Tuesday, June 19, 2007

BERSEDIAKAH PAS MENGHADAPI PILIHANRAYA KE-12?

Oleh : Tun Telanai


Assalamu'alaikum wm.wrt,


Saya amat tertarik membaca artikel dalam blog http://kedahlanie.blogspot.com/ yang mana penulisnya, SHEIKH AL-STARI Ph.D mengutarakan pandangan yang bernas yang patut dijadikan bahan kajian oleh kepimpinan PAS khususnya di negeri Kedah dan di negeri-negeri lain amnya [yang PAS mempunyai prestasi yang baik].

Sebaik sahaja PRU ke-11 melabuhkan tirainya pada tahun 2004, gerak kerja PAS yang mengalami kekalahan yang paling buruk dalam sejarah pilihanraya yang PAS menyertainya telah menghentikan segala aktivitinya untuk mendekatkan PAS dengan masyarakat, kecuali ceramah umum diadakan sekali-sekala tidak berupaya melawan propaganda politik UMNO/BN

UMNO/BN berjaya menguasai suasana kerana mereka menjadi kerajaan yang berkuasa. Mereka menguasai media, mempunyai kemudahan saluran untuk bertemu rakyat sepanjang masa atas alasan urusan rasmi, mempunyai jentera dan mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.


Buat permulaan, saya mengajak para pembaca membaca, merenung, memahami dan menelaah artikel-artikel yang disiarkan ini yang ditulis oleh pendokong dan pencinta parti PAS. Bacalah secara serious dan mendalam dalam usaha merangka strategi dan tektik untuk menghadapi PRU ke-12 nanti
Artiek Pertama :
BERBALOIKAH MENGUNDI PAS?
Kajian saintifik oleh Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat amat menarik. Dapatan beliau menunjukkan PAS hanya akan mampu peroleh 40% undi, dan undi itupun sudah dikira tepu. Seperkara lagi yang menarik diutarakan oleh bekas Pensyarah USM itu ialah, matlamat utama PAS sama ada mahu menjadi parti politik atau badan dakwa
Ini pada saya punyai makna tersendiri dan menentukan halatuju, modus operandi PAS dalam usahanya untuk mendapat, mengekal dan menambahkan kuasa yang sedia ada.

Jika mengambil saranan Aristolle, 'man is political animal' menunjukkan percaturan hidup manusia adalah berpunca dari usaha bersaing, berebut sumber asas yang sedikit sedangkan kehendak manusia adalah pelbagai. Ini termasuklah unsur kuasa, dan pemerintahan.

Tokoh-tokoh realis dalam persada politik antarabangsa turut melihat dua elemen yang menjadi tarikan dan minat bagi aktor negara dalam menjalin hubungan diperingkat antarabangsa iaitu 'kuasa' dan 'kepentingan'.

Misalnya Hans J. Morgentahu berpandangan 'interest is the perennial standard in which political action must be judge and directed'. Begitu juga Harold D. Laswel, tokoh dan pengkaji politik terkenal era 40-an, menegaskan 'politics is who gets what, when and how?

Petikan ungkapan atau lontaran pandangan yang disuarakan menunjukkan politik adalah 'to choose the lesser evils".

Dalam konteks ini apa keutamaan PAS sebenarnya? Menjadi pembangkang, sekadar beroleh beberapa kerusi DUN atau Parlimen dan hanya mahu mempertahankan Kelantan?. apakah prioriti dan minat PAS dalam soal pembahasan isu-isu dasar negara? Adakah hanya mengkritik orang yang melaksanakan dasar itu ataupun dianalisa dasar berkenaan kemudian dicadangkan alternatifnya? Adakah cukup dengan gerakerja di sebalik keterbatasan sumber kewangan, modal, aset sumber manusia PAS untuk membolehkannya menguasai beberapa buah negeri sasaran seperti Kedah, Trengganu, sebahagian DUN di Pahang?

Apakah mekakisme terbaik yang harus diupayakan untuk menarik minat pengundi muda, pengundi atas pagar, masyarakat bukan Islam untuk yakin dan mengundi PAS? Adakah keupayaan PAS hanya bersifat seasonal dan bergantung kepada perpecahan dalaman UMNO?.

