Thursday, December 6, 2012

UMNO TIDAK BERMORAL, RENDAH PULA AKHLAKNYA



Oleh : Aspan Alias

Apa yang sedang dikatakan oleh Tan Sri Musa Hasan akhir-akhir ini merupakan ‘consequence’ yang amat buruk hasil dari pencerobohan pihak ‘executive’ terhadap badan-badan bebas seperti Badan Kehakiman dan Perundangan serta ‘Badan Legislative’ yang mula dilakukan oleh pentadbiran Dr Mahathir dan Dr Mahathir itu sendiri. Walaupun ramai yang menentang tindakan Dr Mahathir mencemari badan-badan bebas negara semasa itu, tetapi mereka ini tidak dipedulikan kerana ketamakan kuasa dan tidak mahu tunduk kepada sistem demokrasi negara.


Pihak kerajaan pimpinan Mahathir semasa itu amat jelas tidak berakhlak dengan memecat Ketua Hakim Negara dan empat Hakim Mahkamah Agong semasa itu. Ini semua adalah kerana tekanan Dr Mahathir terhadap Badan Kehakiman Negara khususnya terhadap Tun Salleh Abas semasa Mahkamah Agong bersedia untuk menghakimi tuntutan ahli-ahli UMNO (asal) untuk menghidupkan UMNO yang telah dibunuh oleh Dr Mahathir.

Kalau dikaji dari mana sudut kehakiman sekali pun, UMNO asal akan hidup, dan inilah yang tidak di gemari oleh Dr Mahathir. Mahathir mahukan UMNO asal itu mati terus dan tidak mahu melaksanakan penghakiman Mahkamah Tinggi yang memutuskan untuk di adakan sekali lagi pemilihan UMNO kerana dalam pemilihan sebelumnya itu tidak sah kerana wujudnya beberapa orang yang tidak layak mengundi dan menjadi perwakilan UMNO ke Perhimpunan Agung 1987.

Dr Mahathir tidak mahu pemilihan itu di adakan sekali lagi kerana takut dengan keputusan pemilihan yang demokratik dalam UMNO semasa itu. Dr Mahathir terpaksa menggunakan peguam, Sri Ram, untuk mengharamkan UMNO di Mahkamah Tinggi kerana Dr Mahathir mahu UMNO terus mati dan beliau terus menjadi Perdana Menteri walaupun jawatan yang beliau pegang itu sudah tidak lagi ‘legitimate’.

Untuk memenuhi kehendak dan nafsu beliau itu cara yang terbaik ialah dengan mengharamkan UMNO dan menubuhkan sebuah parti baru yang di beri nama UMNO (baru). Badan Executive pimpinan Mahathir telah menceroboh badan kehakiman dengan meminta Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas untuk duduk membuat penghakiman dengan hanya tiga Hakim Mahkamah Agong. Mahathir mahukan Tun Salleh sebagai Ketua Hakim Negara bersama dua orang Hakim yang Mahathir boleh pengaruhi duduk untuk menghakimkan tuntutan ahli-ahli UMNO untuk menghidupkan UMNO yang telah terbatal pendaftarannya itu.

Apabila Tun Salleh tetap dengan pendirian untuk semua kesembilan hakim-hakim Mahkamah Agong untuk duduk bersama menghakimkan tuntutan itu kerana isu ini merupakan isu yang amat besar bagi orang melayu dan rakyat Malaysia amnya. Tetapi Dr Mahathir tidak gemar dengan tindakan Ketua Hakim Negara itu kerana Mahathir begitu ‘desperate’ untuk mempertahankan jawatan Perdana Menteri yang beliau pegang itu. Dr Mahathir mahu semua pihak tunduk kepada beliau kerana beliau begitu terdesak dan akan kehilangan kerusi PM itu jika demokrasi terlaksana secara telus.

Dr Mahathir sudah hilang pertimbangan dan tidak mahu lagi institusi demokrasi menghalang niat beliau untuk berkuasa mengikut kehendak hati beliau. Beliau secara peribadi telah memanggil Tun Salleh Abas dan bertanyakan samada Ketua Hakim itu mahu bersara. Tun Salleh tidak berganjak kerana Hakim-Hakim mempunyai umur persaraan dalam usia 65 tahun sedangkan beliau semasa itu baru berumur 59 tahun.

Tun Salleh memberitahu yang beliau mengetuai Badan Kehakiman yang bebas dari campurtangan ‘Executive’ termasuk Perdana Menteri. Sesungguhnya Tun Salleh akan hanya boleh berhentikan jika ‘brother judges’ melakukannya. Cara kedua untuk memberhentikan Ketua Hakim ialah dengan menubuhkan tribunal yang di titahkan oleh Yang di Pertuan Agong.

