Tuesday, May 21, 2013

PENANGAN ADAM ADLI...

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN (SH)
22 Mei 2013

                                           Adam Adli Pejuang Muda
 
SHAH ALAM - Susulan penahanan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim berhubung siasatan di bawah Akta Hasutan, dunia siber malam tadi seolah-olah "dibanjiri" dokongan tidak berbelah bahagi kepada anak muda ini.

Tidak cukup kata-kata semangat di laman sosial Facebook, Twitter, blog, malah ribuan dari pelusuk tanah air, tanpa mengira kaum, berhimpun di hadapan Balai Polis Jinjang dan di beberapa lokasi lain bagi memberi sokongan kepada Adam Adli.

Nyalaan lilin dilakukan sebagai simbolik kepada bantahan penahanan Adam Adli.

Pemimpin-pemimpin pembangkang dan aktivis masyarakat juga terus mengecam di laman sosial masing-masing, mendakwa penahanan Adam Adli sebagai bersifat terpilih dan zalim.

"Najib janji mansuh Akta Hasutan tapi kini tahan pemimpin Mahasiswa Adam Adli disiasat bawah Akta itu. 1 lagi BN tipu," tulis pemimpin DAP, Nga Kor ming menerusi laman mikro Twitter miliknya malam tadi.

Sementara A. Samad Said pula menerusi laman sosial sama menulis, "semakin lama Adam diperam, semakin gema jerit melawan".

Selain itu difahamkan, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut berkumpul di hadapan balai yang menempatkan Adam Adli sebagai tanda solidariti kepada pemuda itu.

"Di depan pusat reman dekat Balai Polis Jinjang, sertai himpunan setiakawan kepada Adam Adli yang ditahan di sana. Ramai betul. Wan Azizah pun ada," tulis Syed Husin Ali  di laman mikro Twitternya.

Adam Adli ditahan reman di Balai Polis Jinjang bermula Ahad sehingga esok.

Penahanan aktivis mahasiswa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1) Akta Hasutan.

Ia ekoran ucapannya yang mengajak orang ramai turun berdemonstrasi jalanan sebagai protes menentang keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dalam program anjuran Suara Anak Muda Malaysia (SAMM).

Dalam ucapan ringkas itu, Adam Adli didakwa mengajak semua pihak mengadakan demonstrasi jalanan kerana mendakwa PRU13 baru-baru ini tidak sah kerana telah berlaku penipuan.

"Kalau ada polis, SB (cawangan khas), ejen Umno, ejen Barisan Nasional di sini, nama saya Adam Adli Abd Halim... ambil butiran saya, buat laporan polis kerana hari ini saya mahu mengajak semua rakyat, kita susun dan kita akan turun ke jalan raya untuk merampas balik kuasa.

"Kita tidak banyak masa lagi, kita akan turun ke jalan raya sebab dalam dunia ketiga seperti negara Malaysia ini, pilihan raya tidak akan menumbangkan kerajaan, yang boleh hanyalah kuasa rakyat. Ini sahaja peluang kita ada," katanya dalam ucapan seperti tersiar dalam Youtube.

Kenyataan berbaur hasutan itu disahkan polis berlaku pada minggu lalu di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH).
Baca juga :

No comments:

Post a Comment