Sunday, October 21, 2012

KIRAAN ATAS KERTAS PAKATAN RAKYAT KALAH DI SELANGOR?



PRU13 medan tempur paling sengit. Selangor menjadi idaman dan sasaran utama untuk dirampas BN. Pesuruhjaya PAS Negeri, Dr Abdul Rani Othman, yang dilantik kejawatan strategik itu lebih setahun lalu, berdepan cabaran terbesar bersama kepimpinan Pakatan Rakyat Selangor untuk mengekalkan kemenangan di negeri termaju itu.


Umum maklum Umno-BN sedia melakukan apa juga kaedah dan taktik untuk menebus kekalahan memalukan lebih empat tahun lalu. Ikuti temu bual wartawan Harakah, AHMAD LUTFI OTHMAN dan SAIDAH HAIRAN bersama Adun Meru itu, di pejabatnya di Meru, Klang.

HARAKAH: Semua orang tahu pilihan raya umum kali ini cukup getir, apatah lagi di Selangor. Umno-BN di bawah Dato' Seri Najib Razak sendiri akan melakukan apa juga taktik untuk merampas negeri termaju ini. Dr merupakan Pesuruhjaya PAS bagi menerajui misi penting dan kritikal ini. Dr Boleh ulas tanggungjawab yang begitu besar?

Selepas saya dipilih Pesuruhjaya, saya merenung di langit dan terbayang wajah ibu saya. Saya terkenangkan keadaan saya mungkin banyak dosa dengan Allah, dosa dengan ibu bapa, dan saya ingin menyampaikan pahala kepada arwah ibu dan bapa saya. Moga dengan amanah besar ini, saya dapat menggerakkan jamaah bersama rakan-rakan, untuk terus lebih maju dan berkembang. Harapan ummah dan rakyat cukup tinggi buat PAS dan saya bersyukur dapat turut serta membantu parti ke tahap yang lebih tinggi, insya-Allah.

Sebenarnya dalam PAS Selangor, ramai orang berkaliber dan berpotensi serta mempunyai lebih ilmu jauh lebih hebat daripada saya. Namun, amanah besar ini mesti saya pikul sebaiknya. Saya sering teringat pesanan Almarhum bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Ustaz Hasan Shukri: "Dr Rani, jika anta yang naik PJ ... anta kena bersifat sebagai ayah." Saya cuba praktikkan pesanan Almarhum Ustaz Hasan itu yang begitu banyak jasa dan pengalaman itu.

Dr aktif dalam PAS sejak bila?

Tahun 1999, di Meru. Emak bapa asal dari Pulau Pinang dan saya lahir di Pelabuhan Klang. Saya bertanding pertama kali dalam pilihan raya 2004. Saya jadi Yang Dipertua PAS Kawasan Kapar tahun 1999. Pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya III PAS Negeri ketika di bawah Pesuruhjaya, Dato' Dr Hasan Mohd Ali.

Dr mengambil alih tampuk kepimpinan Selangor ketika PAS Negeri dilihat seperti bergolak. Macam mana cabaran itu?

Adatlah, memang ada segelintir yang tidak puas hati, tapi saya anggap itu sebagai cabaran dan asam garam dalam perjuangan. Saya beri peluang kepada semua saf kepimpinan untuk memperkukuhkan gerakerja parti. SDaya mahu libatkan lebih ramai pihak, termasuk semua dewan-dewan dalam parti.

Kalau nak buat sidang akhbar kita akan panggil semua, Ketua Pemuda, Muslimat dan Ulama. Teks biasanya disiapkan oleh Ketua Penerangan, Saari Sungib. Dalam sidang media saya cuba babitkan lebih ramai wakil. Kalau bab agama biarlah Ketua Ulama atau pimpinan berlatar belakang agama yang bercakap, kalau Pemuda, ketuanya yang berbicara.

Umumnya, PAS Selangor berjalan lancar. Saya banyak turun padang ke akar umbi dan berjumpa dengan ahli-ahli dan pimpinan kawasan. Tiada masalah untuk mereka menyuarakan pandangan. Alhamdulillah, saya dapat kerjasama yang cukup baik dan memberangsangkan.

Cabaran terbesar PAS, termasuk di Selangor, ialah usaha memikat hati pengundi Melayu. Di Selangor, jika pembahagian kerusi kekal, PAS mendapat peruntukan kerusi agak besar menandakan peranan pentingnya diiktiraf rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat. Bagaimana Dr melibat cabaran di kerusi majoriti Melayu ini, terutama di kawasan luar bandar?