Apakah kekuatan genuine PAS dan sejauh mana ianya telah dimaksimakan penggunaanya? Cukupkah Kelantan sebagai 'breeding ground' dan menjadi 'pilot project' untuk demonstrasi keupayaan PAS memperkenalkan dasar pentadbiran, sosial dan ekonomi berasaskan blue-print 'Membangun Bersama Islam". Sudahkan diidentifikasikan tokoh, calon yang berupaya diyakini pengundi bagi memimpin negeri jika sekiranya PAS menang di negeri-negeri yang disasarkan?. Dan akhir sekali tentunya, pengundi yang seramai 11 juta orang akan bertanya satu soalan 'cepumas' berbalaikoh jika sekiranya mengundi PAS?

Apa nasib dan jaminan bagi survival, status-quo mereka?. Apakah keadaan menjadi lebih baik, rencam atau kembali ke belakang?

Persepsi, tanggapan, dan tafsiran sebegini sukar dijawab hatta oleh pimpinan tertinggi PAS sendiri. Atas dasar politik berkait rapat dengan persepsi dan konsep 'demonstration effects', maka amat sulit bagi PAS sebenarnya untuk membuktikan bahawa jaminan itu tetap ada sekiranya PAS menjadi pilihan pengundi. Apatah lagi dengan keberkesanan kempen propaganda, the use of force and purposive depoliticization akan menambahkan lagi kerumitan bagi PAS beroperasi pada kadar yang sepatutnya?

Ini belum dihitung dengan kekurangan sumber 5-M, yang dimiliki pemerintah yakni Money, Media, Machinery, Manpower dan Manipulation. Bandingannya apa tahap sumber 5M yang PAS miliki dan bagaimana ianya mampu dimobilisasikan demi menggapai impian mendapatkan kuasa menerusi proses pilihan raya? Saya kira jika persoalan ini didetailkan, dicari pendekatan terbaik untuk diupayakan, maka gerakerja PAS akan lebih terarah dan mampu menggugat legasi BN dalam Pilihan Raya Umum ke-12 nanti.


Artikel Kedua :

Jangan terkejut kalau pilihan raya ke-12 ulangi mimpi ngeri 2004
Pak Tam Mat, Jitra
Thu Mar 29, 07 04:17:11 PM

Saya masih tak puas hati dengan gerak kerja gabungan parti-parti pembangkang untuk menuntut pilihan raya adil dan bersih. Hal ini sudah saya ulangi berulangkali. Tapi mungkin ada pembaca mencemuh saya balik: "Anda tak puas hati atau tidak, apa kami peduli, yang penting pembangkang dan Bersih sudah melaksanakan apa yang terdaya."

Okey, saya sedar siapa saya, dan saya sedar bahawa keluhan dan kebimbangan saya tidak memberi sebarang bekas kepada perjalanan politik negara kita. Tapi sebagai pemerhati politik, sebenarnya saya cukup risau dengan prestasi aktivis pembangkang sekarang, khususnya bagi memastikan proses pilihan raya di negara ini dijalankan di atas padang sama rata.

Isu memang banyak, bahang pilihan raya pun terasa di mana-mana tetapi selepas saya tinjau secara rambang, bahang itu tidak sampai ke bawah pun. Sekadar suam-suam kuku. Yang saya bimbang, bila sampai pilihan raya suasana tidak berubah, panas pun tidak, sejuk pun tidak, keadaan mengulangi suasana 2004 dulu.

Kalau itu keadaannya maka keputusannya juga sudah boleh kita ramalkan: Pembangkang mungkin lebih baik sedikit daripada Mac 2004 tetapi ia tidak membawa sebarang makna. Kerusi di Parlimen macam itu juga dan Kelantan mungkin kita dapat pertahankan. Sebenarnya dalam hati saya tercetus kerisauan PAS akan kalah di Kelantan dan Terengganu kita terus terlepas.

