Thursday, March 28, 2013

ASPAN ALIAS: TERBUBARNYA DEWAN LEGISLATIF BUKTI BN MENYERAH DIRI



Sesungguhnya tindakan UMNO/BN membiarkan Dewan-Dewan Undangan Negeri terbubar dengan sendirinya kali ini memberikan hikmah kepada pihak Pakatan Rakyat. Jika pilihanraya dilaksanakan secara adil, tidak mungkin BN akan bertahan. Menanti sampai Dewan terbubar itu bermaksud untuk menangguhkan pilihanraya sehingga ke penghujung waktu kerana UMNO dan BN sudah mengetahui yang pihak mereka tidak lagi disokong dan dimandatkan rakyat dalam pilihanraya kali ini.


Tidak mungkin UMNO dan BN akan membiarkan Dewan terbubar jika mereka berkeyakinan untuk memenangi pilihanraya ini. Ini diketahui umum dan kenyataan yang UMNO takut menghadapi rakyat kali ini. Ini membuatkan rakyat lagi jauh dan takut untuk mendukung parti itu lagi. Tindakan untuk lari dan pengadilan rakyat ini sahaja sudah cukup untuk rakyat tidak berani dan menghormati parti yang sudah begitu tua dan berpenyakit ini.

Berbagai-bagai ubat dan ‘supplement’ digunakan untuk menyembuhkan penyakitnya tetapi penyakit itu tidak juga sembuh malahan lebih merebak lagi. Inilah yang membuatkan pemimpin yang melakukan banyak kesalahan bercakap tidak lagi menggunakan akal fikiran tetapi sebaliknya menggunakan emosi yang berlebih-lebihan kerana asakan rakyat sekarang ini.

Sebenarnya UMNO tidak lagi bertanding dengan parti-parti politik pembangkang tetapi sebaliknya parti itu sedang bertanding dengan rakyat. Di satu pihak UMNO dan di satu pihak lagi ialah rakyat ramai. UMNO sedang menghadapi rakyat yang sentiasa mahukan pertambah-baikkan negara secara demokratik. Rakyat negara ini tidak terpengaruh dengan ‘Arab Spring’ di Timur Tengah tetapi lebih mahukan perubahan dilakukan secara demokratik. Itulah sebabnya UMNO dan BN sentiasa berusaha untuk ‘memancitkan’ demokrasi kita dengan berbagai-bagai cara.

UMNO terlalu benci dengan demokrasi sebenarnya. UMNO mahukan demokrasi acuannya sendiri seperti yang disebut oleh Mahathir sejak dari dulu. UMNO mahukan demokrasi yang membolehkan UMNO sahaja yang memenangi pilihanraya. Memilih parti selain dari UMNO itu adalah jenayah kerana mengundi parti lain itu akan menyebabkan negara huru-hara, kata mereka. Jika parti lain menang masakan huru-hara itu dilakukan oleh pihak yang menang? Selalunya yang membuat huru-hara itu adalah pihak yang kalah kerana sebelum ini mereka tidak pernah kalah.

UMNO tidak mahu memperbaiki diri mereka dari kekufuran nikmat yang mereka rasakan sebegitu lama. UMNO sudah merasakan yang berhak untuk menang ialah parti itu sahaja. Itu sebabnya pimpinan UMNO bersumpah tidak akan membiarkan Putrajaya jatuh ke tangan Pakatan Rakyat. Sebenarnya UMNOlah yang gilakan kuasa dan tidak pihak Pakatan Rakyat yang gila kuasa itu. Pakatan Rakyat masih belum ada kuasa di Putrajaya, bagaimana pula UMNO menuduh Pakatan Rakyat yang gila kuasa.

Selalunya yang gila kuasa ini adalah orang yang sedang berkuasa kerana tidak sanggup untuk melepaskan kuasa walaupun mengambil alih kuasa oleh pihak lain secara demokratik itu bukannya tindakan jenayah. Ibarat seorang lelaki yang gilakan perempuan, tentulah ada perempuan yang mereka gilakan. Tetapi pihak kita tidak ada perempuan, bagaimana kita pula dituduh gila perempuan.

Kerana terlalu takut menghadapi rakyat maka Dewan Undangan Negeri Sembilan sekarang telah terbubar secara sendiri. Tidak pernah kejadian seperti ini berlaku dalam ingatan kita kepada sejarah negara merdeka kita ini. Ketakutan ini merupakan bayangan yang UMNO sendiri sudah hilang keyakinan diri. Jika parti itu sudah hilang keyakinan diri maka secara sedar atau tidak, rakyat akan hilang bersama keyakinan itu.

Kalau begitu adalah molek jika UMNO memberikan sahaja kuasa kepada pihak Pakatan Rakyat dan mintalah sedikit tempat dalam kerajaan baru itu jika ia dipersetujui oleh pihak Pakatan Rakyat. Jika UMNO melalui juga pilihanraya, maka yang sudah hampir pasti ialah kekalahan teruk UMNO di tangan rakyat kerana rakyat sudah mewakilkan PR untuk menerajui kerajaan bagi pihak mereka.

UMNO tidak boleh menentang kehendak rakyat. Daripada berperang politik dengan rakyat elok jika UMNO ikut sahaja kehendak rakyat, ‘and swim with the flow’. UMNO perlu merehatkan diri buat sementara waktu bagi memperbaiki diri mereka dengan melakukan introspeksi yang mendalam terhadap kelemahan dan kesalahan mereka selama ini.

Hakikatnya UMNO sedang berlawanan dengan rakyat seperti yang saya sebutkan tadi. Rakyat kini meletakkan calon-calonnya melalui parti-parti dalam Pakatan Rakyat: PAS, DAP dan PKR. Ketiga-tiga parti ini adalah parti-parti yang mewakili rakyat untuk berhadapan dengan UMNO dan BN. UMNO pula dipertahankan oleh kroni-kroni dan ‘warlords-warlords’ yang besar-besar untuk menjaga kepentingan mereka sendiri.

Itulah sebabnya jika ada syarikat-syarikat yang melaksanakan perniagaan yang melibatkan rakyat, syarikat-syarikat ini perlu mempertimbangkan untuk bersama dengan rakyat yang diwakili oleh Pakatan Rakyat. Syarikat air, Syabas misalnya, wajar memberikan pertimbangan yang secepatnya tawaran kerajaan Negeri Selangor untuk membelinya. Tidak usah menjadikan tawaran kerajaan Selangor itu dijadikan isu politik. Ambillah tawaran kerajaan Selangor itu berpremiskan kepada keputusan perniagaan yang ‘prudent’ dan 'professional'.

Tidak ada apa-apa yang diharapkan kepada Putrajaya hari ini kerana Putrajaya jika diizinkan Tuhan akan berpindah tangan selepas pilihanraya jika pilihanraya itu dilaksanakan di atas ‘level playing ground’. Peralihan kuasa ini bukan tindakan jenayah. Ia adalah tindakan demokrasi.

Rakyatlah yang berkuasa dan bukannya Najib atau pun Dr Mahathir. Oleh kerana rakyat nampak kecenderungan untuk memberikan mandat kepada pihak Pakatan Rakyat maka langsungkan sahaja niat itu dengan melaksanakan keputusan itu di dalam bilik mengundi nanti tanpa was-was.

Lakukanlah perubahanan tanpa was-was. Menolak BN itu bukannya jenayah dan ia tidak mencabut nyawa kita…‘It’s now or never’.

No comments:

Post a Comment