Monday, February 4, 2008

BERSEDIAKAH PENGUNDI MELAYU BERUBAH?

Oleh : Tun Telanai
Assalamu’alaikum wm.wrt
,

I


Lama tidak ada kesempatan menulis di Laman ini. Tulisan saya terakhir disiarkan pada 19 Januari 2008 [Rujuk :
http://www.marhaen.org/v1/mar_a_tun_telanai032.html]. Ada beberapa sebab, pertama dalam bulan Januari sahaja dua kali sistem streamx saya down. Bukan senang untuk memulihkannya kembali. Para juruteknik streamx mengambil masa yang lama untuk memulihkannya. Tahun lalu, tiga bulan berturut-turut, bulan Julai, Ogos dan September gangguan seumpama ini berlaku. Dalam tempoh tersebut, saya tidak dapat mengakses internet untuk mengikuti perkembangan isu-isu semasa. Betapa ruginya saya ketika itu, langganan bulanan streamx dicaj seperti biasa.


Pihak TMnet tidak memperdulikan untuk memberi rebet terhadap gangguan-gangguan tersebut, begitu juga yang berlaku terhadap pelanggan-pelanggan tetap yang mana masa kini kerap talian telefon dicuri orang. Berbulan telefon tidak boleh digunakan, namun sewa RM26.00 tetap dikenakan. Begitulah sikap keprihatinan Syarikat Telekom Malaysia Berhad untuk mendapat untung besar bagi faedah kerajaan UMNO berbelanja sakan. Kedua, sibuk dengan kerja-kerja parti untuk menghadapi PRU ke-12 yang semakin hampir dan ketiga, rautin tugas rasmi ke luar station yang menghalang untuk meng’up-date’kan blog sendiri. Harap maaf kepada peminat-peminat blog “Gerakan Anti UMNO”.


II

PRU ke-12, banyak pemerhati-pemerhati politik dan cakap-cakap kedai kopi mengatakan bahawa Parlimen akan dibubarkan dalam bulan ini dan hari mengundi akan diadakan dalam bulan Mac 2008 nanti. Walau bagaimana pun, ia bergantung kepada Abdullah Ahmad Badawi selaku Perdana Menteri [Ketua Eksekutif dalam negara ini], Pengerusi BN dan Presiden UMNO. Abdullah perlu memastikan UMNO dapat kembali mengekalkan kuasa 2/3 untuk memerintah Malaysia bagi penggal yang ke-12.


Bagi mencapai tujuan tersebut, Abdullah sekarang ini sibuk mengumpul maklumat risikan dari berbagai sumber. Setakat ini, maklumat yang diperolehinya tidak begitu memberangsangkan hasil daripada pilihan raya olok-olok yang diadakan serentak di beberapa buah negeri pada hari Sabtu, 5 Januari lalu. Sokongan orang bukan Melayu khususnya kaum Cina dan India terhadap UMNO [baca BN juga] begitu merosot sekali berbanding pada PRU-PRU yang lepas terutama pada PRU ke-10 yang mengekalkan UMNO berkuasa sehingga kini. Abdullah dan UMNO sangat memerlukan undi daripada dua kaum ini bagi memastikan UMNO tetap berkuasa.


Abdullah amat arif, persempadanan semula kawasan pilihan raya tahun 2003 dan digunapakai pada PRU ke-11 lalu menunjukkan tidak ada kawasan majoriti Melayu melebihi 75 peratus di seluruh negara. Jadi, sokongan padu dari kaum-kaum ini amat diperlukan, walaupun pengundi-pengundi Melayu tidak banyak berubah minda mereka untuk terus memilih UMNO untuk memerintah, tetapi kebimbangan tetap ada di hati Abdullah. Abdullah tidak lena tidur, walaupun beliau kuat tidur kerana beliau menyedari bahawa undi Melayu tetap akan berpecah dua. Satu kepada UMNO dan satu lagi kepada PAS yang merupakan parti orang Melayu-Islam yang kedua terbesar selepas UMNO yang ahli-ahlinya caca merba [ada Islam dan ada yang bukan Islam] yang tidak boleh dianggap sebagai parti Melayu tulin.