Saya andaikan begitu kerana ramai-ramai aktivis PAS yang saya jumpa, saya lihat semangat mereka tidak pula berkobar-kobar walaupun gendang pilihan raya seperti sudah dipalu. Saya tekankan soal semangat kerana kepada ahli-ahli pembangkang, kalau semangat sudah jatuh, cakap benda-benda besar lain pun tak ada gunanya. Semangat dan jihad untuk berjuang itu yang perlu ditingkatkan dulu.

Perjalanan pilihan raya pun terus sarat dengan tipu muslihat, tuntutan Bersih tidak dihiraukan, mood rakyat untuk menyokong pembangkang tak kuat, maka saya rasa kebimbangan saya tadi berasas. Ahli-ahli pembangkang mesti dimotivasi secukupnya.

Tapi bila saya kata hal ini kepada seorang kawan, dia balas balik: "Jangan tumpu kepada ahli-ahli saja, yang lebih penting pemimpin PAS yang di atas sana mesti dimotivasi dulu. Mereka mesti sedia turun ke bawah, bahu membahu dengan petugas di akar umbi, jangan hanya berteori di atas sana."

Saya mohon maaf kerana menganggu mood anda yang yakin pilihan raya ini kita berubah berbanding 2004. Saya belum nampak riak-riak perubahan itu. Bagi saya, kalau keadaan terus macam ini, tiada fokus kerja yang digemblengkan, tidak mustahil trauma 2004 itu akan berulang. Dan ketika itu kita nak letak muka di mana kerana kekalahan nanti di atas kealpaan, kelemahan dan kemalasan (maaf kalau saya sebut kebodohan) kita sendiri.
Rujukan :

Artikel Ketiga :
Ijok: Harap ulasan Harakah tidak stereotaip
Kawan Pak Tam
Mon Apr 30, 07 06:15:22 PM


Saya harap Harakahdaily dan akhbar Harakah dapat membuat analisis terhadap keputusan dan perjalanan pilihan raya kecil Ijok secara jujur. Usah ditumpukan hanya kepada membuat perulangan lama seperti pengundi hantu, rasuah politik BN, curahan projek, dan pelbagai lagi alasan yang selalu kita tampilkan selepas pembangkang pengalaman kekalahan.

Bukan maksud saya mahu menafikan sebab-sebab kekalahan seumpama itu. Tapi jangan sampai orang ramai berkata, "kalau dah tahu akan ditipu, kenapa masuk juga pilihan raya, sudahlah kalah, habis segala duit dan tenaga." Kita menerima alasan dan punca sedemikian, tapi cubalah selongkar bahan-bahan lebih terkini.

Lainlah kalau Barisan Alternatif juga boikot Ijok macam Batu Talam. Apabila kita bersedia masuk, bermakna kita harus bersedia untuk menampilkan satu "persembahan terbaik" walaupun modal kita serba kekurangan.

Sudah pasti banyak tempat dalam diri kita yang lemah dan perlukan perubahan segera. Bagaimana dengan persiapan jentera kita, PAS dan KeADILan, adakah segalanya berjalan lancar, denganjalinan kerjasama paling erat, terutama di peringkat negeri Selangor?

Bagaimana dengan strategi berdepan pengundi Cina dan India, selain mempertahankan kubu di kawasan majoriti Melayu? Apakah kita terlalu mengejar sokongan baru daripada pengundi bukan Melayu sedangkan penyokong kuat kita abaikan.

Mengapa nampaknya kita seperti begitu mudah diprovokasi sehingga saya perhatikan misalanya TV3 dapat merakamkan adegan yang membuatkan umum makin yakin bahawa pembangkang sering menimbulkan kekecohan?

Saya bimbang tohmahan bahawa pembangkang, khususnya KeADILan itu ganas dan emosional, makin terpasak kuat dalam pemikiran rakyat Malaysia bila mereka saksikan rakaman TV3 itu.

