Friday, March 29, 2013

SENGIT DI KERUSI 3 PEMIMPIN PKR, RAMAL ANWAR



Dalam keghairahan mahu menawan Putrajaya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mahu memandang remeh terhadap saingan sengit yang mampu diberikan musuh politik mereka BN.


Dalam ceramahnya di Gombak, Kuala Lumpur malam tadi, ketua umum PKR itu meluahkan sikap hati-hatinya itu untuk kerusi Gombak, Pandan dan Lembah Pantai.

Ketiga-tiga kerusi itu akan ditandingi tokoh heavyweight PKR, iaitu Azmin Ali (timbalan presiden), Rafizi Ramli (pengarah strategi) dan Nurul Izzah (naib presiden yang juga anaknya) dalam pilihan raya umum akan datang.

"Fokus yang Umno mesti tumbangkan (adalah) Azmin di Gombak, Rafizi di Pandan dan Nurul Izzah di Lembah Pantai," katanya.

Dalam pilihan raya umum 2004, Azmin menewaskan calon BN Said Anuar Said Ahmad dengan majoriti 6,867 undi.

Nurul Izzah membuat kejutan dengan memalukan penyandang kerusi Lembah Pantai Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang juga ketua Wanita Umno dan menteri kabinet pada masa itu dengan majoriti 2,895 undi.

Manakala Rafizi pula akan membuat penampilan sulungnya dalam pilihan raya dengan turun ke kerusi yang disandang bekas presiden MCA Datuk Seri Ong Tek Kiat.

Ong bagaimanapun belum tentu terpilih mempertahankan kerusi itu daripada asakan Pakatan.

'Lagi kacau, lagi dahsyat 2, 3 minggu lagi'

Sementara itu, tanpa memberikan sebarang perincian, Anwar mendakwa mendapat maklumat daripada sumber "sebelah perdana menteri" bahawa terdapat lebih banyak "fitnah" berkaitannya akan disebarkan dalam masa terdekat.

"Saya dapat maklumat dari sebelah Datuk Seri Najib, (dalam masa) dua tiga minggu lagi, lagi kacau, lagi dahsyat, lagi teruk dia (dari sebelah sana) punya caci dan fitnah," kata Anwar.

Kata Anwar, taktik itu tidak mensasarkan untuk mengolah krisis keyakinan terhadap beliau tetapi sekadar cukup "menimbulkan kecurigaan" bagi merencatkan kebangkitan rakyat.

"Mereka tidak mahu timbulkan krisis keyakinan dan mereka juga tidak kisah sama ada ia benar atau tidak benar.

"Mereka cuma mahu timbulkan sedikit kecurigaan sahaja," katanya.

Terbaru, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa menerima maklumat bahawa video seks palsu menampilkan Nurul Izzah dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim (dalam dua video berasingan) akan disebarkan.

Anwar malam tadi turut mengumumumkan Azmin dan seorang lagi naib presidennya Tian Chua akan mempertahankan kerusi yang dimenangi mereka dalam pilihan raya lalu di Gombak dan Batu.

Pengumuman pemilihan Tian Chua dibuat di kawasan Parlimen itu dalam ceramah sebelumnya.

SUMBER : MALAYSIAKINI

No comments:

Post a Comment