Thursday, June 7, 2012

SIAPAKAH AKAN MEMANTAU PEMBAHARUAN PILIHANRAYA?


Written by  Viktor Wong, Malaysia Chronicle

Ada beberapa pihak yang mengemukakan cadangan mereka agar Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) bagi Pembaharuan Pilihanraya dinaiktarf menjadi satu PSC yang tetap bagi memerhati dan mengawalselia pembaharuan sistem pilihanraya di negara ini dalam semua aspek dan jadual perlaksanaan, dan pada masa yang sama PSC itu juga boleh bertindak sebagai satu badan pemantau dan penasihat kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Di pihak SPR pula, menurutnya mereka telahpun mengumumkan dengan begitu cepat sekali bahawa mereka telah bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya umum ke-13 (PRU13) yang akan datang pada bila-bila masa. Persoalannya adalah bagaimana dengan 32 cadangan pembaharuan yang telah dikemukakan oleh PSC bagi Pembaharuan Pilihanraya sebelum ini?

Apakah perkembangan terbaru mengenai hasil perlaksanaan 32 cadangan yang diketengahkan oleh PSC itu? Adakah SPR betul-betul telah menjalankan tanggungjawabnya dengan perlaksanaan 32 cadangan tersebut? Siapakah yang akan memantau perlaksanaan pembaharuan tersebut? Inilah persoalan yang masih tidak dapat dijawap oleh SPR sehingga ke hari ini. Sama ada pihak pengurusan SPR itu degil atau hanya tunduk kepada arahan para pemimpin Umno dan BN, itu kita tidak dapat pasti.

Pada bulan Februari 2012 yang lalu, kerajaan pusat BN telah memberi arahan perlaksanaan agar dakwat kekal itu digunakan pada PRU13 yang akan datang bagi memastikan agar para pengundi tidak mengundi lebih daripada sekali. Pada hujung April 2912 pula, SPR telah mengumumkan bahawa pihaknya telah berjaya mengurangkan bilangan pengundi yang tidak dapat dikenalpasti, tersalah senarai, tidak wujud, nama palsu dan sebagainya daripada senarai daftar pemilih kepada 40,803 daripada jumlah sebelum ini iaitu pada 42,000 pada Januari 2012 yang lalu.

Walaubagaimanapun, sejauah manakah pembaharuan pilihanraya itu telah dilaksanakan dan bagaimanakah ianya dijalankan masih menjadi tanda tanya dan dipersoal banyak pihak akan kesahihannya.

Selain daripada itu, SPR juga didapati tidak serius di dalam menangani masalah senarai daftar pemilih yang mempunyai ramai pengundi yang tidak dapat dikenalpasti, tersalah senarai, tidak wujud, nama palsu dan kes-kes terlalu ramai pengundi yang bermastautin di dalam satu alamat rumah. Ekoran daripada itu, PSC juga telah mencadangkan agar MIMOS Berhad dipertanggungjawabkan memantau masalah tersebut dan melaksanakan proses mengemaskinikan senarai daftar pemilih. Namun begitu, cadangan tetap cadangan dan ianya masih belum dilaksanakan sehingga ke hari ini.

PSC sebelum ini juga telah mengesyorkan agar SPR segera mempamerkan senarai daftar pemilih kepada umum dalam masa 45 hari sebagai salah satu daripada langkah awal untuk mengemaskinikan senarai tersebut. Setelah lebih daripada 7 minggu cadangan PSC itu dikemukakan, SPR masih gagal mengambil langkah tersebut yang disifatkan rakyat jelata sebagai keterlaluan dan kurang ajar.

Saranan jadikan PSC badan tetap

Oleh keraa SPR tidak prihatin dan sehingga pada hari ini gagal mengambil langkah-langkah pembaharuan yang sewajarnya seperti yang telah disyorkan oleh PSC, jawatankuasa bertaraf parlimen tersebut seharusnya dilantik semula dan dinaiktarafkan sebagai sebuah badan tetap bagi memantau pembaharuan-pembaharuan yang perlu dilaksanakan, menjalankan kerja-kerja mengaudit perlaksanaan di dalam SPR, memeriksa sistem dan pengurusan dari masa ke semasa dan sebagainya.

Walaupun PSC itu tidak mempunyai kuasa untuk mengarah SPR untuk melaksanakan beberapa siri pembaharuan tersebut, namum PSC seperti yang telah disebut tadi dapat memainkan peranan mereka dari segi pemantauan, sebagai juruaudit atau pemeriksa urus dan pada masa yang sama memberikan penekanan yang berterusan melalui sidang parlimen agar ianya dapat diajukan kepada SPR sebagai arahan untuk perlaksanaan tersebut dijalankan.