Kalah memang sudah kalah. Yang penting semua aktivis dan pihak yang terlibat dalam membantu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini dapat merenung sejenak, berfikir sedalam-dalamnya. Carilah kelemahan sendiri, baiki apa yang ada, dan seperti kata Penulis Khas, sehari sebelum pilihan raya: "Kita usah memandang rendah strategi kempen BN dengan mengatakan parti itu hanya bergantung kepada politik wang, ugutan ataupun janji-janji pembangunan, di samping kemudahan jentera kerajaan dan manipulasi media. Ada elemen yang patut dicontohi dalam gerak kerja BN."
Rujukan :


JIKA benar pilihanraya semakin hampir, apakah pembangkang bersedia. Melihat, merenung dan membaca situasi semasa, jelas kepada kita bahawa seperti dalam pilihanraya umum 2004, pembangkang amat-amat tidak bersedia dan jangan terkejut jika mereka saling bertelagah sesama sendiri tidak lama lagi.

Saya katakan begitu kerana kita semua tidak lupa bagaimana Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi DAP ketika itu Lim Kit Siang bertelagah secara terbuka beberapa minggu sebelum pilihanraya. Kedua-duanya diperangkap oleh media arus perdana untuk saling serang menyerang. hasilnya pembangkang yang rugi. Begitu juga soal Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang diperangkap media untuk membuat komen bahawa Timbalan Presiden Keadilan Dr Syed Husin Ali tidak boleh bertanding di Parlimen Kota Bharu kerana 'sosialis adik komunis.'

Dan kini, ketika pilihanraya umum bakal muncul lagi, apakah mereka tidak belajar dari sejarah tersebut, saya katakan begitu kerana saya melihat pembangkang, PAS, DAP dan Keadilan amat-amat lemah.Di mana pemimpin utama pembangkang, tokoh karismatik, Anwar Bin Ibrahim, jawapannya mudah, beliau sibuk membuat 'PR exercise' dengan kawan-kawan arab dan mat sallehnya di Washington DC. Sedang pilihanraya amat hampir, dan beliau sedar bahawa hayat politiknya amat bergantung dengan pilihanraya ini, Anwar lebih gembira melayan Paul Martin, bekas Perdana Menteri Kanada yang mengundangnya makan malam. (sila baca blognya anwaribrahimblog.com)

Bagaimana dengan PAS, selepas Muktamar awal Jun lalu, sudahkah diumumkan pesuruhjaya-pesuruhjaya negeri masing-masing, tanpa ketua tidak mungkin jentera pilihanraya dapat digerakkan. Kita semua tertunggu-tunggu pengumuman tersebut.Begitu juga dengan Keadilan, masih belum mengumumkan perlantikan Pengerusi Perhubungan negeri, sedangkan pilihanraya makin hampir.

Jika PAS dan Keadilan tiada ada pemimpin tertinggi di negeri masing-masing, maka kita boleh andaikan mereka masih belum berbincang soal pembahagian kerusi dalam pilihanraya lagi.Mungkin ada perundingan awal, tetapi jika mengambil kira pilihanraya tiga bulan lagi parti-parti pembangkang sepatutnya sudah mula memperkenalkan calon di kawasan masing-masing bukan baru berbincang soal agihan kerusi.

Dan saya percaya, persoalan penting ini jika tidak diselesaikan cepat akan menjadi perangkap mudah untuk melihat pembangkang bertelagah. Episod Hadi dan Kit Siang akan berulang, kali ini mungkin bertambah meriah dengan kemasukan Anwar Ibrahim.Sedang pembangkang terpinga-pinga, Barisan Nasional (BN) sudah menyelesaikan masalah pembahagian kerusi mereka lama dahulu, beberapa tempat bertindih sudah dikenal pasti dan dirundingkan. Barangkali dari 219 Parlimen hanya 8 kawasan bertindih, itupun mengambil kira pakatan BN yang mempunyai 14 parti politik.

Melihat gaya Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi memarahi pegawai kerajaan dalam soal banjir di Kuala Lumpur kemarin (siarkan dalam Buletin Utama) mudah untuk BN andaikan beliau sedang bersiap sedia menghadapi pilihanraya. Masej tersirat tindakan Abdullah itu adalah, 'Jangan buat rakyat tidak selesa, dan BN menjadi mangsa kemarahan mereka dalam pilihanraya akan datang,'. Kerana itu Pak Lah tekankan berkali kali 'can you speed up'.