Perjuangan UMNO adalah untuk semua kaum bumiputra, bukan terhad kepada Melayu-Islam sahaja. Oleh kerana itu, perjuangannya sekarang dipragmatikkan sesuai dengan kehendak semasa kaum-kaum bumiputra lainnya [yang tidak boleh dalam Islam, dibolehkan oleh UMNO untuk sesuaikan kehendak Islam Hadhari dan yang bukan Islam] itu untuk menarik sokongan. Bagi kaum Cina, mereka mulai tidak menyokong UMNO seratus peratus lagi. Berdasarkan keputusan kajian Merdeka Center, protes kaum Cina berpunca daripada kegagalan kerajaan menangani isu orang Cina, UMNO sangat perkauman, keselamatan diri, keluarga dan harta tidak ada jaminan, di samping beberapa faktor lain sebagai pengagihan kekayaan yang tidak adil, ketidak cekapan pentadbiran awam dan peningkatan amalan rasuah. Kebangkitan kaum India pula melalui Hindraf yang menuntut hak mereka yang selama ini mereka rasa diabaikan oleh UMNO [baca BN melalui MIC], bangkit menentang ketidakadilan tersebut.


Usaha-usaha pembetulan yang sedang dilakukan oleh UMNO sekarang untuk kembali memenangi hati kedua-dua kaum ini, namun usaha ini tidak begitu menyakinkan dan tidak ada tanda-tanda yang kedua-dua kaum ini akan berubah [masa terdekat ini] kembali menyokong UMNO seperti yang mereka lakukan selama ini. Kalau tidak, masakan Tun Daim Zainuddin berani mengeluarkan kenyataan bahawa tiga negeri dalam bahaya [Pulau Pinang, Kedah dan Selangor] sebagai amaran kepada Abdullah. Ditambah lagi dengan kenyataan Tun Dr.Mahatir Mohamad yang mahukan Abdullah berhenti, cukup satu penggal dan serahkan kuasa kepada Najib Tun Razak. Kenyataan Mahathir merayu pengundi-pengundi memilih calon yang ‘terbaik’ bukan kayu mati amat menyesakkan nafas Abdullah kerana dalam UMNO tidak ada calon yang terbaik. Semuanya adalah golongan musang berbulu ayam. Perompak, penjenayah, perasuah, gila seks, kaki perempuan, kaki pub dan yang ada kuasa sedikit menggunakan kuasa untuk mencari 3K [kuasa, kedudukan dan kekayaan] adalah terbanyak dalam UMNO. Orang bersih tidak boleh hidup dalam budaya UMNO yang kotor dan menjijikkan itu.


Jadi, apa tindakan Abdullah selanjutnya untuk membubarkan parlimen, mengadakan PRU ke-12 dan seterus mengekalkan kuasa?


Pertama, Abdullah tetap menggunakan kuasa yang ada seperti sebelum parlimen dibubarkan. Berdasarkan amalan demokrasi seperti yang amalkan banyak negara, apabila parlimen dibubarkan, Abdullah tidak ada lagi kuasa eksekutif. Beliau akan kembali menjadi rakyat biasa dan memohon mendapat mandat baru daripada rakyat. Beliau dan kuncu-kuncunya seperti juga calon-calon lain yang akan menawarkan diri untuk mendapat mandat daripada rakyat. Dalam tempoh tersebut, sepatutnya sebuah kerajaan sementara dibentuk untuk mentadbir negara buat sementara waktu menunggu sehingga kerajaan baru ditubuhkan selepas keputusan pilihan raya diumumkan. Parti mana yang mendapat majoriti mandat rakyat, maka berdasarkan Perlembagaan parti itu diberi haq membentuk kerajaan.


Namun, di Malaysia tidak terjadi sedemikian, umum berfahaman bahawa UMNO itu kerajaan dan kerajaan itu UMNO. Hakikatnya, tidak sedemikian. UMNO sebuah parti, sama seperti lain-lain parti yang berdaftar dan tertaklok dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan, lebih sedikit kerana UMNO ada kuasa sebagai parti pemerintah. Berdasar itu, Abdullah masih mempunyai kuasa eksekutif dan berkuasa penuh untuk mengarah, memperalatkan, menguasai dan mempengaruhi seluruh sistem pentadbiran negara yang ada bagi memastikan UMNO kembali berkuasa. Perkara itu telah dibayangkan oleh SPR melalui , Setiausahanya, Datuk Kamaruzaman Mohd Noor dalam surat bertarikh 17 Januari lalu kepada Ketua Pembangkang Lim Kit Siang yang berbunyi seperti berikut:


“Sukacita dimaklumkan bahawa dalam kerangka undang-undang pilihan raya Negara kita termasuk Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan adanya ‘Caretaker Government’. Oleh yang demikian, apabila pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri berlaku, maka kerajaan yang memerintah sebelum pembubaran tersebut akan terus menerajui kerajaan sehinggalah sebuah kerajaan baru ditubuhkan selepas keputusan pilihan raya diumumkan secara rasmi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.


