Saturday, February 16, 2013

DEMOKRASI: MONGOLIA LEBIH BAIK DARIPADA MALAYSIA



KUALA LUMPUR: Politik samseng menggambarkan lagi demokrasi tempang di Malaysia walhal ianya bukan perkara yang baru di negara kita.

 Sejarah politik samseng termaktub utuh yang diukir dalam sejarah oleh Pemuda Umno Tahan Lasak pada era 60-an yang menggemparkan seluruh negara dan mengakibatkan implikasi negatif terhadap senario politik tanah air.


 “Terbarunya, seluruh mahasiswa merasakan sangat kecewa dan mengutuk tindakan samseng dan ganas ke atas aktivis-aktivis Gempur Mahasiswa 13 (GM13) di Parlimen Pekan,” kata Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Negeri Pahang, Ahmad Fatihi Makhtar.

 Beliau dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan Indeks Demokrasi 2011 keluaran The Economist, Malaysia berada di kedudukan ke-71 daripada ke-167 negara yang dikaji.

 Kedudukan itu, ujarnya sama dengan tahun 2010, selepas jatuh daripada kedudukan ke-68 pada tahun 2008 dengan pengurangan mata daripada 6.36 kepada 6.19.

 Ini, tambahnya menempatkan Malaysia di kalangan negara yang dikategorikan sebagai tempang demokrasinya, bersama sejumlah negara lain bermula daripada kedudukan ke-26 hingga ke-78, antaranya Israel (36), Sri Lanka (57), Mongolia (69) dan Ghana (78).

 Menurutnya, dari kalangan negara Asia Tenggara, hanya Thailand dan Indonesia berkedudukan lebih baik, iaitu di tempat ke-58 dan ke-60.

 Beliau menambah, rakyat Malaysia telah dihantui oleh media perdana bahawa sekiranya Pakatan Rakyat (PR) kalah dalam PRU-13, maka seluruh negara akan huru-hara dan berlaku rusuhan.

 Walau bagaimanapun, ujarnya berdasarkan pengalaman pilihan raya umum yang sudah berlangsung sebanyak 12 kali, sudah terbukti bahawa parti-parti komponen dalam PR dapat menerima kekalahan dalam suasana harmonis dan sikap yang terbuka.

“Pengalaman mengajar kita untuk mengenali sosok tubuh BN apabila di saat kekalahan, seperti komplot terancang menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat di Negeri Perak yang dilantik secara sah pada 2009,” katanya.

Selain daripada itu, kata beliau sejarah hitam politik tanah air pada tahun 1978 di Negeri Kelantan yang mana kelantan diisytihar darurat di bawah Mageran seterusnya berlaku Pilihan Raya Negeri dan Umno berjaya merampas Kelantan.

Oleh itu, ujarnya sekiranya PR menang dalam PRU13, seluruh mahasiswa bimbang dengan asuhan politik samseng dan ganas yang telah dididik dalam ahli Umno sejak zaman berzaman, antara cabaran awal yang perlu diselesaikan oleh kerajaan PR adalah kekacauan dan gangguan yang akan digerakkan oleh samseng politik jalanan yang tidak mampu menerima kekalahan dan sudah sinonim dengan mencabul prinsip dan hak demokrasi.

Justeru, tegasnya rakyat Malaysia perlu bersepakat dan berpadu untuk meyuburkan suasana demokrasi yang adil di Malaysia.

 Munurutnya lagi, menutup saluran untuk mendapat hak demokrasi yang adil boleh diibaratkan seperti bom jangka yang boleh meledak dan meletus pada bila-bila masa.

 “Rakyat Malaysia perlu menolak politik samseng agar suasana dan proses pilihan raya demokrasi di negara kita berlangsung dalam semangat keadilan dan cintakan negara,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment