Monday, March 9, 2009

SURAT UNTUK DATO' SERI ANWAR IBRAHIM

YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM,
Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia,
Bangunan Parlimen,
Kuala Lumpur.




YB Dato’ Seri,

PROGRAM RUMAH MESRA RAKYAT [RMR]

Saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas. Sebagaimana YB Dato’ Seri sedia maklum bahawa kerajaan Malaysia di bawah pimpinan UMNO/BN telah melaksanakan program Rumah Mesra Rakyat [RMR]. Kerajaan telah memberi tanggungjawab itu kepada Syarikat Perumahan Negara Berhad [SPNB] bagi membina RMR ke seluruh negara. Pada tahun 2009, kerajaan telah mengeluarkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta kepada SPNB bagi membina 6,500 unit rumah jenis ini untuk golongan yang berpendapatan rendah mengikut taburan kawasan Parlimen di Malaysia.

YB Dato’ Seri,

2. Saya amat pasti bahawa YB Dato’ Seri sedar bahawa SPNB telah diperbadankan pada 21 Ogos 1997 dan mula beroperasi pada Mei 1998. SPNB adalah sebuah syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan [MOF Inc.].Objektif asal penubuhan SPNB adalah bertujuan untuk menyediakan rumah kos rendah kepada warganegara Malaysia. Kini, SPNB telah diberi peranan lebih luas lagi untuk memastikan Polisi Perumahan Negara dilaksanakan dengan jayanya.

3. SPNB diterajui oleh sembilan [9] barisan Lembaga Pengarah [ke semua mereka adalah terdiri daripada aktivist UMNO] yang dipengerusikan oleh YB. Senator Dato’ Azian Osman. Azian merupakan orang kuat UMNO. Beliau adalah seorang Ketua UMNO Bahagian Ipoh Timur. Disamping itu, beliau juga merupakan Ketua Penerangan UMNO Perak, AJK Penerangan UMNO Pusat, AJK Biro Anti Dadah UMNO, Ahli Lembaga Pengarah Risda dan Ahli Lembaga Pengarah Perak Corporation Berhad.

YB Dato’ Seri,

4. SPNB dipertanggungjawabkan membina rumah yang mampu dimiliki dan selesa untuk didiami melalui pelaksanaan dua program perumahan di samping membantu membaikpulih kembali projek perumahan yang telah terbengkalai. SPNB juga berperanan membina kuarters kerajaan dan projek perumahan khas berdasarkan arahan Kementerian Kewangan.

5. Bagi melaksanakan tanggungjawab membina rumah kepada golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai kecukupan kewangan untuk membina rumah sendiri, tetapi mempunyai tanah bagi tujuan tersebut. Program ini juga ditujukan kepada rakyat yang belum atau tidak mampu memiliki rumah yang dibina oleh pemaju swasta yang lebih mementingkan keuntungan daripada tanggungjawab sosialnya, maka kerajaan telah melaksanakan Program Rumah Mesra Rakyat untuk membantu golongan yang disebutkan itu.

6. Program ini seperti yang disebutkan di atas diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah seperti nelayan, petani dan keluarga miskin yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang [daif], tetapi mempunyai tanah untuk memiliki rumah sendiri yang sempurna dan selesa. Kelayakan pemohon ialah :

i. Warganegara Malaysia
ii. Pemohon mestilah berumur 18 hingga 65 tahun
iii. Pendapatan kasar seisi rumah tidak melebihi RM1,500 sebulan
iv. Tidak mempunyai rumah sendiri atau mempunyai rumah yang usang / tidak sempurna
v. Mempunyai tanah/tapak yang bersesuaian dan tiada sekatan/ agaran ke atasnya. Jika tanah bukan kepunyaan pemohon, Surat Akuan/ Kebenaran Berkanun dari tuan tanah diperlukan untuk membina dan menggadai tanah tersebut kepada SPNB
vi. Berkahwin atau, ibu/bapa tunggal yang mempunyai tanggungan.

YB Dato’ Seri,

7. RMR adalah berkonsepkan rumah sesebuah yang berkeluasan di antara 700 kps sehingga 866 kps mempunyai 3 bilik tidur serta 2 bilik air di mana satu pertiga [1/3] daripada kos pembinaan dibiayai Kerajaan Persekutuan, manakala pemohon hanya perlu membayar dua pertiga [2/3] berdasarkan konsep Qadrul-Hassan. Lihat model rumah berkenaan di bawah:

i. Kelulusan 700 kps





ii. Keluasan 866 kps




8. Harga seunit sekarang ialah di antara RM65,000.00 hingga RM75,000.00. Kos ini berdasarkan kedudukan sesebuah negeri [bertaraf maju atau mundur] dan kawasan Parlimen [sama ada dikategorikan dalam bandar atau luar bandar]. Pembayaran balik pinjaman secara bulanan adalah RM150 sebulan sehingga selesai pinjaman seperti yang dijadualkan.


9. Dalam pada itu YB Dato’ Seri, SPNB juga ada melaksanakan Skim Rumah Amal Jariah sumbangan SPNB sendiri kepada golongan miskin tegar yang berkelayakan. Skim ini dibiayai daripada keuntungan tahunan SPNB yang telah diluluskan oleh Lembaga Pengarah.Terdapat dua jenis bantuan iaitu: [i] Membina rumah baru dengan keluasan lantai di antara 480 kps sehingga 600 kps.[ii] Membaiki rumah usang/uzur. Kelayakan pemohon adalah seperti berikut :

i. Golongan kurang upaya yang tidak mampu bekerja dan mempunyai tanggungan yang ramai.
ii. Golongan penghidap penyakit kronik [penyakit seperti sindrom kurang daya tahan (AIDS), sindrom Parkinson, barah, penyakit buah pinggang, leukaemia, serangan jantung, pulmonary hypertension, penyakit hati kronik, fulminant viral hepatitis, trauma kepala dengan defisit nurologikal, ketumbuhan otak dan kecacatan kepada pembuluh darah, melepur dan melecur yang keterlaluan, pemindahan organ, pemotongan kaki dan/atau tangan] yang tidak mampu berdikari dan mempunyai tanggungan yang ramai.
iii. Ibu/bapa tunggal yang daif dan telah berumur serta mempunyai tanggungan yang ramai.
iv. Mendiami rumah yang usang atau keadaan rumah yang terlalu uzur, reput dan hampir roboh.