“Adalah dimaklumkan bahawa SPR bukan jabatan atau agensi kerajaan yang bertanggungjawab untuk memberikan tafsiran mengenai sesuatu perkara atau fasal yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana pihak yang lebih layak untuk memberi apa-apa interpretasi mengenai Perlembagaan Persekutuan ialah Jabatan Peguam Negara. Justeru itu, tuan adalah dinasihatkan untuk berhubung terus dengan Jabatan berkenaan jika tuan memerlukan apa-apa interpretasi mengenai sesuatu perkara atau fasal yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan.” [Rujuk :
http://www.malaysiakini.com/news/77432]


Kita amat merasa dukacita dengan tafsiran itu kerana ia membuka ruang yang amat luas kepada UMNO secara terang-terangan akan melakukan pelbagai kemungkaran dalam pilihan raya nanti. Rasuah, menyalahgunaan kuasa, melakukan penyelewengan dan penipuan secara besar-besaran tanpa ada sebuah badan pun yang boleh mengawal perangai buruk UMNO itu. Faktor inilah yang menyebabkan parti-parti pembangkang tidak berupaya untuk menumpaskan UMNO semenjak daripada dahulu lagi. Sebuah kerajaan [bukan parti] yang mempunyai berbagai kemudahan seperti kedudukan kewangan yang kukuh, peralatan yang canggih, jentera-jentera kerajaan yang bersiap sedia untuk berkhidmat bila-bila masa diarahkan, media komunikasi yang boleh dieksploitasi bila-bila masa yang dikehendaki, lokaliti yang luas dan sistematik, kemudahan pengangkutan dan perhubungan yang mudah serta murah, tetapi berbeza dengan parti-parti pembangkang yang serba-serbi berada dalam kedudukan serba-serbi dalam kekurangan kerana mereka tidak memiliki apa yang UMNO miliki [sebuah kerajaan] dan juga tidak diberi ruang dan peluang untuk berbuat sedemikian. Ibarat gajah berjuang menentang si kancil.

Kedua, SPR akan digunakan sepenuhnya untuk melakukan penipuan melalui daftar pengundi yang mengandungi nama-nama pemilih yang di luar kotak fikir manusia biasa. SPR akan memanipulasikan daftar ini supaya pemilih yang nama yang didaftarkan [orang yang mati masih dikekalkan, ada yang berstatus kanak-kanak tidak layak mendaftar sebagai pengundi, orang yang tidak tinggal di kawasan mengundi, longgokan sekumpulan golongan manusia pada satu-satu kawasan pilihan raya, nama yang ganjil bukan seperti warganegara, tempat kelahiran yang memeranjatkan dan berbagai lagi] akan mengundi memihak kepada UMNO. Disamping itu, SPR akan memejamkan mata apa sahaja perlakuan UMNO yang melanggar Akta Kesalahan Pilihan raya 1957. SPR akan memberi tekanan supaya setiap calon daripada parti pembangkang mematuhi akta ini.

Ketiga, tindakan pihak berkuasa khususnya pihak polis akan digunakan semaksima mungkin untuk menakutkan rakyat seperti kaedah yang digunakan bekas Presiden Indonesia, Allahyarham Suharto gunakan bagi mengekalkan parti GOLKAR memerintah selama 32 tahun. Di Malaysia kini bukan merupakan satu perkara ganjil lagi apabila pihak polis dibenarkan menembak peluru hidup ke atas penyokong pembangkang dan orang yang kena ditembak itu didakwa di mahkamah, orang melepaskan tembakan dibebaskan atas alasan mempertahan diri. Bukan mustahil juga penyokong-penyokong UMNO akan bertindak ganas dan samseng, tetapi mereka akan dibebaskan seperti apa yang berlaku ke atas 31 orang penyokong Hindraf yang dibebaskan tanpa apa-apa kena tindakan.


Bukan juga mustahil mereka akan dibiarkan dan dilayan mesra seperti mereka melayan penternak babi di Bukit Pelanduk dan Paya Mengkuang. Semua itu akan dihumban ke atas kepala dan bahu penyokong-penyokong pembangkang. Pihak polis akan melakukan berbagai halangan dan kekangan terhadap aktiviti pembangkang menemui pengundi. Ini bukan satu cerita palsu, mereka telah melakukannya dengan jayanya di Batu Talam, Machap dan Ijok, malah mereka juga telah melangkah masuk ke IPTA-IPTA bagi memastikan UMNO menang dalam pilihan raya kampus. Matlamat mereka secara tersirat memaksa pengundi-pengundi terus memilih UMNO. Sayangnya setakat ini mereka belum lagi mengemukan usul kepada kerajaan agar pilihan raya ditiadakan supaya keamaan dan kententeraman awam dapat dikekalkan dan terjamin sepanjang masa.