Ya, memang kita harus sentiasa melakukan penambahbaikan terhadap strategi dan pendekatan berdepan pengundi. Kebetulan banyak kerusi yang kita tandingi di kawasan majoriti Melayu dan kita mesti memberikan fokus dan tumpuan kepada mereka. Dalam banyak forum dan perbincangan pun kita diminta untuk fokus pengundi Melayu.

Sebab itu dalam program Semarak Hijau, saya tekankan tidak payahlah buat sangat ceramah di bandar-bandar. Ini kerana orang di bandar sudah tahu siapa yang hendak dipilih. Kita harus lebih banyak dekati pengundi, rasai sendiri kehidupan mereka di kampung-kampung. Ikhlas melakukan kerja-kerja kebajikan bersama mereka, menyelesaikan masalah yang dihadapi, tidak sombong diri, mengambil berat persoalan rakyat, bersikap ringan tangan.

Apa pun, dalam Islam, kita kena yakin dengan Allah. Perjuangan ini, jika kita nampak hanya dunia, kadang-kadang seolah-olah tiada jalan keluar. Bekerjalah tapi jangan lupa Allah. Tsunami politik 2008 itu pun semua kerja Allah.

Sebab itu saya minta ahli dan pimpinan PAS lakukan solat hajat setiap hari. Jika tidak buat di markas, kena buat di rumah. Hanya Allah saja yang boleh ubah hati manusia. Selain kita buat kerja dari rumah ke rumah, menyusun organisasi, kerap turun menyapa akar umbi, memantapkan urusan parti, kita kena berserah kepada Allah.

Lagi satu, hubungan dengan rakyat mesti datang dari hati, dan lakukan usaha secara lebih kreatif. Misalnya, cara saya berkempen, selain mengunjungi dari rumah ke rumah, saya buat 'frame' gambar. Saya akan bergambar dengan orang-orang yang saya kunjungi itu, termasuk ahli-ahli Umno dan 'frame'kan gambar itu untuk diserahkan kepada mereka sebagai cenderahati.

Pengalaman saya, ramai orang di bawah mahukan perubahan. Mereka ini perlu didekati. Buang segala jurang pemisah dengan dekati dan rapati mereka, beri penjelasan sebaiknya, insya-Allah mereka akan tinggalkan Umno. Ramai sedar bahawa Umno telah banyak mengkhianati masyarakat Melayu. Pemimpinnya hanya ghairah bolot kekayaan termasuk melalui rasuah dan salahguna kuasa. Di Selangor banyak kes terpampang di depan mata babitkan ketua-ketua Umno.

Apakah Dr melihat tawaran yang dikemukakan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2013 boleh mempengaruhi pengundi?

Saya terkejut jika rakyat Selangor boleh terpengaruh dengan "bajet Panadol" Najib. Nampak sangat bajet memancing pengundi dan tidak tangani isu-isu besar dan kritikal yang perlu diselesaikan segera.

Bagaimanapun, saya tidak nafikan bajet atau apa juga program BN boleh mempengaruhi orang awam, terutama bila media diperalatkan semahunya. Jika kita berpeluk tubuh dan pandang ringan dengan tawaran BN, maka kita sengaja menempuh risiko. Kita kena gerakkan jentera parti habis-habisan. Jika kita tidak bangun bekerja kuat kita akan hanyut. Kita kena kerja keras, turun bersama rakyat, dekati masalah mereka.

Bagaimanapun, saya sering mengingatkan diri saya dan ahli PAS, tentang pertolongan Allah SWT. Hati manusia Allah yang pegang. Bekerja dan bertawakal.

Bagaimana prestasi Adun serta ahli-ahli Majlis serta Penyelaras Dun Selangor dari kalangan PAS?

Alhamdulillah. Namun, kita kena ingat, ini kali pertama kita menang, sudah tentu tidak sunyi dari salah silap. Dalam mesyuarat Perhubungan Negeri, saya panggil Penyelaras Dun, ketua kampung dan ahli Majlis. Saya tegur kesilapan dan kelemahan. Misalnya, ada ketua kampung yang peruntukan tidak dihabiskan, mungkin kurang pengalaman, tapi saya lihat mereka cepat belajar.

Prestasi rakan-rakan Adun PAS sendiri?

Setakat ini, Alhamdulillah semua okey. Mereka bertugas dengan baik. Harapnya prestasi boleh ditingkatkan lagi. Juga dapat seimbangkan dengan komitmen kepada parti.

