Sebarang petisyen yang dikemukakan
parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) perlu
didengar dan diselesaikan dalam tempoh enam bulan daripada tarikh ia difailkan,
kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh semua hakim yang bakal mendengar permohonan semakan keputusan PRU13 bagi memastikan konsep keadilan dapat ditegakkan.
"Perkara ini penting memandangkan ada cubaan (parti politik) untuk mengemukakan petisyen berikutan kurang berpuas hati dengan keputusan PRU13 lalu.
"Jika petisyen itu dikemukakan atau difailkan, saya memohon kerjasama semua (hakim) untuk melaksanakan tanggungjawab (mendengar) dengan minda yang bebas... tanpa dipengaruhi oleh desakan pihak tertentu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Majlis Hakim-hakim Malaysia Kali Ke-47, di Kuantan hari ini.
Turut hadir Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Mohd Raus Shariff, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjun.
Arifin berkata tempoh enam bulan itu adalah realistik, kerana menjangkakan terdapat petisyen yang akan dikemukakan dari Sabah, Sarawak dan negeri-negeri di Semenanjung.
Seramai 101 Hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman menghadiri persidangan tahunan itu.
Arifin turut menasihatkan hakim untuk tidak memberikan sebarang reaksi balas terhadap komen yang dibuat oleh pengguna internet yang tidak berpuas hati dengan keputusan penghakiman.
Katanya, setiap keputusan yang sudah dibuat itu adalah muktamad dan atas pertimbangan sewajarnya oleh hakim yang bertanggungjawab dalam mendengar dan mengadili kes berkenaan.
"Walaupun ada komen yang dibuat atau disebarkan dalam internet itu berunsur negatif dan berniat menjejaskan nama baik sistem kehakiman, kita (hakim) tidak perlu melayannya kerana ia dibuat oleh mereka yang tidak memahami fakta sebenar kes," katanya.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan semua hakim supaya membuat keputusan penghakiman bersandarkan perbicaraan yang dijalankan dan keterangan yang dikemukakan demi menjaga kepentingan awam.
"Perkara ini perlu diberi perhatian kerana ada trend sebelum ini... ada hakim yang cuba memperluaskan skop hak asasi kemanusiaan dalam keputusan penghakiman mereka.
"Jika ini berlaku, menjadi perhatian dan kerisauan dalam kalangan pengamal undang-undang dan akhirnya dibimbangi akan memberi gambaran tidak betul terhadap kredibiliti badan kehakiman yang bertanggungjawab menegakkan keadilan di negara ini," katanya.-MALAYSIAKINI
Pesanan yg tepat
ReplyDelete