Keempat, melalui SPR juga masa kempen pada kali ini akan dipendik lagi. Pada PRU ke-11 dulu, masa kempen dibenarkan sebanyak 8 hari sahaja. Di era Mahathir lebih panjang di antara 9 hingga 10 hari. Yang menjadi masalah kepada Abdullah adalah untuk mencetak kertas undi. Ia dibuat selepas hari penamaan calon yang melibatkan 219 kerusi parlimen dan 567 kerusi DUN yang terpaksa memakan masa sedikit, kalau boleh Abdullah akan mengadakan hari pembuangan undi dalam tempoh 24 jam selepas penamaan calon. Jadi, tempoh kempen pada kali bergantung kepada keupayaan SPR mencetak kertas-kertas undi. Cepat SPR mencetak, cepatlah hari pembuangan undi untuk mengelak pembangkang berkempen menemui rakyat. Tempoh kempen yang panjang membahayakan UMNO.


Kelima, peranan media [cetak dan elektronik milik UMNO] akan dipertingkatkan propaganda memburukkan pembangkang. Disetiap sudut akan dicari kelemahan pembangkang akan didedahkan melalui media-media [tv dan radio] yang masuk ke setiap rumah rakyat. Dalam masa yang sama kebaikan UMNO akan didedahkan secara meluas, dan keburukan UMNO sebesar hama pun akan disembunyikan daripada pengetahuan rakyat.


Media-media ini akan mengambarkan UMNO sebuah parti yang bersih dan para pemimpinnya pula diangkat setaraf dengan wali Allah, walaupun dibadan mereka penuh terpalit panau dan kurap yang busuk dan hamis. Kemudahan ini tidak dibenarkan kepada pihak pembangkang, hanya internet yang menjadi medan tempor bagi pihak pembangkang. Internet merupakan alat komunikasi moden yang amat terhad jangkauannya dikalangan rakyat Malaysia, berbanding alat komunikasi konservatif milik UMNO itu. Itu pun ia akan dipantau dan kadang-kala akan digodam bagi mengelak pengundi-pengundi mendapat maklumat daripada saluran ke dua.


Mereka sering menggunakan saluran-saluran tv kerajaan [yang dikutip dari wang rakyat] untuk melakukan propaganda mereka, sepatutnya tv ini digunakan untuk kepentingan rakyat bukan untuk kepentingan parti pemerintah untuk mengekalkan status quo mereka. Inilah konsep demokrasi adil yang difahami oleh UMNO terutama Menteri Penerangannya yang haprak.


Jadi, Abdullah akan membubarkan parlimen setelah ia benar-benar yakin bahawa UMNO akan kembali berkuasa, sekiranya tidak, PRU ke-12 akan dilambatkan lagi.


III


Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Penasihat bersama Presiden PKR telah melakukan lawatan singkat ke Parlimen Padang Terap. Jadual beliau pada Jumaat 1 Februari lalu sangat padat. Beliau sempat singgah sebentar di MTD Pedu [DUN Pedu milik MB Kedah, Mahdzir Khalid]. Diakhir ucapannya, beliau merayu pengundi-pengundi Melayu berubah jangan lagi memilih UMNO yang gagal membela nasib orang-orang Melayu. Kaum Cina dan India kata beliau bersama dengan Barisan Alternatif [BA] dan sedang melakukan tarik tali dengan UMNO. Banyak faedah politik yang mereka dapat, tetapi orang Melayu tetap melopong dalam usia 50 tahun negara merdeka, orang Melayu semakin teruk kerana pengkiatan yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO.


Persoalannya, bersediakah pengundi-pengundi Melayu berubah?


Apakah dengan menyokong UMNO selama ini pengundi Melayu amat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh wakil rakyat UMNO, atau pun mereka lebih bimbang dan curiga dengan kemampuan pembangkang melalui Barisan Alternatif mengambilalih kuasa daripada UMNO. Secara rambang kajian yang dibuat menunjukkannya jawapannya tidak. Mereka lebih arif dengan kelemahan dan kepincangan UMNO, tetapi UMNO terbaik dikalangan yang terburuk. Oleh itu, mereka menjadi tepu dengan isu-isu semasa yang mereka berpendapat isu-isu tersebut tidak kena mengena dengan kehidupan harian mereka, kecuali kenaikan harga barangan yang melampau menyebabkan sedikit tercuit di hati mereka.


