Saturday, November 3, 2012

PILIH SATU DARI DUA JENIS PERMUAFAKATAN: YANG HAK ATAU YANG BATHIL



Oleh : Aspan Alias

Saya selalu bercakap tentang memulakan perubahan dan menjadikan negara ini kembali kepada keadaan asalnya, iaitu sebuah negara yang mempunyai tahap politik, budaya kehidupan dan ‘ambience’ yang baru, maksud saya keadaan seperti yang pernah kita alami dahulu.


Kita mahukan politik ini menjadi hak rakyat semata-mata dan bukannya ditentukan serta dibentuk oleh pimpinan yang mewujudkan suasana yang tidak sihat dalam politik negara. Kita mahukan sebuah negara yang mana kita akan tidak henti-henti menaruh harapan dan semua pihak berusaha untuk mencapai sebuah negara yang bersatu padu di antara kaum, cara hidup dan agama yang berbilang-bilang.

Hakikatnya Tuhan telah menjadikan kita berkaum-kaum dan berbangsa-bangsa serta berlainan budaya hidup untuk mengenali di antara satu dengan yang lain dan seterusnya menghormati sesama rakyat yang berbilang bangsa dan cara hidupnya ini. Usaha awal sedang berlaku di mana rakyat melalui parti-parti politik mereka sekarang mula melakukan dan bermuafakat untuk mencapai matlamat yang baik, walaupun mereka ada perbezaan samada cara hidup dan kepercayaan serta bangsa-bangsa yang berbeza-beza.

Kita telah berjaya dengan permuafakatan di antara parti-parti di dalam BN dahulu, tetapi sekarang cara dan kaedah itu telah tidak lagi mampu untuk mengekalkan keadaan kesatuan di antara kaum kerana setiap parti masih lagi terikat dengan semangat perkauman yang tinggi dan ini amat merbahaya untuk generasi yang akan kita tinggalkan setelah kita tiada lagi di dunia ini.

Keadaan ini lebih meruncing lagi apabila pemimpin tidak lagi memimpin dengan cara kepimpinan yang dituntut oleh rakyat, yakni dengan mentadbir pentadbiran yang bersih dan tanpa rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Oleh kerana elemen kotor ini sudah menular dan rakyat sudah sedar tentang kekotoran pimpinan hari ini maka rakyat sudah mula meninggalkan pimpinan BN yang telah memerintah sebegitu lama. Oleh kerana UMNO telah menjadi teraju kepada pemerintahan yang begitu lama ini maka UMNOlah yang mendapat bahangnya dari penolakan rakyat yang kian hari kian jelas itu.

Parti kedua terbesar MCA juga telah terbukti dalam perjalanan yang deras kepada kehancurannya dan parti itu hanya tinggal terkontang-kanting dengan 15 kerusi di Dewan Lagislatif Persekutuan dan dijangka akan menghadapi zaman termalapnya selepas pilihanraya ini.

Dalam keadaan seperti ini kedua-dua parti UMNO yang sudah mula ditinggalkan oleh orang Melayu dan MCA yang sudah pun merasakan hidup sebagai parti yang yatim piatu sedang berusaha untuk mendapatkan kembali sokongan bangsa yang masing-masing pimpin. Walaupun pemimpin-pemimpin dari kedua-dua parti ini tahu yang umur dan usia mereka akan berakhir, mereka tetap melakukan apa yang boleh mereka lakukan untuk ‘survival’ parti masing-masing.

Oleh kerana mereka sudah begitu lemah maka mereka tidak ada pilihan selain dari melakukan usaha yang mungkar iaitu dengan meniupkan sentimen perkauman yang menebal serta mengaitkan agama di dalam permainan politik mereka. UMNO dengan isu perkauman Melayu yang menebal sekarang sedang berusaha untuk memenjarakan pemikiran orang Melayu kononnya jika UMNO ditolak Melayu akan hilang di dunia ini dan Islam akan hancur lebur beserta dengan Raja-Raja Melayunya sendiri.

MCA pula memainkan isu perkauman Cina yang jika PR memerintah orang Cina akan diperkudakan oleh PAS dan MCA sedang meniupkan perasaan benci terhadap Islam. MCA berkata jika PR memerintah orang-orang Cina akan menjadi hamba kepada Islam dan mereka akan dipotong tangan jika hudud dilaksanakan. Dalam keadaan terdesak MCA dalam Perhimpunan Agong tahunannya beberapa hari yang lepas, telah meningkatkan usaha untuk membenci Islam dan hukum-hukum hududnya.

