Saturday, April 27, 2013

KPRU: UMNO 2013 BAKAL ALAMI NASIB MCA 2008



Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) meramalkan, UMNO akan kehilangan banyak kerusi parlimen yang dipertandingkan pada 5 Mei 2013 sepertimana MCA kehilangan kerusinya pada 8 Mac 2008.

KPRU membuat ramalan ini berdasarkan beberapa faktor utama. Faktor pertama berkait rapat dengan kejatuhan populariti Presiden Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak berbanding peningkatan populariti pemimpin Pakatan Rakyat (PAKATAN) Dato’ Seri Anwar Ibrahim.


Suatu tinjaun oleh Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti (Umcedel) telah menemui kadar kelayakan Najib untuk memangku jawatan sebagai Perdana Menteri semakin berkurangan di mana hanya 39 peratus para respondan percaya Najib layak untuk menjadi Perdana Menteri berbanding Anwar Ibrahim yang meraih 43 peratus kepercayaan para respondan. Ini adalah pengurangan sebanyak 4 peratus daripada tinjauan yang dilakukan pada awal tahun 2013. Ini adalah seiringan dengan peningkatan dalam kepercayan PAKATAN untuk menjadi kerajaan baru pasca Pilihan Raya Umum Ketigabelas (PRU13).


Sepertimana MCA kehilangan sokongannya secara signifikan pada tahun 2008, UMNO kini kehilangan sokongan secara signifikan. Kerana itu, strategi kempen BN bergantung kepada seorang manusia bernama Najib yang dipaparkan sebagai pemimpin baik, biarpun beliau tak berani berdepan dengan Anwar Ibrahim di pentas yang sama dan berbahas dengan Anwar Ibrahim mengenai dasar dan manifesto masing-masing sambil disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Faktor kedua adalah dasar 1Malaysia gagal untuk menaik taraf hidup rakyat Malaysia. Najib mengumumkan bahawa kadar kemiskinan negara telah jatuh kepada 1.7 peratus sahaja. Walhal ianya dijangka angka sebenar kadar kemiskinan dalam Malaysia sebenarnya mencapai sebanyak 19 peratus mengambil kira kadar pendapatan isu rumah kerajaan dan Laporan Tinjauan Kemudahan Asas 2009 yang diambil oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Pada masa yang sama, kerajaan BN terpaksa membelanjakan hampir RM3 bilion bagi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysa (BR1M). Begitu juga 60 peratus penjawat awam tidak mampu dari segi kewangan untuk membeli rumah serta kegagalan Skim Rumah Pertamaku untuk membantu warga muda untuk membeli rumah.

Jenama 1Malaysia juga dapat dilihat sebagai kegagalan Najib apabila kira-kira 250 buah Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) telah dibuka seluruh negara untuk membantu memberikan barangan murah kepada rakyat Malaysia. Najib merancangan untuk membuka lagi 57 kedai KR1M seluruh negara. Ini bermakna rakyat Malaysia tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk membeli barangan berkualiti pada harga yang berpatutan kerana kerajaan BN terpaksa membuka kedai runcit yang menjual barangan murah pada harga yang lebih murah dari pasar raya seperti Giant, Aeon dan 99 Speedmart.

Faktor ketiga adalah insan bergelar Anwar Ibrahim yang mempunyai reputasi yang lebih positif berbanding Najib khususnya dari segi keupayaan tadbir urus kewangan negara dan penggubalan dasar baru yang dapat membawa pembaharuan seiring dengan tuntutan sezaman.

Pada tahun 2007, hutang negara adalah sebanyak RM267 bilion. Pada 2013, hutang negara telah melonjak kepada RM502 bilion. Ketika Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, kadar defisit negara telah diubah menjadi kadar surplus dengan tahun 1998, sebelum Anwar Ibrahim dipecat, Malaysia mencapai surplus sebanyak 2.4 peratus. Keadaan surplus ini terus menjadi deifisit sejurus selepas Anwar dipecat. Ini berbanding dengan kadar defisit di bawah Najib yang melonjak kepada 5.4 peratus pada tahun 2010 di bawah pentadbiran Najib.

Dari segi tenaga kerja pula, Najib juga gagal untuk menaikkan jumlah tenaga kerja mahir dalam negara memandangkan 80 peratus tenaga kerja dalam negara hanya mempunyai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Berbanding dengan reputasi Najib, reputasi Anwar Ibrahim lebih positif di mata orang awam. Contoh keadaan ini adalah kaum India tidak mempunyai sebarang minat terhadap soal peribadi Anwar dan melihat skandal seks terhadap Anwar hanya sebagai taktik kotor politik UMNO. Berbalik kepada reputasi Najib pula, tindakan kerajaan di sebalik nama Pejabat Pendakwa Raya, perbicaraan liwat terhadap Anwar sebenarnya mencemari reputasi Najib dan pentadbiran beliau sebagai taktik kotor politik murahan.