Hakikatnya, Melayu tetap bermentaliti feudal dirasuk mitos bahawa UMNO satu-satunya parti Melayu yang mampu memimpin negara ini. Khurafat ini sukar dikikis daripada mentali feudal politik Melayu untuk terus membelit pemikiran kebanyak orang Melayu, kecuali golongan muda dan orang yang berpelajaran yang benar-benar mahukan perubahan.


Propaganda hebat UMNO dalam kempen pilihan raya nanti menerusi medianya akan tetap mampu mengusik hati kecil mereka. Kesepaduan UMNO lebih mantap berbanding BA. Keraguan terhadap kewibaan PAS masih melingkari pemikiran sebahagian orang Melayu, lebih-lebih lagi kepada orang bukan Melayu. Kita amat bimbang UMNO akan terus berkuasa, bukan kerana mereka bersih, bukan kerana mereka kuat, bukan kerana mereka yakin terhadap UMNO yang boleh merubah kehidupan dan nasib meraka masa depan, tetapi hanya kerana kelemahan BA sendiri .


IV


Selepas mendengar ceramah Anwar, saya balik menyusuri jalan dan melalui sebuah perkampungan. Alangkah terkejutnya saya, kawasan DUN Pedu yang diwakili oleh Mahadzir Khalid [MB Kedah] masih lagi mempunyai penduduk yang berada di bawah kemiskinan dengan rumah yang paling daif. Ini negeri yang diperintah oleh UMNO sejak zaman berzaman.Lihat gambar-gambar di bawah.


Rumah penduduk yang daif dalam DUN Pedu Yang Diwakili oleh Mahzdzir Khalid, MB Kedah

















V


Minggu lepas saya berada di Langkawi, seorang penduduk memberitahu tahu saya bahawa kerajaan negeri Kedah sedang melakukan pembaziran. Saya dibawa ke satu tempat di mana kerja-kerja pembina padang golf bertaraf dunia sedang giat dilaksanakan. Padang golf 17 lubang itu tersebut dibina di atas sebuah bukit, kos pembinaannya menelan belanja sebanyak RM80 juta.


Sebuah padang golf bertaraf dunia sedang rancak dibina. Habis bukit digondolkan untuk orang-orang kaya bermain


Lihatlah betapa angkohnya sikap para pemimpin UMNO. Mereka tidak memperdulikan nasib rakyat yang miskin tidak berumah. Program rumah mesra rakyat diperuntukan sebanyak 4,000 buah seluruh negara untuk disiapkan dalam bujet 2008 tidak dapat menampung keperluan sebenar bagi rakyat [dalam senarai menanti] yang tidak ada rumah untuk rakyat memiliki rumah sendiri. Program PPRT yang diperuntukan juga menunjukkan ketidaksungguhan kerajaan membantu rakyat memiliki rumah sedndiri dan ia dilaksanakan secara terpilih. Lihat gambar di atas, sepatutnya Mahadzir Khalid memberi perhatian untuk membina lebih banyak rumah-rumah PPRT dan rumah-rumah mampu milik terutama di kawasannya, di Pedu, Kedah, bukan mencurah berjuta ringgit membina padang golf yang tidak membawa apa-apa faedah kepada rakyat terbanyak.


Para pemimpin UMNO kecoh apabila BA menawarkan kepada rakyat sebuah negara kebajikan dan membuat tawaran untuk menurunan harga minyak sekiranya rakyat memberi mandat memerintah. Kemudahan asas [basic needs] adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakannya kerana kerajaan telah pun mengutip berbagai cukai daripada rakyat dan sewajarnyalah kerajaan yang memegang amanah rakyat menggunakan wang itu untuk kebajikan rakyat, bukan berbelanja secara boros dan melampau mengikut hawa nafsu pemimpin.


Islam [bukan Islam Hadhari] mengajar bahawa setiap pemimpin akan ditanya di depan Allah s.a.w nanti apa yang mereka lakukan dengan kuasa kurniaan Allah semasa di dunia dulu. Permasalahan ini pasti akan dibangkitkan didepan Allah s.a.w kerana segala perbuatan tersebut tidak mendapat keredhaan daripada rakyat yang dipimpinnya. Masih ramai lagi rakyat yang miskin papa kedana tidak seperti para pemimpin UMNO yang menggunakan kuasa mencari kekayaan peribadi yang melampau seperti Zakaria Mat Derus, ADUN Pelabuhan Klang dan ramai lagi para pemimpin UMNO yang seangkatan dengannya.


