Wednesday, October 24, 2012

MENGAPA PERANCIS BERSUNGGUH DENGAN SKANDAL KAPAL SELAM?



Oleh :Pak Subky Latif

Jika Suaram bersungguh-sungguh memanjangkan kes skandal pembelian dua kapal selam dari Perancis dapat difahami mereka tidak rela rakyat dan Malaysia dipelekuh oleh penyangak berbaju pemimpin.

Sebagai pembayar cukai, mereka tidak mahu duit mereka dirompak dan mereka mahu negara dan duit negara yang juga duit mereka diurus dengan baik. Binasa negara dan rakyat termasuk mereka jika negara ditadbir oleh orang yang mereka percaya sang penyangak.

Itu hak mereka yang dijamin oleh perlembagaan.

Tetapi puak-puak Perancis, terutama pengamal undang-undang seperti peguam dan pengendali mahkamah, mengapa pula beria-ia memproses aduan yang dikemukakan oleh Suaram?

Dalam apa yang dirasakan skandal ini jika benar-benar berlaku, yang tertipu dan yang kena perdaya ialah orang Malaysia dan negaranya. Ia hendak lingkupkah dan hendak mampuskah, ia masalah orang Malaysia.

Kalau orang-orang Malaysia bodoh hingga ditipu oleh pemimpinnya dan negaranya ditipu serta dipelekuh oleh penyangak dunia adalah masalah Malaysia. Kalau orang Malaysia dan para pemimpin Malaysia semuanya bodoh, bodohlah kalau penyangak dunia kalau tidak tipu mereka.

Bukan Perancis itu bangsa penjajah yang pernah menindas, memperbodoh, menipu anak-anak tanah jajahannya. Mana mereka belas kasihan kepada orang yang dijajahnya. Dan peguam dan pengamal undang-undang Perancis itu adalah keturunan puak-puak penindas belaka.

Jika betul Malaysia dan kerajaannya menjadi mangsa tipu syarikat pembuat kapal selam, maka kena tipu itu bukan Perancis dan bukan syarikat Perancis yang kena tipu. Lantaknyalah.

Dari apa  yang saya faham, pihak bodoh  dan kena tipu dalam skandal ini ialah Malaysia. Sama ada syarikat Perancis menipu, disengaja atau tidak sengaja, Perancis belum tentu jadi penipu. Yang mungkin menipu itu ialah pemimpin-pemimpin Malaysia sendiri yang dipillih oleh rakyatnya.

Tiada apa rugi Perancis dan jelas yang bodoh bukan Perancis.

Oleh sebab yang besarnya adalah masalah Malaysia, maka Perancis dipercayai tidak gatal untuk bersusah payah melibatkan diri dalam suasana orang-orang bodoh itu. Jika tidak melibatkan kepentingan Perancis, maka tiada sebab Perancis gatal mencampuri skandal itu.

Jika  demikian mengapa mereka bersusah payah?

Mereka bersusah payah bukan masalah yang menimpa Malaysia. Kalau Malaysia hendak mampus, mampuslah. Tetapi mereka tampil ke depan kerana menjaga kepentingan Perancis. Mereka mahu memastikan Perancis tidak jadi tukang karut dalam skandal kapal selam itu. Mereka mahu menjaga nama baik, prestasi dan imej syarikat Perancis sentiasa baik.

Bukan saja mereka tidak mahu syarikat Perancis tipu bangsa mereka sendiri, mereka juga tidak mahu ada orang luar ditipu oleh syarikat Perancis. Jika penyangak Perancis tipu orang luar, mungkin payah sikit hendak mencegahnya. Tetapi syarikat besar Perancis terlibat dalam penipuan, maka Perancis akan malu besar. Mereka tidak mahu ada syarikat Perancis melakukan penipuan baik terhadap rakyatnya mahu pun orang.

Dalam sekandal ini, syarikat pengeluar kapal selam itu sudah disebut. Apakah betul ia skandal? Adakah syarikat Perancis itu berpakat dengan pemimpin Malaysia menipu  rakyat dan kerajaannya?

Perancis tampil dalam kes ini adalah untuk memastikan ada unsur jenayah oleh syarikat Perancis itu. Soal berdepan dengan kerajaan dan pemimpin  Malaysia adalah perkara kedua. Yang pertamanya ia hendak memastikan syarikat Perancis itu jahat atau tidak.

Ada pun usahanya untuk membabitkan Perdana Menteri Najib dan pegawai-pegawai ialah untuk mendapatkan bukti tentang pembuat kapal selam itu curang atau tidak.

Pemimpin Malaysia dalam masalah ini tidak sangat sebagai pihak yang dituduh tetapi lebih sebagai saksi.

Baca juga artikel di bawah :


Siasatan kes Scorpene berjalan, kata peguam

No comments:

Post a Comment