Bukan sahaja kaum India mengambil keputusan tidak mempedulikan kehidupan peribadi Anwar Ibrahim, malah menurut tinjauan yang dibuat oleh UMCEDEL, 54 peratus responden kaum Melayu setuju Anwar lebih layak menjadi Perdana Menteri berbanding Najib yang hanya meraih sokongan sebanyak 28 peratus.

Faktor keempat yang akan mempengaruhi keputusan di PRU13 ini adalah dasar Najib yang dilihat sebagai lemah dan tidak berpendirian tetap. Ini mengikut 10 kes dasar ‘flip-flop’ yang pernah dilaporkan oleh KPRU[1] yang berlaku di bawah pentadbiran Najib. Antara 10 kes tersebut adalah terdiri daripada dasar ‘flip-flop’ Lynas, kegagalan pertukaran saham Malaysia Airlines dan Air Asia sehingga kepada pembatalan Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) selepas penentangan oleh para penjawat awam.

Kegagalan Najib untuk berpendirian tegas kepada dasar-dasar negara yang mempengaruhi kehidupan harian menunjukkan beliau tidak mempunyai keupayaan untuk membawa Malaysia kepada arah sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi. Ianya juga memberi gambaran bahawa Najib tidak mempunyai kebijaksanaan untuk memutuskan dasar yang paling efektif demi rakyat tanpa mengayakan kroni-kroni beliau.

Faktor kelima adalah skandal-skandal yang kembali menghantui Najib dan pentadbiran beliau. Antara skandal-skandal yang kembali menghantui Najib adalah skandal Scorpene, Altantuya, kritikan terhadap tindakan melampau ke atas para peserta perhimpinan Bersih 2.0 dan 3.0, skandal National Feedlot Center (NFC), kegagalan pentadbiran Najib mengendalikan pencerobohan Lahad Datu dengan pantas dan efektif, skandal perbicaraan liwat terhadap Anwar Ibrahim, skandal kroni AES, skandal kroni emel 1Malaysia, skandal kotor melibatkan Ketua Menteri Sarawak dan keluarganya serta kegagalan Najib untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Menteri Sarawak, kegagalan Najib untuk mengambil tindakan terhadap skandal yang melibatkan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Nazri Aziz, skandal melibatkan isteri beliau, Datin Paduka Seri Rosmah binti Mansor dan cincin bernilai RM24 juta, skandal perkauman Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysa, (Perkasa) yang mendapat perlindungan dan kelulusan pentabiran Najib dan yang terkini, kegagalan pentadbiran Najib menangani masalah keganasan politik yang kian berleluasa dan semakin bahaya.

Ekoran skandal-skandal ini, rakyat mendapat gambaran bahawa soal rasuah yang kononnya giat dibanteras oleh Najib sebenarnya, sebaliknya digalakkan oleh Najib. Ianya kelihatan seperti Najib lebih rela melindungi kroni-kroninya dari membantu rakyat keluar dari belenggu hutang dan kemiskinan.

Keadaan ini lebih jelas dengan rujukan dibuat kepada tinjauan yang dibuat oleh badan bukan kerajaan, Merdeka Center yang memetakan peratus sokongan terhadap Najib semenjak beliau memegang jawatan sebagai Perdana Menter sehingga tahun 2013.



*Graf dipetik dari Merdeka Center

Graf 1 menunjukkan sejak April 2012, kepercayaan orang awam terhadap prestasi sebagai Perdana Menteri kian berkurang dan ini dibalas dengan peningkatan peratus dalam kadar tidak puas hati orang awam terhadap prestasi Najib sebagai Perdana Menteri. Penurunan kepercayaan kepada prestasi Najib bermula pada Disember 2011 di mana sokongan 71 peratus telah mengalami kejatuhan berterusan sehingga Januari 2013 di mana sokongan tersebut adalah sebanyak 61 peratus. Manakal perasaan tidak puas hati pula kian menunjukkan peningkata bermula Mei 2012 dari 23 peratus meningkat kepada 32 peratus pada Januari 2013.

PRU13 melihatkan Najib sudah semakin tidak releven di mata rakyat Malaysia berdasarkan kelima-lima faktor yang telah disebutkan di atas. Kelima-lima faktor ini akan mempengaruhi keputusan PRU13 ini di mana ianya akan menjadi penentu hala tuju rakyat sama ada untuk memilih PAKATAN atau BN sebagai kerajaan baru untuk lima tahun akan datang. Dan mengikut maklumat di atas, peluang untuk PAKATAN memenangi PRU13 adalah lebih cerah daripada BN.



No comments:

Post a Comment