Friday, April 27, 2012

SIAPA MENINDAS DAN SIAPA YANG DITINDAS?


Tatkala PAS memerintah keseorangan di Kelantan, tiada pun kedengaran pun ada suara yang menyatakan bagaimana Umno menindas PAS berdekad lamanya.

Tatkala PAS memerintah Terengganu, tiada pun kedengaran suara yang menyatakan Umno zalim apabila menarik balik bayaran royalti minyak Terenganu.

Rakyat Terengganu yang menyokong Umno tiga dekad lamanya, oleh kerana memilih PAS pada 1999 terus ditarik hasil royalti mereka.

Apakah umat Islam di Terengganu yang menyokong PAS pada 1999 telah tetiba berubah menjadi "tidak Melayu" di hati Umno?

Apakah umat Islam di Kelantan bukan rakyat Malaysia yang berbangsa Melayu di hati Umno?

Semasa PAS ditindas Umno sekian lama, tiada pun suara daripada para pejuang kini yang bersuara dan mempersoalkan mengapa Melayu Umno sanggup bekerja dengan MCA untuk menindas Melayu di Kelantan dan Terengganu.

Apabila semua parti yang ditindas Umno sekian lama mengambil keputusan bergabung atas prinsip tahaluf siyasi supaya tidak lagi mudah ditindas Umno dan Umno tetiba kehilangan lima negeri kesayangan; timbul suara sumbang yang berkata PAS sanggup bekerjasama dengan DAP dan PKR untuk menindas Umno.

Soalnya selama ini, siapa menindas dan siapa yang tertindas selama ini?

Yang selama ini membuli, tiba-tiba menjadi lemah kerana rakyat semakin menolak, tetiba menuduh, menangis depan rakyat bahawa pihak yang ditindasnya selama ini ialah pembuli sebenar.

Logikkah?

Yang lebih menyedihkan, ada juga manusia yang diberi akal untuk berfikir mempercayai perkara yang begitu terang-terang satu pembohongan.

PAS ditindas selama ini, adakah Umno kisah? Adakah sesiapa pejuang Melayu yang peduli?

Mereka tidak berteriak dulu semasa PAS ditindas, adil ke mereka berteriak sekarang, tatkala hanya kerana takut Umno kehilangan kuasa dan lebih-lebih lagi dalam keadaan Umno masih lagi dalam posisi menindas?

Disebabkan Umno semakin susah untuk menindas gabungan tahaluf siyasi PAS-DAP-PKR, pelbagai helah digunakan untuk meleraikan gabungan ini.

Umno inginkan PAS kembali ke zaman dulu, zaman di mana mereka boleh menindas segala macam pada PAS, dan tiada pejuang Melayu yang akan bersuara malah akan bertepuk tangan.

Lihatlah hipokrisi ini sendiri dengan mata yang jelas. Islam menuntut kita berlaku adil dalam semua keadaan.

Antara yang menindas dengan yang ditindas, siapakah yang anda wajib tolong?

Sumber : Harakahdaily

No comments:

Post a Comment