Wednesday, May 29, 2013

PETRONAS: JANGAN TUNGGU RAKYAT MARAH BARU HENDAK BERUBAH



KUALA LUMPUR: PAS menyarankan audit dilakukan terhadap prestasi kewangan dan ketelusan urus tadbir Petronas yang dilihat semakin tidak jelas hala tujunya.

Institut kajian dasar yang mempromosikan tatakelola dan pengurusan minyak, gas dan mineral secara berhemah dan bertanggungjawab, Revenue Watch Institute (RWI), meletakkan Malaysia di tempat ke 34 daripada 58 negara, dengan jumlah markah sebanyak 46 peratus dalam pengurusan hasil minyak dan gas negara.



Kedudukan itu dikeluarkan dalam terbitan terbaru Resource Governance Index (RGI) bagi tahun 2013.

Kedudukan ini jauh lebih rendah dari negara-negara jiran seperti Timor Leste, (13), Filipina (23), dan Indonesia (14).

Malah Mongolia berada di kedudukan yang lebih tinggi iaitu di tempat ke 26.

Pada 2010, Malaysia memperoleh markah sebanyak 48.4 peratus dalam kajian yang sama oleh RWI dan Transparency International (TI).

Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, maklumat berkaitan bajet tahunan Petronas, sama ada di sektor huluan ataupun hiliran sukar diperoleh serta tidak jelas.

"Anggaran kasar menunjukkan bahawa Petrnas membelanjakan kira-kira RM35 hingga 40 billion setiap tahun untuk projek-projeknya.

"Angka ini jauh lebih besar daripada kementerian-kementerian penting dalam kerajaan seperti Kementerian Pendidikan dan Kesihatan.

"Malangnya rakyat serta wakil-wakil mereka di Parlimen tidak pernah diberi peluang untuk meneliti sama ada dana yang sebesar itu telah dibelanjakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah," katanya pada sidang di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini.

Beliau juga berkata, maklumat tentang kriteria-kriteria yang diguna pakai ketika membuat penilaian tender untuk penganugerahan kontrak-kontrak juga tidak jelas.

"Sistem perlesenan dan pendaftaran vendor dan kontraktor yang tidak telus dan seolah-olah sengaja dipersulit jelasa memberi kelebihan kepada syarikat-syarikat yang menjadi kroni-kroni pemerintah BN dan pengurusan tertinggi Petronas untuk membolot kontrak-kontrak yang lumayan ini.

"Sistem perlesenan ini juga telah gagal menyediakan tapak dan peluang, malah menjadi penghalang bagi kontraktor-kontraktor baru dan kecil tempatan untuk berkembang dalam industri minyak dan gas," kata bekas ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Kontrak Petronas berlegar di kalangan kroni

Selain itu, Dzulkifly juga mempersoal tindakan Petronas yang mengagihkan kontrak kepada syarikat kroni sahaja seperti SapuraKencana, Dialog, Petra dan Scomi.

Di kalangan syarikat-syarikat antarabangsa pula katanya, kontrak dibolot oleh syarikat seperti Schlumberger, Halliburton, Technip, Petrofac dan TransOcean yang diketahui rapat dengan pengurusan tertinggi Petronas.

"Sehingga dalam banyak keadaan menyekat peluang kontraktor-kontraktor tempatan sama ada milik bumiputera atau bukan bumiputera. Datuk Seri Najib seolah-olah berlepas tangan, malah merestui amalan-amalan yang tidak telus ini," katanya lagi.

Petronas juga memperkenalkan konsep baru dalam menganugerahkan kontrak bagi membangunkan medan-medan minyak bersaiz kecil yang dipanggil Risk Service Contract (RSC).

Pemenang-pemenang kontrak RSC ini terdiri daripada syarikat yang sama iaitu SapuraKencana, Dialog, Petra dan sebagainya.

Kontrak-kontrak dalam pusingan-pusingan awal RSC sememangnya diadakan secara tender terbuka tetapi kriteria-kriteria untuk menetapkan pemenang-pemenang kurang jelas.

"PAS difahamkan tidak lama lagi satu lagi kontrak RSC akan diumumkan untuk membangunkan medan minyal Bubu di perairan Terengganu dan bakal pemenangnya adalah salah satu daripada syarikat kroni yang dinamakan.

"Apa yang lebih mendukacitakan, untuk pusingan ini, tiada tender terbuka dibuat. Kontrak bakal diberi secara runding terus," katanya.

2 comments:

  1. juga boikot petron ! kompeni gerombolan sang kutty pengkhianat perompak khazanah negara ! ABU jangan lupa !

    ReplyDelete
  2. Padan muka semua....!!!Terimalah nasib kita! Saya cukup yakin bahawa akan tiba satu hari nanti..tak lama lagi..ekonomi Malaysia akan jauh ketinggalan di belakang semua negara2 ASEAN!!

    ReplyDelete