Saturday, December 8, 2012

PARTI GERAKAN MEMBIDAS DAP KERANA BERLAKU ADIL KEPADA ISLAM



Oleh : Aspan Alias

Dua Hari lepas Teng Chang Yeow, Pengerusi BN P Pinang, menunjukkan sifat rasis Gerakan. Teng telah memainkan isu kaum dan agama yang sangat sempit semata-mata kerana politik sempit BN P Pinang. Kali ini BN sekali lagi menunjukkan sikap bermuka-muka mereka dengan membidas Lim Guan Eng kerana memberikan peruntukan 300% kepada Hal Ehwal Agama Islam di negeri itu. Dalam pada itu komponen terbesar BN, UMNO pula telah bercakap bergegar-gegar dalam perhimpunan parti itu minggu lepas dengan cuba menonjolkan yang UMNO memperjuangkan Islam dengan serius.


‘Satu undi untuk PAS, adalah satu undi untuk kehancuran Islam’ kata Presiden nya, Najib yang akhir-akhir ini cuba melekatkan imej Islam kepada diri beliau sendiri. Kalau benar Najib dan UMNO itu kuat memperjuangkan Islam, Presiden parti itu sepatutnya membuat kenyataan akhbar untuk memberikan pujian terhadap Lim Guan Eng (LGE)  kerana peruntukan yang besar untuk kegiatan agama beliau itu. Najib sepatutnya membidas Teng Chang Yeow kerana membantutkan usaha meyakinkan rakyat bahawa BN itu memperjuangkan Islam seperti yang termaktub di dalam Bab 3 Perlembagaan UMNO itu.

BN dan UMNO nampaknya hanya beretorik tentang Islam ini, sebaliknya DAP pula membantu PAS dalam memperkemaskan isu Islam dalam perjuangan Pakatan Rakyat. UMNO hanya sarat dengan slogan. Dulu UMNO berslogan ‘bersih, cekap dan amanah’ tetapi tidak di laksanakan, tetapi DAP pula yang melaksanakan slogan itu dengan mentadbir P Pinang dengan bersih, cekap dan amanah. Begitu juga di Selangor, Kedah dan Kelantan: apa yang di slogankan UMNO, itulah yang dilaksanakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Kadangkala ada juga baiknya BN ini. Itu sebabnya saya pernah mencadangkan supaya BN duduk di pihak pembangkang dan tugas mereka hanya mencipta slogan-slogan yang besar-besar. Biar PR memimpin dan mentadbir kerajaan dan melaksanakan semua slogan ciptaan  BN itu. BN tidak pernah menjayakan apa-apa slogan laungannya.

Berbalik kepada kenyataan terang Teng Chang Yeow di Pulau Pinang itu, kita ingin melihat dan mendengar reaksi UMNO Pulau Pinang khususnya dari Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Perhubungan negeri itu yang sentiasa menuduh DAP anti Islam dan anti Melayu itu.  Apakah jumlahnya peruntukkan bagi Hal Ehwal Agama Islam di negeri itu semasa BN/Gerakan memimpin negeri itu sejak merdeka selama 55 tahun dahulu? Semasa tahun akhir pentadbiran BN di P Pinang peruntukan bagi Hal Ehwal Islam di P Pinang hanyalah RM12 juta sahaja berbanding dengan RM64 juta sekarang ini.

Kita tidak tahu, yang mana satu yang betul kerana lain parti dalam BN ini lain perjuangannya. Selama ini yang kita tahu dengan pimpinan UMNO dan BN menuduh Pakatan Rakyat yang tidak sealiran dalam perjuangan parti-parti komponennya. Sekarang ini elok kita minta pimpinan BN duduk di atas satu pentas  Kita hendak juga mendengar apa kata Chua Soi Lek dari MCA, Teng Chang Yeow dari Gerakan serta parti-parti komponen yang lain di P Pinang itu.

Dengan kenyataan Pengerusi BN P Pinang itu, kita yakin yang sebenarnya bercanggah perjuangan ialah parti-parti dalam BN itu. Oleh kerana kelemahan setiap parti dalam BN itu maka keluar lah kenyataan yang membingungkan yang susah untuk di fahami rakyat.

Justeru kita tidak nampak bagaimana BN boleh diyakini oleh rakyat di P Pinang khususnya orang-orang Melayu yang beragama Islam di sana. Tidak ada penyatuan matlamat dalam perjuangan BN itu. BN gagal untuk menampilkan pendirian yang satu di antara parti-parti komponennya.  Mereka sedang dalam keadaan lemah dan tidak akan dapat menyelesaikan krisis keyakinan yang sedang mereka hadapi.

Sesungguhnya UMNO dan BN tidak mempunyai apa-apa lagi. Yang ada hanyalah saki-baki kuasa yang masih ada kepada mereka dan dalam penantian untuk menghadapi kekalahan buat kali pertama dalam sejarah kemerdekaan kita.

No comments:

Post a Comment