Oleh : Aspan
Alias
Salah seorang Naib Presiden UMNO
Dato' Seri Dr Haji Ahmad Zahid Hamidi, berkata UMNO telah mengarahkan
perwakilan untuk menutup mulut dalam Perhimpunan Agong UMNO yang akan bermula
27hb November ini. Arahan ini bertujuan untuk perwakilan tidak menyentuh
pandangan isu yang berbeza memandangkan pilihanraya luar biasa akan mereka
hadapi tidak lama lagi. Perwakilan di arah untuk tidak menyentuh
perkara-perkara yang sensitif kerana ia boleh melemahkan parti dalam menghadapi
pilihanraya yang akan datang ini.
Presiden dan Timbalan Parti itu akan
bertemu dengan perwakilan sehari sebelum perhimpunan itu diadakan bagi
menentukan apa yang boleh dibincangkan dan setiap Perhubungan Negeri akan
menamakan siapa yang akan berucap dalam perhimpunan itu. Arahan ini adalah
arahan yang tidak pelik dalam UMNO dan saya berharap mana-mana parti dalam PR
tidak akan melakukan perkara yang dilakukan oleh UMNO itu. Apa maknanya
Perhimpunan Agong jika perwakilan tidak boleh bercakap apa yang mereka ingin
perkatakan untuk kebaikan parti.
Ini adalah budaya biasa dalam UMNO
kerana apa yang diucapkan oleh perwakilan itu telah di tentukan oleh pucuk
pimpinan. Dalam Perhimpunan Agong itu apa yang akan diucapkan sudah ditentukan
dan semasa perhimpunan itu perwakilan hanyalah di tugaskan untuk bertepuk
tangan dengan kuat sahaja. Selain dari itu perwakilan hanya membuat lawak
jenaka untuk hiburan murahan bagi pimpinan yang berada di atas pentas nanti.
Budaya ini wujud hanya setelah penubuhan
UMNO (B) pada tahun 1988 dahulu kerana pucuk pimpinan tidak gemar mendengar
rungutan ahli-ahli dan rakyat di akar umbi. Pucuk pimpinanan hanya suka
mendengar perkara yang baik-baik sahaja dan jika boleh mendapat pujian dari
perwakilan yang berucap dan di ikuti dengan tepukkan gemuruh dari perwakilan
yang menyelang-selikan ucapan dengan jenaka dan lawak yang mampu membuat
pimpinan di atas ketawa besar sambil mengangkat tangan kegembiraan..
Itulah sebabnya UMNO yang baru
berusia 24 tahun itu tidak berkembang kerana pemikiran ahli dan perwakilan
telah di penjara oleh pucuk pimpinan. Mereka (perwakilan) hanya di arah untuk
menyebut isu yang sedap-sedap sahaja. Perwakilan UMNO akan hanya di arah untuk
memberikan kutukkan dan cemuhan terhadap pimpinan PR seperti Anwar Ibrahim, Tok
Guru Nik Aziz, LGE, LKS dan lain-lain. Ini merupakan isu yang sudah dijangka
oleh orang ramai dan ia akan menjadi isu yang dianggap sudah basi dan
menjemukan.
Kita boleh menjangkakan yang Najib
akan berucap bergegar-gegar, sesuai dengan sifat seorang pemimpin yang pengecut
dan penakut. Selalunya sesiapa yang bercakap dengan gegaran retorik yang
besar-besar mereka ini adalah mereka yang terlalu banyak perkara yag hendak di
tutupi. Mereka ini adalah dari gulungan yang penakut, ibarat orang berjalan di
dalam gelap di kampung-kampung pedalaman. Di dalam gelap itu mereka selalunya
akan menyanyi sekuat hati dari lagu Ahmad Jais, lagu Mat Sentul sehinggalah
lagu P Ramlee dan semuanya itu untuk menghilangkan rasa takut dan ngeri mereka berada
di dalam gelap itu.
Tetapi dalam pada menyanyi lagu P
Ramlee itu, mereka juga merasakan seram sejuk di tubuh mereka kerana takutkan
kepercayaan tahayul tentang hantu dan sebagainya yang berkeliaran di dalam
gelap itu.. Begitulah juga yang sedang berlaku kepada Najib. Beliau akan
berucap bergegar-gegar dengan nada yang tinggi dan kuat untuk menyorokkan
perasaan takut beliau menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.