Percepatkan dalam kata lain, pilihanraya dekat dah, projek semua kena siapkan.Sedangkan pakatan pembangkang (kalau boleh dipanggil pakatan) amat longgar dan carca merba. Sebab itu, kami di klpos.com memberi ingatan awal bahawa jika pembangkang kalah teruk lagi, berhenti menyalahkan SPR, BN dan pengundi hantu, mereka perlu menyuluh diri mereka di cermin, beristigfar, kerana jelas mereka tidak bersedia, lemah dan memalukan.Bukankah terdapat hadis Nabi SAW yang bermaksud, kebatilan yang tersusun, akan mengalahkan kebenaran yang berserabut.Kepada pemimpin pembangkang; jangan lena banyak sangat, mulalah kerja sekarang, untuk meminjam perkataan Pak Lah' 'Speed Up" atau pilihanraya ke 13 nanti cuba lagi.

Artikel kelima :
TIADA JALAN MUDAH DEPANI PILIHAN RAYA KE-12
Ahmad Lutfi Othman Mon Dec 11, 06 05:42:57 AM

Fungsi Harakah sebagai sebuah akhbar dimusnahkan KKDN apabila kekerapannya dihadkan daripada dua kali seminggu kepada sekali dalam masa 15 hari, mulai Mac 2000.

Kebanyakan majalah hiburan pun terbit dua kali sebulan, sama dengan Harakah, malah ada majalah wanita terbit seminggu sekali.

Lalu, apa yang dapat disandarkan kepada lidah rasmi PAS ini, untuk berdepan akhbar-akhbar harian yang dikuasai mutlak pemerintah, dalam pelbagai bahasa, tanpa sebarang sekatan, dan hayatnya terjamin.

KeADILan menerima nasib lebih malang apabila buletin rasminya masih diterbitkan tanpa permit, menyebabkan pengedarannya sukar dikembang, dan risiko untuk dirampas begitu cerah!

Keterbukaan pemerintahan Abdullah Ahmad Badawi tidak pernah wujud kepada pembangkang. Dia tetap keras dan tidak bertimbang rasa terhadap apa jua usaha untuk menyaingi kuasanya walaupun penguasaan BN di Parlimen lebih 91 peratus. Salah satu buktinya: Budaya takut di kampus dan sektor awam makin dahsyat.

Ulangan basi

Mukadimah tulisan pendek ini sememangnya ulangan basi kepada fenomena pasca pilihan raya 1999. Umno yang dibesarkan dengan dulang emas kuasa bersedia melakukan apa yang tidak terfikir dek akal bagi memastikan kekalahan tiada dalam kamus hidupnya. PAS pula nampak mudah menerima takdir walaupun banyak faktor kelemahan boleh diperbaiki segera.

Tanpa media penghubung ke akar umbi, PAS dan pembangkang boleh dipersudutkan seperti alien. Majlis ceramah yang disekat pada awal tahun 2000 masih belum dapat diaktifkan. Polis dan agensi penguatkuasa bertindak menurut skrip BN meskipun sekatan nampak tidak sedahsyat dulu. Yang penting, iklim politik dapat dikawal tinggi rendahnya, manakala amarah rakyat tidak menimbulkan gelombang atau sentimen dalam tempoh lebih panjang.

Mudah menyebut, siapa yang mengawal maklumat, ia mengawal teraju kuasa. Cukupkah sekadar Harakah yang diterbitkan setahun 24 kali, sedangkan untuk 340 hari lagi pasaran kontang setandusnya dengan bahan penerbitan alternatif? Selain Suara Keadilan yang diterbitkan tanpa permit, tiada "penerbitan gila" lain yang mahu melakukan "kerja bodoh" itu.

"Apa susah? Kita 'kan boleh meluahkan apa saja melalui laman web dan lebih mudah, blog, tanpa perlu kebenaran pemerintah. Malah kekerapannya pun terbuka luas, tiap saat boleh melabun." Mungkin itu penyedap rasa atau satu jalan keluar untuk kita menyapa rakyat. Kini, mengusahakan webtv pun menjadi lebih mudah, seperti pengalaman tvpas dan wtv8.