VI

Kerajaan yang ada hari ini adalah sebuah kerajaan yang dibentuk melalui kaedah yang haram untuk menang. Jadi, kerajaan yang ada ini adalah sebuah kerajaan yang HARAM juga. Kerajaan seumpama ini tidak akan menerima keberkatan daripada Allah s.a.w dan rakyat yang melindungi di bawahnya akan dibalakan oleh Allah s.a.w. Kita ambil contoh yang paling mudah, sekarang kadar inflasi meningkat sekitar 2.4 peratus lebih menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan meningkat di pasaran. Peningkatan ini menyebabkan kos saraan hidup rakyat bertambah. Kalau dulu nilai RM50.00 boleh kita berbelanja membeli dua atau tiga jenis barangan di pasar penuh bakul untuk dibawa pulang ke rumah, tetapi kini nilai RM50.00 tidak boleh lagi untuk itu semua. Apakah ini bukan bukti bala daripada Allah s.a.w? Rakyat berada dalam kesusahan dan kepedihan dalam mengharungi kehidupan seharian.


Peningkatan kes-kes jenayah di Malaysia sekarang ini, bukankah ini juga merupakan salah satu bukti lagi bahawa ini juga merupakan bala daripada Allah s.a.w? Menurut taklimat polis kepada Abdullah pada 8 Januari lalu, kes-kes jenayah meningkat kepada 13.4 peratus. Tahun 2006, kes jenayah dalam semua sektor meningkat sebanyak 7 peratus [209,388 kes], tetapi bagi tahun 2007, peningkatannya amat drastik bertambah menjadi 13.4 peratus [224,298 kes].

Kes rogol naik 30 peratus. Contoh sebanyak 1,206 kes rogol yang dilaporkan dari Januari hingga Julai 2007, bermakna berlaku 172 kes rogol sebulan atau 1 kes rogol berlaku dalam setiap 4 jam. Manakala rompakan berkumpulan melonjak 160 peratus. Mencabul kehormatan naik 12.4 peratus, pecah rumah waktu malam bertambah 21.7 peratus, pecah rumah siang hari naik 4.2 peratus, curi motosikal meningkat 3.2 peratus, curi kereta naik 11.4 peratus dan kecurian lain naik 5.1 peratus.


Kes kehilangan adik Sharlinie Mohd Nashar, lima tahun, pada 9 Januari lalu tidak dapat dikesan langsung sehingga kini. Pelbagai usaha diiktiarkan, tetapi tetap gagal. Pembunuh adik Nurin masih gagal ditemui. Adik Jazlin Nurin didapati hilang sejak 20 Ogos tahun lalu, pihak polis menubuhkan pasukan khas pada 3 September dan mayatnya ditemui pada 17 September. Bagi menutup kelemahan pasukan polis, pihak polis menyalahkan keluarga mangsa kerana lalai menjaga keselamatan anak-anak sendiri.

Pembunuh S. Krishnasamy, Timbalan Ketua MIC Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tenggaroh pada 11 Januari lalu juga gagal ditemui. Semuanya ini mengambarkan bahawa pasukan polis kita menjalankan tugas tidak secara professional dan tidak ada kepakaran langsung untuk mengesan sebarang kes jenayah yang berlaku, berbanding penjenayah yang mempunyai kepakaran yang lebih tinggi untuk mengelak diri mereka [walaupun tidak ada senjata yang lebih canggih berbanding pasukan polis] daripada dikesan oleh pihak polis.


Pasukan polis kita hanya mempunyai kepakaran [maaflah cakap] berhadapan dengan musuh di hadapan mata dan tanpa perlu berusaha menjejakinya. Ini yang diajar kepada pasukan polis kita semenjak dari tarikh 1 Julai 2001 hingga sekarang. Kaedah bagaimana untuk mematikan gerakan demontrasi menentang pemerintah yang kurop yang dilakukan oleh para pemimpin UMNO. Maka, kita dapat saksikan betapa ramai para demontrasi [yang juga yang datang mendengar ceramah pembangkang atau mendengar ceramah agama di surau seperti di Selangor atau mempertahan haq seperti di Kampung Berembang dll] diugut, diancam, dikejar bagaikan anjing kurap, disembur air, bahan kimia, dipukul, diterajang, ditumbuk, ditahan, ditelanjang, dilokapkan, didakwa dan dihukum yang tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukannya serta ada yang ditembak dengan menggunakan peluru hidup seperti yang berlaku di Batu Buruk, di Teranggau dan tidak dibenarkan ikat jamin seolah-olah mereka itu penjenayah amat merbahaya seperti MAFIA.


