Friday, April 26, 2013

HUSAM MENUNGGU DI GERBANG PUTRAJAYA



Putrajaya, adalah pusat pentadbiran kerajaan Malaysia, lambang kuasa kerajaan Barisan Nasional yang memerintah Malaysia lebih setengah abad. Dengan itu Umno yang menjadi tulang belakang BN selama ini diasosiasikan dengan kekuasaan di Putrajaya.

Namun Putrajaya terlalu kecil jika dibandingkan dengan empayar Rom dan Parsi di zaman klasik yang berkuasa ratusan tahun lamanya. ia  lebih kecil lagi Constantinople dibandingkan dengan empayar Rom di sebelah timur, iaitu empayar Byzantine/Constantinople Istanbul/Turki.

Dalam sejarahnya Empayar Byzantine/Constantinople dapat ditakluki dan dibebaskan oleh seorang pemuda, berumur 21 tahun – Sultan Muhamad atau bergelar Muhamad Al-Fateh, perwira muda yang luar biasa, anak Sultan Murad sekitar abad ke-15.

Saya mengingat semuanya ini ketika berdiri di depan Datuk Husam Musa, calon PAS/Pakatan Rakyat untuk parlimen Putrajaya. Lawannya, Tengku Adnan Tengku Mansor dari BN.

Husam adalah pemimpin politik heavyweight, yang dianggap oleh sesetengah orang sebagai ‘tokoh politik yang suka berdepan dengan cabaran besar’ sesuai dengan sifatnya yang sangat dinamik, lincah terbuka, suka membaca dan berstrategi.

Husam adalah produk dari kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, justeru selama puluhan tahun beliau bukan saja belajar mengenal tasawuur Islam seluas-luasnya, bahkan belajar kaedah kepimpinan Islam seperti yang diserlahkan oleh Mursyidul Am PAS itu.

Oleh itu melihat watak Husam yang luar biasa itu, Tuan Guru Nik Abd Aziz, barangkali, ‘melepaskannya’ bertanding di luar Kelantan – Parlimen Putrajaya, suatu langkah yang disafatkan oleh beberapa kalangan sebagai ‘berani dan berisiko tinggi’ - memandangkan kawasan Parlimen Putrajaya ini kononnya adalah sebagai ‘kubu kuat’ Umno/BN yang tidak akan terkalahkan, justeru di sana pusat pentadbiran kerajaan di mana ada persepsi umum mengatakan bahawa kakitangan kerajaan biasanya akan mengundi BN atas sebab-sebab yang diketahui umum.

Husam bercita-cita untuk membawa Tuan Guru Nik Abd Aziz menjadi imam solat Jumaat di Masjid Putrajaya kiranya Putrajaya dapat dikuasai Pakatan Rakyat selepas PRU ke-13 ini. Bagaimanapun pada pendapat saya, semangat perjuangan Tuan Guru sudahpun berada di lubuk hati penghuni Putrajaya.

Memang pelbagai tekanan dilakukan kepada penjawat awam di Putrajaya supaya tidak menghadiri ceramah dan program Husam yang lain, tetapi beliau mempunyai strategi sendiri menemui pengundi yang lebih 10,000 orang itu.

Setiap ada kesempatan, beliau dan petugasnya menemui pengundi Putrajaya di mana saja – di kantin, di kafetaria, pasar mini, hentian teksi dan bas, orang-orang perseorangan yang bersiar-siar di tepi tasik dan di mana saja.

Puluhan ribu orang telah menghadiri beberapa majlis ceramahnya bersama pemimpin Pakatan yang lain di Putrajaya minggu lalu dan ini sangat membimbangkan pihak lawannya. Bagi pemerhati politik, ini tanda pengundi di situ, dari golongan manapun, sudah mahukan perubahan.

Saya menemui Husam di pejabatnya di Putrajaya dalam keadaan cuaca dingin dengan hujan di luar berterusan.

Beliau kelihatan tenang saja, ceria dan yakin. Beliau mengatur strategi dengan formula mengetahui sedalam-dalamnya kekuatan dan kelemahan musuh, membaca suasana persekitaran, bila masa bertahan dan bila masa menyerang, di samping menyediakan secukupnya peralatan lojistik.

Semua langkah Husam ini mengingatkan saya mengenai teori dan strategi peperangan panglima perang termasyhur China Sun Tzu atau Sunzi di zaman klasik China, Dinasti Zhou. Mungkin juga Husam telah membaca buku Sun Tzu ini.

Baru-baru ini, Husam melahirkan rasa kecewa berhubung peristiwa di mana ada AJK di sebuah surau di Putrajaya dipecat berkuatkuasa serta merta hanya kerana membenarkan beliau mengadakan majlis suai kenal di surau tersebut.

"Saya mohon pada semua sahabat yang baru saya kenali di Putrajaya, penduduk Putrajaya dan seluruh rakyat negara Malaysia yang beragama Islam supaya berdoa mohon kepada Allah supaya budaya politik sempit begini ditamatkan pada 5 Mei ini," katanya.

Menurutnya, situasi itu menyebabkan mood perubahan warga Putrajaya semakin meningkat.

Husam bercita-cita, jika Pakatan Rakyat berjaya mentadbir negara, beliau akan mengesyorkan supaya dibina satu sekolah Maahad Tahfiz Sains di Putrajaya seperti di Kelantan yang telah berjaya melahirkan tenaga profesional dan pada masa yang sama hafiz al-Quran. Dengan kata lain, golongan profesional dapat menguasai Al-Quran.

Husam juga turut menyatakan harapannya jika Pakatan Rakyat berkuasa nanti, untuk mengatasi masalah perumahan di Putrajaya termasuklah masalah harga rumah yang tinggi, bilangan rumah yang tidak cukup dan keluasan rumah yang tidak selesa yang sangat mendesak kepada masyarakat di sini.

Saya yakin, tokoh pemimpin seperti Husam ini juga bercita-cita untuk menjadikan Putrajaya ini sebuah kota pentadbiran yang benar-benar menjunjung amanah rakyat dan menjadi kota ilmu yang menyinarkan cahayanya ke mana-mana.

Memanglah harapan kepada Husam sangat tinggi dan jika Pakatan Rakyat berkuasa, saya kira, Husam antara orangnya, yang mampu membawa perubahan di Putrajaya ini.
Akhirnya, saya menyimpulkan, jika Allah s.w.t. menghendakinya,  kemenangan Pakatan Rakyat akan tercapai dan Putrajaya akan dapat dibebaskan seperti Muhamad Al-Fateh membebaskan Constantinople, walaupun Husam tidaklah semuda Muhamad Al-Fateh.

TGNA-5 MEI UNDI DENGAN CERDIK

No comments:

Post a Comment