Thursday, February 14, 2013

NAJIB PENING LAGI, “ARE YOU READY FOR ELECTION?”



Oleh : Suhaimi A, Harakahdaily

Di zaman pak menteri sebelum Najib Razak, kebiasaannya parlimen akan dibubar tidak sampai lima tahun dan sudah semestinya rakyat tidak tertunggu-tunggu bagi memangkah calon pilihan. Namun begitu, sejak kebelakangan ini isu tarikh pilihan raya dan pembubaran parlimen seolah menjadi isu dan sentimen bagi rakyat terutamanya yang “berniat” untuk ubah kerajaan serta menyingkirkan United Malays National Organization.


Seperti biasa saya menikmati secangkir kopi di waktu pagi dan membaca beberapa laman portal, saya berasa sangat terkejut apabila membaca kenyataan Najib Razak yang menegaskan bahawa parlimen hanya akan dibubar apabila semua pihak termasuk rakyat sudah bersiap-sedia.

Selain itu, saya begitu terkejut dengan kenyataan ‘poyo’ Najib yang jelas menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional sedang menanggung kesakitan atas desakan rakyat yang mahukan perubahan. Najib mengingatkan bahawa dalam pilihan raya, satu undi untuk BN, satu bagi menyokong tranformasi dan satu lagi bagi memastikan kestabilan dan keamanan negara. Saya melihat kenyataan anakanda Tun Abdul Razak ini sebagai petanda bahawa kerajaan Barisan Nasional benar-benar ketandusan idea. Oleh sebab itu, mereka hanya bermain dengan sentimen lama.

Jika pembaca teliti dalam membaca sejarah, di zaman Dr. Mahathir Mohamad dahulu rakyat begitu cepat termakan dengan dakyah dan sentimen keamanan serta perpaduan Melayu. Ketika itu wujud budaya takut atau “culture of fear” yang menghalang rakyat daripada mengkritik atau menyuarakan pendapat atas apa yang berlaku. Ketika itu rakyat seolah tidak dibenarkan langsung menyuarakan pendapat yang tidak selaras dengan gagasan kerajaan. Media dikawal ketat oleh undang-undang, pergerakan rakyat juga terbatas.

Justeru, saya ingin mengingatkan kepada Najib Razak dan rakan-rakan supaya bercakap dan bertindak dengan lebih bijak kerana ketika ini budaya membaca dan mengambil tahu sudah semakin meluas terutamanya kepada anak muda. Usah bermain dengan sentimen tipikal yang hanya menimbulkan rasa amarah rakyat.

 Dari apa yang berlaku saya pasti bahawa rakyat dapat membaca pihak mana yang sebenarnya belum bersedia dalam menghadapi pilihan raya. United Malays National Organization dan sukunya di dalam Barisan Nasional makin terdesak.

 Rakyat tuntut disegerakan pembubaran parlimen!
 Are you ready for election?

No comments:

Post a Comment