YB Dato’ Seri,

10. Matlamat perlaksanaan program RMR ini sangat murni bagi membantu rakyat yang kurang bermampuan, tetapi amat malang sekali perlaksanaannya tidak memenuhi matlamat pengujudan program RMR itu. Rupa-rupanya YB Dato’ Seri, UMNO mempunyai agendanya yang tersembunyi. UMNO telah memperalatkan SPNB dengan mengunakan peruntukan wang rakyat untuk mengrekrutkan lebih ramai ahli atau penyokong UMNO. UMNO telah menyalahgunakan kuasa secara terang-terangan. Tindakan perlu diambil terhadap UMNO yang melakukan kezaliman terhadap rakyat.

11. Telah menjadi syarat tidak bertulis, setiap rakyat [yang cukup syarat-syarat seperti yang ditetapkan secara bertulis] yang ingin atau bercadang memohon RMR ini, mereka terlebih dahulu dikehendaki mengisi borang masuk menjadi ahli UMNO dan berikrar akan membantu, menyokong dan wajib menghadiri sebarang program/aktiviti yang dianjurkan oleh UMNO atau yang melibatkan kepentingan UMNO.

12. Adalah dimaklumkan borang permohonan RMR diletakkan di Pejabat UMNO Bahagian, bukan di Pejabat SPNB. Pemohon akan disemak latar belakang politiknya. Sekiranya pemohon adalah ahli atau penyokong PAS atau PKR, borang tidak akan diberikan. Disamping itu, permohonan tersebut wajib mendapat sokongan daripada Ketua Bahagian UMNO. Kalau ‘ya’ kata Ketua Bahagian, maka permohonan itu akan diluluskan. Sekiranya ‘tidak, maka permohonan itu tidak diluluskan. Seolah-olah RMR ini adalah program dan dibiayai daripada duit poket UMNO sendiri, bukan duit rakyat yang dikutip melalui berbagai jenis cukai.

YB Dato’ Seri,

13. Perbuatan begini sangat tidak adil dan zalim terhadap rakyat yang amat memerlukannya, apatah lagi bagi rakyat yang memenuhi syarat-syarat bertulis yang ditetapkan itu. UMNO mengambil tindakan sebegini untuk menarik sokongan rakyat kepadanya. YB Dato’ Seri, tindakan diskriminasi ini memberi kesan amat buruk terhadap masyarakat terutama di kampung-kampung.

Pertama, wujud ketidaksamaan taraf hidup yang diukur dari segi pemilikan tempat kediaman akan menjadi bertambah melebar. Rakyat bukan dikalangan ahli UMNO akan berterusan memiliki rumah usang dan daif, berbanding ahli-ahli UMNO yang sebahagian besarnya memiliki rumah yang lebih eluk dan selesa.

Kedua, masyarakat kampung akan berpecah belah dan berkelahi sesama sendiri kerana tindakan diskriminasi yang UMNO lakukan itu.

Ketiga, timbulnya perasaan hasad dengki dan dendam yang akan memusnahkan perpaduan sesama seagama yang telah dipupuk begitu lama.

Keempat, akan muncul berbagai masalah sosial lainnya.

YB Dato’ Seri,

14. Oleh yang sedemikian adalah diharapkan YB Dato’ Seri memperjuangkan kepentingan rakyat yang haq mereka dirampas sewenang-wenangnya oleh UMNO melalui :

i. Di Parlimen, memohon menteri yang bertanggungjawab memperjelaskan status RMR. Adakah program RMR dilaksanakan ini hanyak khas untuk ahli-ahli UMNO atau untuk rakyat tanpa mengira fahaman politik?

ii. Kalau jawapan menteri menyatakan bahwa program RMR untuk rakyat tanpa mengira kaum, agama dan perbezaan fahaman politik, maka jasa baik YB Dato’ Seri amat diperlukan untuk membolehkan borang permohonan diletakkan di Pejabat SPNB atau Jabatan/Agensi kerajaan, bukan diletakkan di Pejabat UMNO bagi memudahkan rakyat mengambilnya.

iii. Tidak memerlukan atau menwajibkan sokongan Ketua Bahagian UMNO. Ia perlu berjalan mengikut undang-undang atau peraturan biasa.

iv. Rakyat boleh terus mengemukakan permohonan ke pejabat SPNB tanpa perlu melalui Pejabat UMNO Bahagian.

Sekian sahaja surat saya untuk YB Dato’ Seri selaku Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia bagi memperbetulkan keadaan yang tidak betul ini. Saya memohon maaf seandainya surat ini menganggu tumpuan YB Dato’ Seri terhadap isu lain yang lebih mustahak, berbanding isu yang saya bawa ini. Walau bagaimana pun saya menganggap isu amat penting kerana ia melibatkan kebajikan penduduk kampung yang memerlukan pembelaan daripada YB Dato’ Seri.

Diangkat surat ini untuk tindakan YB Dato’ Seri selanjutnya.

Terima kasih.Wassalam.

Saya yang benar,

Tun_Telanai

Sk:

YB Ustaz Nasir Haji Zakaria,
Ahli Parlimen Padang Terap.

No comments:

Post a Comment