Tuesday, May 21, 2013

PAK SUBKY LATIF : INDIA BN PALING BERTUAH

KUMPULAN yang paling bertuah dengan barisan kabinet transformasi  Datuk Seri Najib  yang terbaru ialah peranakan India bukan Melayu dalam BN.

Saya  tidak pasti adakah Melayu peranakan India dalam kabinet itu. Saya tidak tahu tentang Khairy Jamaluddin yang jadi Menteri Belia dan Sukan.

Dibandingkan dengan lain-lain kumpulan, jika pemilihan menteri dan timbalan menteri itu dibuat bagi mewakili kaum dan menjaga kepentingan kaum masing-masing, maka kumpulan itu dililhat ke depan dari segi nisbah kaumnya.

Sokongan masyarakat India yang menyokong BN dikatakan telah pulih dibandingkan dengan PU 2008 dulu, maka perhatian Najib kepada wakil kaum India mestilah istimewa.

Peranakan India mengikut banci 2010  seramai 1,969,343 orang dari jumlah penduduk seluruhnya 26,784,965 atau 0.735 peratus. Ia dapat lapan orang  dalam barisan menteri itu.

Ia dapat dua menteri penuh, pertama kali selepas kabinet Tunku sebelum  13 Mei, 1969 dulu dan beroleh enam timbalan menteri.

Zaman Tunku dulu yang mewakili peranakan India ialah MIC saja. Tidak kumpulan lain yang diterima oleh Perikatan (BN dulu) untuk bercakap bagi kepentingan masyarakat India. Sejak zaman Tun Razak hingga ke era Tun Abdullah Badawi, India dapat menteri tunggal saja. Walaupun Dr. Mahathir  juga asalnya adalah peranakan India juga, tetapi dia mengekalkan keadaan tunggal itu. Mungkin keperluannya memadai dengan seorang itu.

Tetapi peranakan India mulai tidak puas hati dengan MIC dan BN. Lalu mereka menjadi sebahagian dari anasir tsunami dalam PRU 2008. Najib berhempa pulas memulihkan sokongan rakyat kepada BN.

Ketua gejala tsunami itu  Melayu. Tidak pasti jumlahnya membesar atau menirus. Bagi peranakan Cina darah tsunami itu bertambah pekat. Adapun peranakan India dikatakan sudah cair. Maka atas kepercayaan ia  sudah  cair dan bagi memastikan ia terus cair, peranakan India khususnya MIC mahu layanan yang lebih diberi kepadanya.

Maka Najib termakan  dengan adanya pembaharuan dalam MIC maka MIC beroleh dua menteri penuh iaitu ketuanya G. Palanivel jadi Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar. Dr. Subramanium jadi Menteri Kesihatan. Ia dapat dua Timbalan Menteri, P. Kamalanatan (Pelajaran dan Pelajaran Tinggi. M.Saravanan (Belia dan Sukan).

Adakah darah tsunami itu  cair oleh perkembangan MIC atau ia cair oleh politik tidak berparti Hindraf?

Ada Hindraf yang dapat didekati Najib  dan ada Hindraf yang tidak dapat didekatinya.

Tanda-tanda MIC tidak lagi menunjangi kepentingan peranakan India ialah calonnya masih bergantung kepada pengundi Melayu. Jika ia bertanding  di kawasan majoriti Melayu, calonnya terjamin tetapi di kawasan bukan majoriti  Melayu.

Jika darah tsunami di kalangan pengundi India cair, bukanlah kerana MIC sudah pulih tetapi ialah kerana adanya politik mendekati Hindraf oleh Najib. Tidak nampak MIC ada mengemukakan pelan yang boleh menarik peranakan India. Tetapi Waytha Moorthy dari Hindraf yang dijadikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ada kertas cadangan yang boleh menarik pelaburan dari India.

Rasa tidak dapat bergantung pada MIC itu juga mendorong  seorang bukan   MIC, Dato L0ga Bala Mohan dijadikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Jika peranakan India bertuah beroleh ramai menteri, bukan kerana MIC sudah berwibawa semula, tetapi ia bergantung kepada peranan politik Hindraf. MIC kira-kira menumpang tuah Hindraf. Jika Hindraf tidak  ada, BN akan menanggung MIC sama seperti itu menanggung MCA dan Gerakan. MIC dapat nikmat besar dari kabinet Najib kerana menjadi jambatan kepada Najib dan Hindraf. Adakah Najib mesti menanggung MIC yang berniaga atas angin, sedang yang memberi sesuatu untuk masyarakat India ialah Hindraf?

No comments:

Post a Comment