Berbalik kepada arahan menutup mulut
itu, ia melambangkan kelemahan yang banyak dalam UMNO itu. Mereka tidak
memahami bahawa perwakilan setiap tahun itu adalah untuk perwakilan
negeri-negeri menyampaikan masalah-masalah kepada pucuk pimpinan. Semasa
Mesyuarat Agong seperti inilah masa yang baik untuk meluahkan perasaan tentang
apa yang patut dan tidak patut dilakukan atau yang berlaku di dalam parti yang
uzur itu. Dalam Perhimpunan Agong itulah masa untuk melambakkan apa yang perlu
diketahui dan di rasakan oleh pucuk pimpinan secara bersama.
Kalau Ahmad Zahid mengarahkan
perwakilan untuk menutup mulut maka tidak salah jika orang ramai menganggapnya
sebagai mesyuarat agong orang-orang bisu sahaja. Ahmad Zahid mahukan agar
perwakilan hanya ‘buat tidak tahu sahaja’ tentang apa yang berlaku di dalam
UMNO. Ada telinga dengar, ada mata pandang dan jangan bercakap apa-apa. Kalau
bercakap itu merupakan kesalahan. Maka tidak salahlah apa yang saya katakan
selalu, dalam UMNO bercakap benar adalah satu kesalahan besar.
UMNO adalah sebuah parti dalam mana
ahli-ahlinya di didik untuk tunduk dan mengangguk sahaja dan di dalam
perhimpunan itu adalah tempat untuk mendengar lawak jenaka dan kita akan lihat
Utusan Malaysia menyiarkan gambar-gambar Najib dan Muhyiddin ketawa besar dan
akan di sertai oleh Khairy Jamaludin dan semua ahli-ahli Majlis Tertinggi parti
yang lain.
Inilah kejayaan UMNO yang terbesar,
iaitu memenjarakan pemikiran dan perasaan rakyat dan itulah sebabnya ada orang
Melayu menganggap UMNO itu lebih tinggi dari agama. Chua Soi Lek boleh
menghentam agama suci kita, tetapi jangan menghentam pucuk pimpinan tertinggi
UMNO. Siapa yang berani mengecam pemimpin mereka, yang mengecam itu akan tidak
mendapat kedudukan lagi di dalam parti dan kerajaan dan akan segera di
sisihkan.
UMNO lebih buruk kerjanya dari
penjajah British dahulu. Penjajah British dahulu mahukan orang Melayu untuk
mudah berpuas hati dan tidak diberikan peluang untuk memegang jawatan
besar-besar dalam kerajaan. UMNO pun begitu. Orang Melayu di didik untuk
sentiasa berterima kasih dengan bantuan gigi palsu, dan pemberian lembu dan
kerbau pawah kepada petani-petani kecil di kampung-kampung. Jika ada yang
bercakap dan mengkritik, UMNO akan mengungkit-ngungkit apa yang mereka telah
berikan walaupun pemberian itu hanyalah sebatang dua gigi palsu.
Jangan mengkitik UMNO kerana UMNO
lah yang membawa api letrik ke kampung-kampung dan UMNO jugalah yang
menyalurkan air paip ke rumah-rumah rakyat. Tetapi UMNO tidak pula memberi tahu
yang semua negara dalam dunia ada api letrik dan bekalan air bersih walaupun di
negara-negara tersebut tidak ada parti UMNO. Di Amerika Syarikat (AS) tidak ada
parti UMNO. Begitu jugalah di Jepun dan di Britain tidak ada UMNO tetapi mereka
ada bekalan air yang lebih baik dari yang ada di negara ini DAN rakyat mereka
menggilir-gilirkan parti-parti yang memerintah mereka.
Maksudnya itu adalah tanggungjawab
setiap pihak yang dimandatkan oleh rakyat dengan menggunakan sumber kewangan
dari rakyat untuk melaksanakan semua projek pembangunan negara. Mereka itu
sendiri di bayar gaji dan elaun untuk mentadbir rakyat dan tidak munasabah
rakyat pula yang perlu berterima kasih kepada UMNO.
Kepada UMNO kita ucapkan selamat
bersidang dan kepada para perwakilan yang berucap sediakan beberapa lawak
jenaka untuk hiburan pimpinan di atas pentas itu nanti.
sila tontotn vedio klip ini dan fikirlah sendiri....
ReplyDeletehttp://www.youtube.com/watch?feature=player_detailpage&v=3a8aSGQMkms