Selain daripada itu, hasil usaha dan pengalaman ahli-ahli PSC yang lalu tidak seharusnya disiar-siarkan dengan begitu sahaja dan peranan mereka wajar diteruskan bagi memastikan agar perlaksanaan pembaharuan pilihanraya tersebut dijalankan dengan sepenuhnya.
Kurangnya usaha dan pendekatan politik
Kenapa apabila ahli-ahli parlimen daripada Pakatan Rakyat mengemukakan beberapa usul agar SPR dipantau mengenai cadang pembaharuan tersebut, ahli-ahli daripada BN pula yang menentang keras dengan mengatakan bahawa perlaksanaan pembaharuan di dalam SPR itu tidak memerlukan campurtangan politik?

Bukankah telah disahkan baru-baru ini yang pengerusi dan timbalan pengerusi SPR adalah juga ahli-ahli Umno? Akibat daripada itu, SPR jelas telah diUmnokan.

Dan jikalau pembaharuan tersebut tidak dipantau dengan desakan-desakan politik, yakinkah pembaharuan tersebut akan dilaksanakan dengan sepenuhnya? Jawapannya adalah tidak, kerana sekiranya rakyat biasa atau NGO yang akan memberikan penekanan tersebut, adakah ianya akan berkesan? Tidak! Kerana SPR akan menjawab balas dengan mengatakan rakyat jelata dan NGO tidak dapat berbuat demikian kerana pengurusan dalam SPR adalah tertakluk pada Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Walaupun ada cadangan agar PSC bagi Pembaharuan Pilihanraya harus dikekalkan dan dijadikan sebagai sebuah badan tetap, terdapat perbezaan pendapat di kalangan umum yang mengatakan PSC itu tidak mempunyai pendekatan politik yang berkesan bagi memastikan agar cadangan dan usulnya digunapakai dengan sepenuhnya.

Oleh kerana tidak ada undang-undang yang memperuntukan PSC itu untuk menguasai proses dan perlaksanaan, kerajaan tidak semestinya akan mengikuti segala cadangan dan usul yang dikemukakan PSC tersebut.

Selain daripada itu, jumlah keahlian yang terbahagi di antara ahli-ahli parlimen BN, Pakatan dan Bebas itu juga didapati tidak seimbang. Oleh kerana bilangan ahli-ahli BN adalah lebih ramai, BN juga dapat mengambil kesempatan dengan menggunakan majoriti mereka untuk menolak sebarang cadangan dan pendapat yang dikemukakn oleh ahli-ahli Pakatan dan Bebas.

Dalam pada itu, secara teknikal, sesebuah PSC itu adalah di bawah parlimen dan jika sekiranya parlimen dibubarkan, maka PSC itu akan juga terbubar secara automatik.

Negara kita ini telahpun mempunyai pelbagai institusi-institusi dan ianya sudah mencukupi untuk menggerakkan sesuatu perlaksanaan dasar pada umumnya. Namun, kelemahan pada sistem yang ada sekarang adalah kerana kurangnya pendekatan politik terhadap usaha-usaha tersebut. Kelemahan tersebut adalah disebabkan kerajaan BN yang mempnyai majoriti di dalam parlimen tidak dan enggan menghormati sepenuhnya proses demokrasi tulen dan konsep perkongsian kuasa di negara ini dengan amalan ketelusan, kejujuran, kecekapan dan akauntabiliti bagi membolehkan sistem perkhidmatan awam negara ini menjadi sebuah badan profesional.

Oleh yang demikian, kita tidak mempunyai pilihan lagi, walaupun rakyat jelata dan para NGO tidak mempnyai kuasa untuk memantau, namum, rakyat jelata dan para NGO yang begitu ramai masih mempunyai kekuatan yang tidak terbilang jumlahnya melalui Bersih 2.0 dan 3.0 dapat berkumpul dan berhimpun secara beramai-ramai di seluruh negara bagi membantah ketidakprihatinan dan kediktatoran kerajaan BN yang cuba menyekat dan mengekang amalan demokrasi.

Bagi mendidik dan memastikan rakyat jelata sedar dan faham akan hak asasi mereka, Jawatankuasa Pengelola Bersih seharusnya meneruskan beberapa siri program murni mereka ke seluruh pelusuk tanahair bagi menjelaskan kepada rakyat jelata mengenai perlunya pembaharuan di dalam pilihanraya itu dilaksanakan dengan segera bagi memastikan hak mengundi rakyat kita terjamin dan kedudukan politik negara kita ini tidak terus dicerobohi oleh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang kebanyakannya telah berjaya menyusup masuk ke dalam senarai daftar pemilih.

No comments:

Post a Comment