Monday, March 9, 2009

SISTEM KEHAKIMAN YANG BOBROK

Dipetik Daripada Laman : http://telaahpolitik.blogspot.com/

Biarpun banyak dipersoalkan tentang kelayakan Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim mengeluarkan perintah terhadap Speaker DUN Perak disebabkan tempoh kontrak beliau telah tamat 28 Februari yang lalu, perintahnya terhadap Speaker sedikitpun tidak menyentuh status persidangan DUN bawah pokok semalam. Malah keputusan Ridwan tersebut seperti menyebut bahawa persidangan semalam adalah sah. Demikianlah tafsiran yang diberikan terhadap perintah yang disampaikan kepada Speaker DUN Perak hari ini. Dengan merujuk kepada kandungan perintah itu, maka krisis politik, perlembagaan dan perundangan di Perak semakin bertambah rumit.Perintah menghalang yang dikeluarkan oleh Ridwan berbunyi "Dengan ini diperintahkan bahawa defendan yang pertama YB Sivakumar a/l Varatharaju Naidu adalah dihalang dari memanggil sebarang persidangan yang melanggar undang-undang (unlawful) yang bertujuan menjadikannya sebagai persidangan Dewan Undangan Negeri". Kandungan perintah tersebut tidak langsung memutuskan bahawa persidangan bawah pokok semalam sebagai tidak sah.

Perintah itu juga bermaksud bahawa Sivakumar boleh memanggil mana-mana persidangan yang sah menepati undang-undang. Dengan sebab itu perintah Ridwan tidak menjawab sama ada persidangan bawah pokok semalam sah atau tidak.Sebenarnya Ridwan mungkin menyedari sekiranya beliau menyebut bahawa Sivakumar diperintahkan tidak boleh memanggil sebarang persidangan DUN maka dengan sendirinya perintahnya terbatal. Sebagaimana yang disebut oleh Karpal Singh, hakim tidak boleh mengeluarkan perintah injunksi menghalang mana-mana persidangan Parlimen atau DUN diadakan kerana doktrin pemisahan kuasa yang telah jelas termaktub dalam perlembagaan. Sekiranya hakim bertindak sedemikian, menurut Karpal beliau boleh disabitkan sebagai menghina Parlimen atau DUN. Dengan sebab itu, Karpal menyarankan supaya tidak melayan perintah itu yang dikatakan olehnya sebagai tidak sah (void and null).

Oleh sebab itu, Ridwan mengeluarkan perintah yang kelihatan lebih menepati undang-undang iaitu menghalang daripada memanggil persidangan yang tidak sah. Menurut peguam Sivakumar kalau tidak dikeluarkan perintah itupun, Sivakumar sebagai speaker selama-lamanya tidak akan memanggil persidangan yang tidak sah. Oleh sebab itu, perintah Ridwan tersebut tidak sedikitpun menjejaskan persidangan bawah pokok yang diadakan, kerana boleh jadi persidangan tergempar yang dipanggil itu adalah sah sebagaimana dakwaan pakar-pakar pelembagaan dan peguam Sivakumar sendiri. Sekiranya persidangan itu sah, maka jelas sekali perintah Ridwan itu tidak terpakai dalam kes persidangan bawah pokok tersebut.Malah lebih mengejutkan, perintah Ridwan itu mungkin boleh ditafsirkan sebagai mengesahkan persidangan bawah pokok yang diadakan.

Berdasarkan kenyataan peguam-peguam Zambri, mereka menuntut supaya mahkamah menghalang persidangan tergempar yang dipanggil oleh Sivakumar dan persidangan-persidangan yang seumpamanya di masa akan datang. Akan tetapi perintah Ridwan itu tidak menyentuh status persidangan tergempar yang dipanggil oleh Sivakumar semalam, seperti tidak memasukkan persidangan itu dalam kategori persidangan yang dihalang oleh perintah yang dikeluarkan. Oleh sebab itu, ia terbuka kepada pelbagai tafsiran undang-undang.Boleh jadi perintah Ridwan itu tidak menyentuh langsung status persidangan bawah pokok semalam dan boleh jadi ia boleh ditafsirkan sebagai tidak membenarkan permohonan peguam-peguam Zambri yang memohon untuk menghalang persidangan tersebut.

Jika tafsiran kedua ini dipakai, maka perintah Ridwan itu secara tidak langsung mengesahkan persidangan bawah pokok yang diadakan. Sekiranya perintah Ridwan itu mengesahkan persidangan bawah pokok tersebut, maka Zambri dan exco-exconya dengan sendiri digantung, manakala Nizar telah mendapat semula undi percaya mengekalkan jawatannya. Dr Abdul Rahman (SUK) dan Abdullah Antong (Su DUN) benar-benar menjadi pelandok yang tersepit sekarang.

“SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”
Wassalamu ‘alaikum Wr.Wb

No comments:

Post a Comment