Justeru dengan permainan politik perkauman dan sentimen agama yang dimainkan oleh UMNO dan MCA ini maka berlakulah ‘polarization’ kaum, agama yang menebal dan ini tidak akan mudah untuk diperbaiki jika mereka mendapat mandat lagi dalam pilihanraya ini.

Jika BN memerintah maka pihak kita pula boleh menuduh yang MCA akan memperkudakan UMNO kerana ia terbukti dengan jelas yang Najib sebagai pemimpin UMNO hanya membisu seribu bahasa apabila bangsa dan agamanya dipersenda dan dimusuhi oeh MCA. Dalam keadaan sekarang ini pun kita sedang melihat bagaimana angkuhnya MCA dan mereka (MCA) begitu bebas menghentam agama anutan rakannya di dalam BN tanpa mendapat reaksi tentangan dari rakan-rakan mereka di dalam UMNO. Mereka bermuafakat untuk melakukan apa sahaja waimma terhadap agamanya asalkan berjaya mengekalkan kuasa yang sedang mereka pegang pada masa ini.

Kita terpaksa membayar harga yang begitu tinggi jika BN masih mendapat kepercayaan rakyat dan apa yang kita pasti akan lihat ialah perpecahan dan pembelaan rakyat mengikut kaum dan ini akan menjejaskan usaha kita untuk bersatu di dalam sebuah negara yang aman damai di kalangan rakyat berbilang kaum ini.

Saya begitu asyik memerhatikan apa yang sedang berlaku sekarang ini di mana rakyat berbilang kaum bersatu dalam usaha melakukan perubahan ini. Dalam siri ceramah-ceramah yang saya lakukan di seluruh negara, saya amat berbesar hati melihat di hadapan saya ribuan yang datang itu adalah dari semua kaum yang tidak pernah kita lihat sebelum ini.

Inilah satu fenomena yang baik yang sedang kita lihat terbina dan sememangnya kelakuan buruk dari pimpinan BN yang memainkan isu perkauman itu juga ada hikmahnya. Hikmahnya ialah rakyat menunjukkan dengan jelas yang mereka boleh bersatu dan mampu bekerjasama di antara sesama rakyat walaupun berlainan keturunan dan agama kerana niat yang satu iaitu untuk kebaikan.

Kita tidak boleh gundah dan gulana hidup dalam masyarakat berbilang kaum ini kerana itu adalah pemberian dan anugerah Tuhan yang paling baik jika kita tahu untuk mengendalikan kehidupan walaupun berbeza dalam banyak perkara. Melakukan perkara dengan niat yang baik itu telah dapat memenuhi tuntutan Tuhan untuk kita bermuafakat baik-baik apabila kita hidup dalam masyarakat seperti masyarakat kita di negara kita ini.

Bermuafakat untuk melakukan kebaikan memang tuntutan agama kita. Yang dicegah oleh agama kita ialah bermuafakat untuk melakukan kejahatan. Kita dicegah untuk bermuafakat mempertahankan pemimpin yang rasuah misalnya. Kita dicegah untuk bermuafakat untuk mencuri dan menjahanamkan harta rakyat. Itulah sebabnya banyak negara-negara di dunia ini dijatuhkan oleh rakyat kerana pimpinan mereka bermuafakat dan bersekongkol di antara mereka yang tamak haloba untuk bersama-sama merompak dan melakukan kerja maksiat seperti rasuah dalam masa mereka memimpin.

Oleh itu rakyat di negara ini sedang memilih di antara mereka yang bermuafakat untuk bekerjasama dalam Pakatan Rakyat untuk membina satu kemuafakatan yang akhirnya membawa kepada apa yang dicita-citakan oleh rakyat, iaitu perpaduan nasional.

Usaha ini sedang ditentang oleh pihak yang bermuafakat untuk melakukan apa yang mereka telah lakukan selama ini, iaitu untuk bermuafakat dan bersatu untuk terus membina negara yang dikuasai oleh kroni-kroni yang berkepentingan peribadi bagi membina ‘empire’ kekayaan dengan memperkudakan parti-parti dalam BN pada masa ini.

Rakyat boleh memilih di antara pihak yang cuba untuk memperbaiki keadaan kita yang bernegara ini dengan kemuafakatan bagi membina kebaikan dengan pihak yang telah lama berpakat-pakat melakukan kejahilan dengan menggunakan parti serta kuasa yang ada kepada mereka sekarang untuk terus menguasai politik negara kita ini.

Dengan penguasaan politik itu mereka akan terus menggunakan politik itu untuk memperjudikan nasib bangsa dan generasi mereka yang akan datang dan kumpulan ini adalah kumpulan yang sudah kehilangan hidayah sama sekali.

No comments:

Post a Comment