Melimpah ruah

Menerbitkan media yang berkesan dan boleh mempengaruhi audien tidak semudah itu. Ia perlu ongkos yang besar, komitmen dan kebolehan petugas yang cukup tinggi, kreativiti bukan sekadar melimpah ruah tapi dapat diempang dengan baik untuk mengapungkan media berwibawa di tengah masyarakat.

Tugas ini menjadi lebih sukar di kala emosi rakyat "stabil" dan banyak terarah kepada hal-hal kehidupan harian. Internet memang banyak membantu pada era reformasi namun "mood" itu mungkin datang sekali dalam hayat hidup kita. Masing-masing individu bergerak sendiri tanpa perlu ada pengarahan khusus, tapi semuanya menuju matlamat yang sama.

Bahan laman-laman web reformasi dicetak dan diedar seluasnya ke ceruk rantau paling terpencil, walaupun diakui ada yang "separuh benar". Risalah dan poster beredar tangan, selain buku-buku, juga novel politik, seperti Shit, turut dijual peniaga buah di tepi jalan.

Saya kira lebih 150 judul buku tentang Anwar dihasilkan sekitar September 1998 hingga akhir 1999, sebahagiannya oleh penulis yang baru pertama kali (dan terakhir) menulis buku politik!

Sekarang suasana kembali normal. Hentakan bersepadu pemerintah untuk mematikan kemarahan dan protes rakyat boleh dikira berjaya.

Kemurungan episod duka pilihan raya Mac 2004 sepatutnya sudah berlalu, namun mengharapkan keajaiban 1998-99 berulang tidak lebih angan-angan kosong. Pimpinan dan aktivis harus bekerja lebih gigih, terarah, mampu memilih strategi terbaik, turun segera ke medan, menampung kelemahan, dan biar rakyat terasa kehadiran dan keperluan pembangkang.

Wadah paling ampuh

Isunya, sekali lagi, soal penyampaian maklumat, berita dan analisis, yang tentunya berwibawa dan boleh dipercayai, sama ada untuk menyerang dan mematahkan "tongkat sakti" Umno atau menonjolkan tawaran lebih baik buat rakyat. Dan saya yakin, tiada wadah paling ampuh untuk barisan pembangkang mendekati rakyat, setiap detik, saban waktu, selain memanfaatkan sepenuhnya ruang di alam maya ini, yakni internet.

Namun harakahdaily harus bersedia, dalam waktu singkat, memperlengkapkan segala kemudahan yang diperlukan, mental dan fizikal, teknikal dan editorial - dengan menyedari usaha untuk melumpuhkannya juga dilipatgandakan musuh - agar rakyat mendapat pilihan sewajarnya, mengenal mana kaca mana permata, sambil mengharapkan proses pilihan raya berjalan lebih telus, jujur dan adil.

Perit untuk memaklumkan, tapi itulah hakikatnya. Ada laman terpaksa mengunci diri dan mengenakan bayaran untuk memastikan liputan berita dapat dibuat secara profesional.

Rujukan : http://harakahdaily.net/v061/index.php?option=com_content&task=view&id=5621

Kesimpulannya, keseluruhan ahli dan penyokong yang insaf akan situasi ini sangat bimbang , kemungkinan besar kita akan dimalukan sekali lagi. Apa tindakan yang boleh diambil umtuk mengatasi masalah ini. Bagi saya, ianya sudah agak lewat untuk mengerakkan ahli-ahli, pendokong dan pengundi untuk memilih kita kerana kita gagal mengerakan jentera pilihanraya sebaik sahaja tamat PRU ke-11 dulu. Seluruh aktiviti PAS di seluruh negara lumpuh, kina baru kita mula gerakkan, bagaikan orang mamai baru bangun dari tidur yang nyenyak.

InsyaAllah, saya akan ulas isu ini kenapa ia terjadi sedemikian berdasarkan kajian rambang tumpuan di Daerah Parlimen dan dua DUN di tempat saya yang sedang saya kumpulkan maklumat sekarang. Bila selesai nanti saya akan siarkan hasil kajian tersebut.

“SELAMATKAN RAKYAT DAN SELAMATKAN NEGARA”
“PROTES SAMPAI TURUN”

Sekian.Wassalam

No comments:

Post a Comment