Contoh yang paling hampir dengan kita ialah perhimpunan 100 ribu pada 10 November tahun lalu, beribu pasukan polis diarah menghalang dan mengawal perhimpunan aman ini. Terakhir di peristewa perhimpunan aman menentang kenaikan harga barang yang dianjuran oleh PROTES pada 26 Januari lalu di KLCC. Pasukan polis bertindak seperti dirasuk syaitan. Mereka, pasukan polis, Rela dan SB berada di merata-rata tempat. Mereka tidak memberi peluang langsung terhadap peserta perhimpunan untuk berkumpul. Kebiadapan dan keganasan anggota polis menangkap secara rambang peserta perhimpunan aman seolah-olah para peserta perhimpunan sebagai penjenayah. Mereka tidak bersenjata, mereka hanya membawa mulut, tangan, kaki, kain rentang dan risalah. Kandungan risalah dan kain rentang hanya untuk menyedarkan rakyat tentang keadaan kerajaan yang dipimpin oleh UMNO semakin menekan kehidupan rakyat. Itu saja.


Pasukan polis kita sekarang telah hilang tumpuan. Mereka telah dilalikan, dikuasai dan dipengaruhi oleh kepentingan politik jangka pendik UMNO. Moto pasukan polis telah bertukar dari ‘Berkhidmat Kepada Rakyat-Mesra Rakyat’ beralih kepada ‘Berkhidmat Untuk UMNO’. Itulah persepsi rakyat sekarang terhadap pasukan polis kita. Keprofessionalan mereka telah hilang, tidak seperti di era Tun Hanif Omar sebagai Ketua Polis Negara dahulu.


Di era Hanif, ada orang yang betul-betul bertugas untuk rakyat, tidak ada orang yang mementingkan kedudukan, pangkat dan mengumpul kekayaan peribadi. Siapa yang tidak kenal dengan Dato’ Zaman Khan, seorang manusia yang berhati mulia dan cekal, cergas, cerdik, bertindak pantas, cekap dan tepat. Di bawah pentadbiran Hanif, banyak kes-kes yang melibatkan jenayah berat dapat diselesaikan dengan cara yang mudah dan senyap-senyap. Tidak seperti sekarang heboh seluruh dunia untuk mencari pupolariti dari peringkat menteri sampai ke peringkat perebet cabuk, tetapi habuk pun tiada. Cakap banyak, kejayaan yang dicapai kosong.

Di era Hanif, banyak kumpulan perompak dan pengganas dapat ditumpaskan seperti Kumpulan Botak Chin, Batong Kali dan banyak lagi kumpulan pengganas dapat dilumpuhkan dan orang-orang itu ditangkap dan dihukum secara adil dan saksama berasaskan kepada kesalahan yang mereka lakukan. Yang menghairan, pelakunya menerima hukuman yang dijatuhkan itu secara hati terbuka kerana hukuman yang mereka terima setimbal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Mereka berjuang menuntut keadilan mengikut proses undang-undang yang ditetapkan. Mahkamah pula bertindak berdasarkan bukti-bukti yang dibentangkan dihadapannya tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Mahkamah dapat berjalan dengan teratur mengikut perlembagaan.Mahkamah bebas dan Peguam Negara pun tidak dipengaruhi untuk mempertahankan UMNO seperti apa yang dilakukan oleh Abdu Ghani 4tahil. Peguam Negara yang ada sekarang ini adalah patong bernyawa, tidak laku satu sen pun di kaca mata perundangan kerana sikapnya [memihak dan menjaga kepentingan UMNO daripada menjaga keadilan sejagat] yang membuat pendakwaan terpilih [rujuk kes Hindraf, Batu Buruk, Paya Mengkuang dan Bukit Beruang]. Manusia berperangai seperti syaitan perlu dihapuskan di muka bumi ini kerana dosa-dosa yang dilakunya tidak tertanggung oleh bumi yang dipijaknya itu.


Sayang, era kegemilangan pasukan polis kita telah hilang, ditelan dan dibaham oleh pemimpin UMNO yang rakus dengan kuasa dan kekayaan. Mereka membudayakan masyarakat dengan 'budaya materialistik' yang kenal tuhan dan penciptanya. Mereka amalkan undang-undang hutan. Siapa yang kuat, dialah pemenangnya. Tidak ada ukuran haq dan bathil.

