Friday, March 8, 2013

ASPAN ALIAS : NAJIB MASIH PERDANA MENTERI TIDAK DIPILIH RAKYAT



Pilihanraya umum tidak juga sampai sedangkan waktu tamatnya penggal ke12 ini sudah hampir ke penghujungnya.. Isu pencerobohan di Lahat Datu dan Semporna mungkin dijadikan sebagai isu yang menghalang pilihanraya tidak diadakan sampai ke penghujung penggal. Kita tidak nampak kenapa pilihanraya masih tidak nampak bayangnya akan tiba.


Kalau ada pun bayangnya ialah dengan melihat BN melakukan serangan terhadap pimpinan pembangkang dengan tidak beretika dengan sumpah seranah yang dibawa oleh media perdana setiap malam. Najib yang bercakap besar itu tetap dan masih seorang Perdana Menteri yang tidak dipilih rakyat.

Dalam isu Lahat Datu dan Semporna ini apa yang perlu di lakukan ialah untuk memberikan sepenuh kepercayaan kepada pasukan keselamatan, samada Polis mahu pun Angkatan Tentera Malaysia (ATM) atau pihak-pihak keselamatan yang lain. Kalaulah isu mempertahankan kawasan dan persempadanan kita di berikan pihak keselamatan untuk menyelesaikannya mengikut tata-cara yang sedia ada saya yakin isu ini telah selesai dengan lebih mudah lagi.

Jika masalah di Sabah itu berlarutan pasukan keselamatan tetap akan menjalankan tanggungjawab mereka terhadap negara walaupun siapa yang memerintah negara kita selepas pilihanraya nanti. Angkatan Tentera, Polis dan yang lain-lain itu adalah penjawat awam yang ‘professional’ dan tugasnya ialah untuk memberikan khidmat kepada ‘government of the day’ tidak kira Pakatan Rakyat atau BN yang memerintah.

Tetapi oleh kerana ada pertimbangan-pertimbangan politik dan mungkin pertimbangan kewangan maka ‘professionalism’ yang ada kepada pasukan keselamatan kita mungkin telah terganggu dan membawa ‘stand off’ itu berlarutan sehingga hampir tiga minggu lamanya. Apa yang di rundingkan oleh kerajaan dengan penceroboh itu Tuhan sahaja yang tahu. Bagi UMNO dan BN pilihanraya mesti di adakan secepat yang mungkin kerana yang patut berlalu itu biarkan ianya berlalu dan yang mendatang tetap kita laksanakan mengikut kehendak sebuah negara demokrasi yang sudah sepatutnya masuk ke zaman dewasanya.

Kita mesti faham yang kemerdekaan selama lebih dari lima dekad itu sudah sepatutnya melepasi tahap yang tinggi etika nya dan tidak seperti apa yang kita lihat pada hari ini. Hari ini demokrasi itu membolehkan sesiapa yang berkuasa melakukan apa yang mereka suka tanpa mengambil kira perasaan dan kemahuan rakyat. Jika benar yang rakyat mahukan perubahan pimpinan adalah berwajib bagi kerajaan memberikan apa yang dikehendaki oleh rakyat sekarang, iaitu kesempatan membuang undi bagi melepaskan manifestasi mereka melalui peti undi secara demokrasi sebenarnya.

UMNO mungkin mengalihkan pandangan rakyat buat sementara waktu dengan menggunakan isu Lahat Datu sebagai alasan untuk penangguhan pilihanraya itu. Penangguhan itu tidak memungkinkan UMNO boleh melekakan rakyat dengan isu itu kerana apabila sampai waktunya keputusannya tetap sama. Dalam situasi sekarang ini, semangat rakyat yang sedang dalam penantian untuk perubahan itu sudah tidak dapat di sorokkan lagi.

Isu Lahat Datu itu biarkan pasukan keselamatan kita mengendalikannya. Kita mesti ingat yang negara kita adalah satu-satunya negara yang telah berjaya memerangi peperangan gerila dan tidak di alami oleh negara lain termasuk Amerika Syarikat. Kuasa besar AS telah terpaksa mengundurkan tenteranya dari Vietnam kerana kekalahan dalam peperangan gerila itu di sana.

Sebaliknya Malaysia merupakan satu-satunya negara yang telah berjaya menumpaskan kumpulan gerila semasa zaman negara kita diancam oleh pengganas komunis yang menggunakan tektik peperangan gerila terhadap kerajaan kita dahulu. Bagi saya, kita tidak perlu merasa curiga dengan kemampuan pasukan keselamatan kita dalam menghadapi tektik gerila yang di lakukan oleh pengganas Sulu ini terhadap kita. Tetapi hanya satu persoalan yang menjadi tanda-tanya kita, iaitu kenapa di negara kita terutamanya ATM tidak ada lagi wujudnya pasukan yang mahir dalam peperangan gerila ini?

Berlakunya insiden di Sabah ini memungkinkan UMNO itu bertambah hilang keyakinan rakyat terhadapnya, tetapi waktu pilihanraya sampai ia mesti dilaksanakan. Kita tidak ada masa lagi untuk bermain-main dengan perasaan dan kehendak rakyat ini. Jika pilihanraya diadakan dua tahun dahulu seperti yang di war-warkan oleh pihak BN kejadian di Sabah ini tentunya berlaku jauh lebih lama selepas pilihanraya itu.

Tetapi dengan penangguhan ini UMNO tidak dapat memberikan alasan lain selain dari takut kepada kekalahan. UMNO menangguhkan pilihanraya ini untuk mencari jalan dapat membetulkan persepsi rakyat sementara penggal parlimen itu masih ada. Tetapi hasilnya sudah terbalik. Lebih lama ditangguhkan lebih besar masalah yang datang menimpa parti pemerintah kita.

UMNO mesti menerima hakikat kemungkinan parti menghadap kekalahan kali ini adalah besar tetapi ia tidak boleh mencari alasan yang munasabah lagi untuk menangguhkan pilihanraya ini.

Apa pun keputusannya UMNO perlu redha menerimanya. Jika sampai waktu berehat di petak pembangkang, berehatlah sampai rakyat kembali memberikan keyakinan terhadap mereka. Sementara itu biarlah rakyat memilih pihak yang lebih meyakinkan dahulu.

Rakyat sudah tidak sabar untuk keluar mengundi sekarang ini. Sekarang ini rakyat sudah memahami yang kuasa itu adalah kuasa mereka bukannya kuasa UMNO untuk memilih sesiapa, kerana UMNO itu sendiri adalah parti yang bersama-sama menawarkan diri untuk dipilih semula jika mereka (UMNO) masih laku di pandangan mata rakyat.

Kalau benar UMNO itu sudah kembali kuat seperti yang di katakan oleh Najib dan seluruh kepimpinan UMNO itu, tidak ada sebab penangguhan ini berlarutan tanpa penghujungnya. Bubarkan sahaja Parlimen dan semua Dewan Legislatif negeri-negeri, rakyat tahulah untuk memilih siapa untuk dimandatkan memerintah penggal ini.

Baik buruknya biar rakyat menjadi penentu.

No comments:

Post a Comment