihak di Bukit Aman turut menyalahkan masyarakat umum yang enggan turut serta di dalam siri pencegahan jenayah dalam negara ini. Kenapa pula menyalahkan orang ramai? Adakah orang-orang awam ini dilatih untuk menjalani kegiatan pencegahan jenayah ini?

Jika sekiranya orang-orang awam yang menyertai kegiatan pencegahan ini mengalami kecederaan ataupun meninggal dunia sewaktu menjalankan usaha tersebut, adakah keluarga mereka akan diberikan pampasan ataupun apajua bentuk gantirugi yang adil dan setimpal dengan jasa-jasanya?

Kegiatan mat rempit turut bertambah

Kita semua sememangnya mengetahui bahawa kebanykan kes-kes samun, rompakan dan ragut ini adalah perbuatan kebanyakan daripada kalangan golongan mat rempit yang semakin berleluasa kegiatannya.

Selain daripada terlibat di dalam kegiatan lumba motosikal haram, golongan mat rempit ini juga didapati terlibat dalam siri rompakan yang nekad, malah ada yang sanggup membunuh, menjadi penagih dan pengedar dadah, terlibat di dalam kegiatan penyeludupan, pelacuran dan banyak lagi.

Ya, terdapat beberapa laporan berita yang menyatakan pihak polis telah berjaya menahan kebanyakan daripada mat rempit ini, tetapi apakah tindakan susulan? Apakah hukuman yang setimpal dikenakan terhadap golongan penjenayah bermotosikal ini?

Yang kita selalu dapati adalah mat rempit yang ditahan ini kebanyakan akan dilepaskan dengan begitu sahaja pada keesokan hari setelah beberapa proses biasa dijalankan. Itu sahaja? Apakah langkah-langkah seterusnya oleh pihak polis?

Pihak polis akan sering memberikan alasan yang undang-undang yang sedia ada tidak mempunyai peruntukan yang mencukupi untuk mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap golongan ini. Apakah tindakan kementerian dalam negeri? Tidak ada sehingga hari ini.

Sebelum ini, Pergerakan Putera Umno ada juga menggerakkan satu usaha untuk mengumpul golongan mat rempiit ini untuk “dipulihkan” dan malah ada di antara mat-mat rempit ini diambil masuk menjadi ahli Putera Umno, menyertai beberapa program cuti dan ekspedisi ke luar negara bagi menjalani beberapa siri “latihan” untuk mengembalikan mereka ke pangkuan masyarakat kononnya.

Apa yang telah berlaku seterusnya? Golongan mat rempit yang kini menganggotai Putera Umno ini telah ditugaskan sebagai “shock troops” untuk menganggu, menakut-nakutkan dan mengancam para pemimpin pembangkang, para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO), para pemimpin pertubuhan hak asasi kemanusiaan, penganalisa politik dan ramai lagi.

Kita perhatikan bagaimana pengerusi bersama Bersih 3.0 Datuk S.Ambiga dan keluarganya diganggu dan diancam oleh golongan ini, lihatlah apa yang telah berlaku terhadap beberapa orang pemimpin pelajar yang telah berkumpul di Dataran Merdeka sebelum ini, serangan terhadap dua orang penganalisa politik, Wong Chin Huat dan Ong Kian Ming.

Jelas, kesemua perbuatan ini dilakukan oleh golongan mat rempit yang diupah oleh pihak-pihak yang tertentu yang mempunyai kepentingan politik serta berkuasa.

Penubuhan Polis Bantuan ditolak

Berbalik kepada Selangor pula, kerajaan negeri dan beberapa majlis perbandaran di negeri yang sama pernah mengemukakan permohonan kepada kementerian dalam negeri (KDN) untuk menubuhkan pasukan polis bantuan bagi membantu pihak berkuasa di dalam kegiatan pembenterasan jenayah di negeri tersebut.

Akan tetapi, KDN menolak mentah-mentah usaha murni kerajaan negeri Selangor dan beberapa majlis perbandaran negeri tersebut.

Menteri dalam negeri dan naib-presiden Umno Datuk Hishammuddin Hussein memberikan alasan penolakan permohonan tersebut adalah kerana Polis DiRaja Malaysia telah mempunyai jumlah anggota yang mencukupi bagi mengawal selia keselamatan negeri tersebut.
Bagaimanapun, Datuk Hishammuddin tidak pula menyatakan alasan kedua penolakan permohonan tersebut iaitu, “kerana Selangor kini diperintah oleh Pakatan Rakyat dan adalah tidak wajar sesebuah kerajaan negeri bukan-BN diberikan kuasa kePolisan”.

Akibat daripada itu, lebih 320 jenis kes jenayah dicatatkan di Petaling Jaya daripada Mei 2012 hinggalah ke Jun 2012. Bagaimana pula dengan kawasan-kawasan lain di Selangor dan negeri-negeri yang lain?

Tujuan naib-presiden Umno itu adalah jelas, membiarkan jenayah meningkat di negeri Selangor supaya ianya dapat dijadikan suatu isu atau bahan kempen di dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Berkemungkinan juga jumlah anggota polis di negara ini adalah mencukupi, Cuma sebahagian besar anggota-anggota tersebut ditugaskan di bahagian politik Cawangan Khas untuk memerhati dan mengawal pergerakan para pemimpin parti-parti pembangkang, NGO hak asasi kemanusiaan dan NGO yang memperjuangkan keadilan sosial.

Boleh tak ketua polis negara memberikan satu statistik yang memaparkan jumlah anggota polis seluruh negara yang ada pada hari ini, di bahagian atau cawangan manakah setiap anggota polis ini ditempatkan dan apakah tugas-tugas, tanggungjawab mereka di setiap bahagian atau cawangan serta jumlah keanggotaan di setiap negeri, daerah dan perkampungan?

Selepas itu, dapatlah kita mengkaji dan meneliti semula kadar jenayah dan indeks pengurangan jenayah yang dikemukakan oleh Bukit Aman bagi menentukan sama ada laporan tersebut sahih atau sebaliknya.



No comments:

Post a Comment