Tidak ada cara lain untuk memulihkan semula semua sektor kembali ke peranan asal berasaskan Perlembagaan negara, melainkan kita semua rakyat Malaysia wajib bersatu padu dengan apa cara sekali pun [dibenarkan norma-norma yang digunapakai oleh dunia yang bertamadun] menjatuhkan UMNO yang zalim. Berjuang menentang UMNO merupakan satu perjuangan yang suci. Menyokong UMNO bererti menyokong kezaliman. Oleh itu, wajar kita sebagai rakyat Malaysia bangkit dari lena panjang berhentikan UMNO secara terhormat dan tunjukkan jalan supaya keluar dengan selamat dalam PRU ke-12 nanti.


Kesimpulannya : Hasil permerhatian secara rambang, minda umat Melayu sukar diubah kerana mentaliti mereka semenjak dari dahulu telah dikotori oleh pemerintah [sistem kesultanan dan sistem demokrasi seperuh masak UMNO]. Umat Melayu tidak akan ‘mengamuk’ selagi tidak kena ke batang hidung sendiri. Selagi mereka dapat hidup, makan, ada duit berbelanja sedikit-sedikit, kahwin, beranak dan suasana aman [hidup dalam zon selesa], maka umat Melayu tetap akan memilih UMNO [bertambah lagi dengan sikap putar-alam UMNO menenggelamkan yang haq dan memunculkan yang bathil] dan takut untuk membuat perubahan. UMNO akan tetap menang besar dalam PRU ke-12 nanti.


“SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”


Sekian. Wassalamu ‘alaikum Wr.Wb






5 comments:

  1. Assalamualaikum,

    Tertarik saya baca artikel ni. But, it makes me realized that at least UMNO has done something for the benefits of everybody. If we look at the performance of opposition's candidates, they are doing nothing. No development and progress that can benefit the community. I just want to know apa faedah kalau I undi PAS, ADIL atau DAP. Bolehkah parti-parti ini duduk semeja dan berbincang agenda kemajuan negara. I rasa susah. Sorry to say, whatever you want to say, I vote BN... Eventhough UMNO is not the perfect party. Just my opinion sebab you hentam kerajaan banyak sangat. Tq

    ReplyDelete
  2. kepada afif farhi

    cukup-cukuplah cari harta duniawi ni... harta duniawi bukan boleh bawak masuk kubur...

    malaikat tak tanya berapa banyak kau kumpul harta masa kerajaan umno memerintah

    salah satu tanda kiamat berlaku adalah lahirnya pemimpin2 yg batil... masjid2 masjid dihias indah tapi bila solat 2 saf shj

    inilah yg berlaku di malaysia... insaflah

    ReplyDelete
  3. UMNO memang haprak tetapi dalam masa yang sama, aku juga kecewa dengan sikap PAS yang terlalu mengagung-agungkan DSAI.

    Apa, dalam PAS dah takde pemimpin yang boleh kita ketengahkan sebagai ketua ker.

    Apa hebat sangat Anwar tu. Masa Anwar dalam UMNO dulu, kita hentam Anwar tetapi kenapa bila Anwar dah jatuh, kita nak anggap dia sebagai HERO plak.


    PEMUDA PAS KOTA DAMANSARA

    ReplyDelete
  4. mahathir is the best tp dah tk de kuasa....aku dr dulu lagi tk sokong anwar....tapi skrg nie aku tgk dollah lagi lagi menyakitkn hati dgn idea2 gile dia tu...nasib la negeri aku masih lagi ada tok guru.....hidup klate

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum,

    Kalau bercakap soal pengundi Melayu sedia berubah, saya katakan bahawa orang Melayu memang sukar melakukan satu perubahan, bahkan mereka selesa dengan status-quo yang sedia ada. Pada saya bukan minda orang Melayu tidak mahu berubah tetapi mereka dimomokkan dengan pelbagai perkara yang menakutkan jika melakukan perubahan. Kerajaan sangat menggalakkan supaya orang Melayu melakukan anjakan paradigma dalam pelbagai perkara tetapi dalam soal pilihanraya, para pengundi ditakutkan melalui media dan ucapan-ucapan bahawa jika mahukan kerajaan yang selamat dan makmur mestilah memilih kerajaan Barisan Nasional. Seolah-olah menjadi satu pegangan dan kepercayaan "hanyalah kerajaan BN yang mampu memerintah negara Malaysia". Inilah yang menjadi masalah kepada orang Melayu. Sebab itu pada saya walaupun sangat menyokong gerakan Islam terutamanya yang dibawa oleh PAS, saya dapat merasakan bahawa pada pilihanraya ini BN masih lagi akan memerintah selagi mana mereka mengamalkan demokrasi berat sebelah seperti yang telah berlaku selama 50 tahun ini. Tq.

    ReplyDelete