Friday, December 14, 2012

INDONESIA HANTAR MEMO BANTAHAN KEPADA NAJIB KERANA PENGHINAAN ZAINUDIN MAIDIN TERHADAP BJ HABIBIE



Isu Habibie: Indonesia hantar surat bantahan pada Najib

KUALA LUMPUR 13 Dis: Badan perundangan Indonesia – Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) bakal menghantar surat bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berikutan kenyataan bekas Menteri Umno, Zainudin Maidin menggelar bekas presiden mereka, B.J. Habibie sebagai ‘anjing imperialis’.

Menurut laporan akhbar bahasa Inggeris Indonesia, Jakarta Globe semalam, perwakilan MPR mengkritik dan bertegas di atas kenyataan Zainudin yang menurut mereka boleh mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua negara.


Speaker MPR, Pramono Anung dilaporkan berkata, bekas Menteri Penerangan itu perlu mengetahui kaedah berkomunikasi dengan baik dan penuh sopan.

Katanya, kenyataan sedemikian mungkin menjejaskan hubungan Kuala Lumpur-Jakarta.

“Kita akan hantar surat kepada Perdana Menteri Malaysia, kita membantah kenyataannya (Zainudin).

“Kita berharap tindakan tegas perlu diambil kepada beliau, kerana ia datang dari bekas Menteri Penerangan,” katanya dipetik.
Zainudin mengkritik Habibie yang memberi syarahan umum di Universiti Industri Selangor (Unisel) dalam Utusan Malaysia Isnin lalu, dengan memanggilnya sebagai ‘sombong’ dan menyamakan beliau dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum mengakhiri artikel tersebut dengan memanggil mereka ‘anjing imperialis’.

“Saya tak boleh bayangkan bagaimana terseksanya penonton (di Unisel) untuk mendengar seorang lelaki yang egonya tinggi, terutama selepas dia akhirnya mendapat peluang untuk bercakap di hadapan mereka yang dia anggap sebagai bodoh, selepas sekian lama rakyat Indonesia tidak mahu mendengar atau menghormatinya,” kata Zainudin pada rencananya di Utusan, menurut Jakarta Globe.

Sama membantah kenyataan Zainudin adalah Pengerusi parti pemerintah Indonesia – Parti Demokratik, Anas Urbaningrum.

“Bekas menteri dari Umno itu perlu diajar cara-cara untuk bersopan. Dia tidak harus mengheret mantan Presiden Habibie dalam persaingan politik mereka dengan menghinanya. Ini tidak patut berlaku,” kata Anas dipetik.



Menurut akhbar itu lagi, beliau menyeru pemerintah Indonesia untuk menuntut maaf dari Zainudin kepada Habibie ke atas penghinaannya.

Selasa lalu, Menteri Luar, Marty Natalegawa dilapor berkata, Jakarta tidak melayan tulisan tersebut dan menganggap ia cuma ‘perkara remeh’.

Marty dilapor menyifatkan kenyataan Zainudin adalah ‘gila’ dan tidak berminat untuk membaca rencana tersebut.

Katanya, kerajaan mempunyai banyak tugas berbanding memberi tumpuan kepada seorang bekas menteri dari Malaysia.

Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali semalam, mahu Zainudin mohon maaf atas penghinaannya ke atas Habibie dan Anwar, dan berkata, kenyataannya itu menambah ketegangan Malaysia-Indonesia.

Isu yang ditimbulkan Zainudin ini selepas Habibie memberi syarahan umum di Unisel pada 6 Disember lalu.

No comments:

Post a Comment