Tribunal untuk membicara Tun Salleh ditubuhkan oleh Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dengan tergesa-gesa dan lucunya cara penubuhannya tetap menjadi ingatan kepada semua yang mengikuti isu itu dengan cara yang lebih dekat. Tribunal itu telah di tubuhkan dalam satu hari dan dengan pantas.

Nasihat PM kepada Tuanku Agong di buat pada 1hb Mei 1988  dan persetujuan YDP Agong juga di dapati pada 1hb Mei. Perlantikan hakim Mahkamah Tinggi Sri Lanka dan Singapura di buat pada 1hb Mei dan jawapan persetujuan mereka pun pada hari yang sama. Yang lebih lucu dan menyedihkan 1hb Mei itu adalah hari buruh dan cuti umum dan hari minggu pula. Semuanya ini adalah tindakan ‘desperate’ pimpinan semasa itu untuk bergayut kepada kuasa yang hampir terlepas itu.

Insiden ini merupakan titik hitam dalam sejarah negara kerana pada saat itulah bermulanya Badan Kehakiman di cerobohi dan di takluk oleh pihak ‘executive’ yang di ketuai oleh Dr Mahathir Mohammad. Dari saat itulah semua badan-badan bebas demokrasi dikuasai oleh Perdana Menteri dan semua sistem demokrasi terkubur dan tidak lagi bebas untuk melaksanakan tugas dengan betul.

Dari saat itu juga lah badan kepolisian negara tercemar serta badan perundangan seperti Jabatan Peguam Negara tidak lagi bebas untuk melaksanakan tugas dengan betul  Apabila sesuatu badan bebas yang mempunyai tanggungjawab terhadap negara sudah tidak bebas lagi, maka politik sahaja lah yang menentukan segala-galanya.

Kecacatan sistem demokrasi kita ini telah rosak sehingga ke hari ini dan tidak mungkin boleh di perbetulkan oleh parti atau kepimpinan kerajaan yang telah mencemarinya iaitu UMNO dan Barisan Nasional. Kenyataan-kenyataan Tan Sri Musa Hasan itu adalah sebahagian yang sangat kecil dari apa yang sebenarnya dilakukan oleh pimpinan kerajaan yang tidak henti-henti mencemari tugas Ketua Polis Negara dan Peguam Negara misalnya.

Segala tindakan ‘professional’ telah di ambilalih oleh tindakan politik di mana-mana dan jika pimpinan politik itu gila, ia bermakna kita dipimpin oleh orang-orang gila. Hasil dari pencerobohan inilah yang telah menjadikan segala-galanya tidak betul lagi termasuk politik yang kini menjadi aktiviti ganas yang dilakukan oleh penyokong pihak kerajaan yang sudah di benci rakyat dan akan ditumbangkan oleh rakyat juga dalam pilihanraya yang akan datang ini.

Jika kita pertimbangkan secara halus kita sudah boleh membuat pertimbangan yang ‘conclusive’ Dr Mahathir bukanlah seorang PM yang ‘legitimate’ dan tidak bermoral. Mengekalkan Dr Mahathir semasa itu amat mahal harganya sehinggakan semua sistem demokrasi kita telah punah ranah.

Keadaan ini lebih teruk lagi kerana pimpinan yang mewarisi kepimpinan Mahathir telah terikut-ikut dengan budaya dan sistem Mahathir dalam mentadbir negara. Mereka yang mewarisi Dr Mahathir telah melakukan perkara yang lebih teruk lagi kerana sistem Mahathir itu telah menjadi ikutan pimpinan yang mengambilalih darinya (Mahathir). Pendeknya memang tepat kata-kata perbidalan’jika bapa kencing berdiri anak-anak pula kencing berlari’. Mahathir yang kencing berdiri, Pak Lah dan Najib juga  kencing berlari. Jika Muhyiddin mengambilalih Najib sekarang seperti yang dihajati Dr Mahathir mungkin Muhyiddin akan kencing sambil menonggeng.

Kenyataan Musa Hasan wajar di dengar dengan baik kerana beliau mempunyai hak untuk membela diri dari tohmahan pimpinan UMNO terhadap beliau sedangkan apa yang berlaku semasa beliau dalam perkhidmatan sehingga hari ini ialah UMNO dan pimpinnya sendiri.

Musa Hasan wajar membuat kenyataan-kenyataan dari masa ke semasa dengan membongkar segala apa yang berlaku dan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri. Kenyataan Musa itu nanti akan menjadi kenyataan yang membantu usaha ramai untuk mengetahui segala-gala yang berlaku di belakang tabir dan ia akan ditambah pula dengan kenyataan Deepak yang akhir-akhir ini telah membongkar isu Altantuya dan lain-lain yang berkaitan dan yang menghangatkan itu.

Pendeknya tidak ada lagi yang betul dalam UMNO dan BN sekarang ini. Jika mereka benar, masakan apa yang kita lihat dan dengar itu boleh berlaku di hadapan mata dan kepala kita.

No comments:

Post a Comment