Tuesday, April 2, 2013

ASPAN ALIAS : PERTUKARAN PEMIMPIN BUKANNYA PERTUKARAN KEPIMPINAN



Sejak kembalinya Sallahudin Ayob, Naib Presiden PAS dan Penasihat DAP Lim Kit Siang ke negeri kelahiran mereka, Pakatan Rakyat mendapat pertambahan sokongan yang besar dan nampaknya sudah membuah satu aura kebangkitan dan penentangan rakyat terhadap BN di Johor.  Pemimpin BN begitu bercelaru untuk menghalang aura penentangan rakyat terhadap  kubu kuatnya (BN) sekarang ini.


Pemimpin BN termasuk pemimpin yang sudah lama bersara yang tidak mahu berhenti politik Dr Mahathir Mohammad turut turun padang di Johor dengan kata-kata kesat dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak begitu baik dari bekas PM itu. Di antaranya Mahathir meminta rakyat Johor menamatkan riwayat politik Lim Kit Siang di negeri kelahirannya itu.

Kenyataan Mahathir itu nampaknya telah menyemarakkan lagi sokongan rakyat di belakang LKS dan Sallahuiddin Ayob kerana kenyataan seperti itu seolah-olah Mahathir mahu mengongkong pemikiran rakyat yang sedang dalam pencarian itu. Malahan yang membuatkan rakyat dalam pencarian itu ialah kerana kegagalan UMNO untuk mengekalkan identitinya sebagai sebuah parti perjuangan yang sebenarnya.

Mahathir membidas pembangkang seperti DAP kerana katanya negara telah menukar 6 kepimpinannya tetapi DAP masih tidak menukar kepimpinannya kerana yang berkuasa dalam DAP itu kononnya telah membentuk budaya kronism dan sebagainya. Matlamat Dr M ini ialah untuk menekan DAP dari memperluaskan pengaruhnya di Johor dan seluruh negara.

Kenyataan Magathir itu sangat mudah untuk dipatahkan jika kita berfikir dan tidak perlu mempunyai ‘intelligence’ yang tinggi untuk mengembalikan kritikan Mahathir itu. Kenyataan Mahathir itu menunjukkan beliau sangat jauh sekali dari memahami apa yang pihak rakyat maksudkan perubahan itu.

Benar, UMNO telah mengubah kepimpinannya sebanyak enam kali. Tetapi perubahan dari seorang pemimpin kepada seorang pemimpin yang lain itu bukannya perubahan sebenarnya. Saya sendiri selalu menyatakan UMNO tidak mahu mengubah kepimpinannya tetapi saya bukan bermaksud mengubah pemimpinnya. Saya bermaksud perubahan dari Mahathir ke Abdullah dan kini berubah kepada Najib itu bukannya perubahan. Begitu juga niat dan kemahuan Dr Mahathir yang tidak sabar untuk mengubah pemimpin dari Najib kepada Muhyiddin itu pun bukannya perubahan kepimpinan.

Apa yang saya maksudkan ialah perubahan kepimpinan atau gaya memimpin. Jika pun Najib memberikan pimpinan kepada Muhyiddin itu bukan perubahan kerana mereka berdua ini datangnya dari acuan yang sama. Najib atau Muhyidin sama saja kepimpinan mereka. Mereka akan terus membiarkan atau tidak tahu untuk memberhentikan budaya rasuah kerana mereka tidak menganggap rasuah itu adalah racun kepada rakyat dan negara. Mereka berdua akan terus menyalahgunakan kuasa kerana mereka sudah di budayakan hidup dengan menyalahgunakan kuasa dan rasuah.

Kepimpinan mereka sama juga seperti kepimpinan Abdullah Badawi dan bapa kepada segala kemungkaran politik dan ekonomi, Dr Mahathir Mohammad. Mereka ini jika berjalan mereka akan sehayun dan selenggang, sama sahaja dan itulah yang saya katakan bertukar pemimpin tidak semesti bertukar kepimpinan.

Yang dimahukan oleh ramai rakyat sekarang ialah pertukaran kepimpinan bukannya menukar kepimpinan. Di antara Mahathir, Abdullah Badawi, Najib serta Muhyiddin dan semua Naib-Naib Presiden UMNO sekarang ini semuanya sama kepimpinan mereka.

Untuk menukar kepimpinan kita perlu menukar acuannya dan yang ada paling hampir dengan rakyat sekarang ialah acuan baru Pakatan Rakyat. Kalau di tukar acuannya barulah dinamakan pertukaran kepimpinan kerana gaya dan kepimpinan mereka adalah berbeza dengan kepimpinan Barisan Nasional.

Jika rakyat benar-benar hendak menukar kepimpinan maka Pakatan Rakyat lah pilihannya. Jika kita masih memakai acuan BN selagi itulah kepimpinan tidak berubah. Siapa pun di kalangan UMNO mengambil alih kepimpinan Najib keadaan tetap sama kerana kepimpinannya sama. Kalau setakat hendak memilih pemimpin lain tetapi masih di kalangan MKT UMNO itu misalnya, ia tidak ada pertukaran kepimpinan. Maka tidak payahlah tukar Najib dengan Muhyiddin dilakukan.

Tetapi rakyat mahu pertukaran kepimpinan. Untuk mendapatkan kepimpinan baru maka Pakatan Rakyat adalah pilihan mereka. Maka DAP, PAS dan PKR adalah ‘coalition’ yang mantap untuk memberikan kepimpinan baru itu.

Maka yang dikatakan oleh Mahathir dan Muhyiddin yang UMNO sudah menukar enam pemimpin itu tidak relevan. UMNO hanya menukar pemimpin tetapi tidak menukar kepimpinan.

Pembubaran Parlimen yang akan di umumkan oleh Perdana Menteri hari ini merupakan kesempatan untuk menukar kepimpinan bukannya bertukar pemimpin.

No comments:

Post a Comment