Tidak timbul rungutan atau laporan salahguna kuasa terutama berkaitan peruntukan kerajaan?

Tak ada. Peruntukan, saya memang habis setiap tahun. Yang penting, kita langsung tidak ada salah guna peruntukan. Kalau ada teguran yang positif, kita alu-alukan, terima dan segera baiki.

Masalah dalaman tidak menganggu?

PAS sebuah parti yang besar, pasti timbul problem. Saya memilih pendekatan turun ke bawah, berjumpa dan berbincang secara bersemuka dengan pihak yang terlibat. Jika ada yang tidak sependapat, kita cuba selesaikan agar tidak menganggu amanah besar kepada rakyat, terutama yang memegang jawatan tinggi, seperti Yang Dipertua PAS Kawasan dan Penyelaras Dun. Kalaupun ada masalah, jangan boikot atau sabotaj sesama sendiri, berundinglah.

Ada kes-kes yang kita tidak boleh selesaikan dan kita serah kepada Pusat. Nak isi kemenangan ini memang akan timbul sedikit sebanyak masalah. Saya terus terang beritahu, apabila dilantik Pesuruhjaya, saya banyak berhubung dengan pimpinan PAS negeri-negeri yang lebih banyak pengalaman menang, seperti Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Wan Nik Wan Yusof dan bekas Speaker Kerajaan Negeri, Cikgu Wan Rahim Abdullah.

Dalam PRU13 nanti, bagaimana Dr melihat peluang PAS untuk kerusi-kerusi yang ditandinginya di Selangor?

Kita dijangka bertanding 20 Dun dan sasaran kemenangan ialah 16 kerusi. Parlimen pula kita bertanding lapan kerusi. Diharap kita dapat menambah jumlah kerusi. Walaupun ada pihak melihat, dengan kemasukan pengundi baru dari luar Selangor, kiraan di atas kertas, mungkin sukar untuk kita menang tapi saya yakin, dengan kerja kuat bersistematik, insya Allah keputusannya positif.

Dengan program pendemokrasian, yang diterajui kerajaan negeri, peluang kita bertambah. Dalam program itu, petugas akan pergi dari rumah ke rumah, menyemak senarai pengundi, misalnya berapa ramai yang tidak dikenali tetapi didaftarkan dalam rumah tersebut.

Pendemokrasian melibatkan ketua kampung dan tidak melibatkan jentera parti. Ini kerja kerajaan negeri. Jika kerja pendemokrasian sudah habis dan ada nama yang dicurigai, kita akan buat laporan polis. Seterusnya ke mahkamah. Dengan cara ini saja boleh menyelamatkan kerusi PAS dan Pakatan Rakyat.

Dulu kita buat "kerja bodoh", buat bantahan kepada SPR dan SPR jawab akan buang nama-nama yang kita bantah. Kemudiannya nama-nama tersebut akan dimasukkan semula. Kita juga akan sasarkan Jabatan Pendaftaran Negara juga. Umno-BN cukup takut dengan ketegasan kita untuk membuat pilihan raya berasingan dengan kerajaan Pusat. Takut terdedah penyelewengan mereka.

Pilihan raya berasingan lebih menguntungkan kita?

Jika senarai daftar pemilih tidak dibersihkan, tidak mustahil kita kalah. Apabila kita buat berasingan kita akan kenal siapa pengundi di Dun berkenaan. Memang risiko tinggi tetapi lebih bahaya jika daftar pemilih tidak dibersihkan. Apabila kita sebut mahu buat pilihan raya berasingan Umno-BN cukup takut. Sebab mereka takut cara kotor mereka terbongkar. Kita tidak boleh membenarkan ditipu.

Bagaimana pimpinan PAS negeri memilih calon?

Kita sudah hantar semua senarai calon ke Pusat. Semua nama yang dicadangkan dari kawasan dan cawangan, kita akan tengok dan rujuk semula. Ciri yang kita tekankan, selain kelayakan asasi yang diputuskan jamaah, ialah calon boleh menang, sebagaimana yang PAS Pusat tekankan.

Kita tidak kisah sama ada calon-calon seorang doktor atau jurutera, peguam atau ulama besar, tetapi jika tidak campur dengan masyarakat, bermasalah dengan akar umbi, kita tidak akan ajukan nama mereka ke Pusat. Calon mesti individu yang dikenali dan dekat dengan masyarakat. Ini kerana politik adalah untuk memenangi hati dan pemikiran pengundi.

No comments:

Post a Comment