Friday, December 7, 2012

SKANDAL TANAH: UMNO SELANGOR SALAHKAN SAMA SENDIRI



Perdana Menteri Najib Razak disaran agar memberhentikan usaha menyedihkan oleh pemimpin UMNO Selangor untuk cuci tangan daripada terpalit skandal pemilikan tanah ketika memerintah di negeri itu.


“Adalah sangat kelakar untuk melihat bagaimana pemimpin UMNO Selangor kelam kabut untuk tidak bertanggungjawab terhadap peranan mereka dalam skandal tanah Selangor,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dalam kenyataan medianya hari ini.

Selasa lalu pihaknya membongkar bagaimana sebidang tanah seluas 87,188 kaki persegi di Ara Damansara telah ‘diberi’ kepada UMNO Subang pada harga yang teramat murah pada tahun 2004. Tanah itu kini dibangunkan menjadi kondominium Suria Damansara yang dianggar bernilai RM90 juta.

Pada sidang DUN Selangor baru-baru ini, wakil daripada UMNO dan MCA, Abdul Shukor Idrus dan Wong Koon Mun menyatakan bahawa tanah yang mereka dapat adalah untuk kegunaan rakyat termasuk pembinaan tadika dan dewan orang ramai.

“Apabila mereka tertangkap, pemimpin UMNO kini lintang pukang menafikan pembabitan mereka dalam skandal tanah terbabit dan menyalahkan pemimpin lain,” ujar Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP.

Seolah permainan bola sepak, pemimpin UMNO Selangor didapati menyalahkan satu sama lain. Ketua Bahagian UMNO Subang, Muhammad Bushro Mat Johor berkata, UMNO Subang tidak memiliki tanah dan memetik nama ketua bahagian dahulu, Datuk Mokhtar Dahlan yang seterusnya memindahkan soalan itu kepada UMNO Kelana Jaya pimpinan Yahya Bujang.

Malangnya Yahya Bujang berada di luar negara dan tidak dapat dihubungi.

Namun pada masa yang sama Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Satim Diman berkata,  beliau tidak tahu menahu mengenai tanah itu dan merujuk pula kepada Setiausaha UMNO Selangor, Datuk Mohd Zin Mohamed yang berkata beliau memerlukan masa untuk memberi respon sementara stafnya melakukan kaji selidik.

Bagi Tony, adalah amat mengecewakan untuk warga Selangor apabila Perdana Menteri, Najib Razak yang juga Ketua Perhubungan UMNO Selangor terus berdiam diri walaupun berkeras bahawa kononnya UMNO sudah berubah.

“Datuk Seri Najib Razak sebagai Ketua Perhubungan UMNO Selangor mesti menjelaskan skandal tanah itu dan menerima tanggungjawab ke atas semua dosa-dosa UMNO,” ujar beliau. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment