Sunday, October 28, 2012

FITNAH SENTIASA BERJAGA, SEMENTARA AHLI POLITIK KERAP TERTIDUR



Fitnah sentiasa berjaga sementara ahli politik pula kerap tertidur. Ungkapan ini bermaksud, ahli politik sentiasa terdedah kepada apa sahaja yang boleh menjejaskan reputasi mereka pada mata rakyat kerana kealpaan mereka sendiri. Kadang-kadang, ahli politik berkenaan seorang yang ‘baik’, namun yang membuat onar adalah anak atau isterinya.


Pengalaman sendiri; saya terpaksa mengambil masa menjelaskan kepada umum pada suatu masa dahulu (antara tahun 1999 - 2004) hanya kerana saya membeli kereta Proton Saga Automatik, pada hal kereta jenis itu bukan termasuk kereta mewah. Bahkan kereta yang saya beli itu sudah berusia enam tahun. Itu pun selepas kawan-kawan menyarankan saya memiliki kereta yang lebih baik memandangkan kereta saya yang sedia ada kurang sesuai.

Ramai pemimpin Umno dicemuh masyarakat kerana anak atau isteri mereka. Najib dicemuh kerana perangai isterinya. Nazri Aziz dicemuh kerana kerenah anaknya. Suatu ketika dulu, Dr M pernah dihentam juga kerana anaknya. Tidak ketinggalan, ada yang dicemuh kerana adik atau abang, bahkan sampai kepada rakan baik sehingga perkataan kroni menjadi perkataan yang begitu bernilai tinggi bagi orang politik untuk menjatuhkan lawannya.

Pada masa yang sama, ada pemimpin yang dihormati kerana anak atau isterinya. Orang pernah memuji Hasmah, isteri Dr M kerana sikapnya ‘humblenya’. Begitu juga orang memuji isteri Dr Muhammad Mursi kerana sifat rendah dirinya. Tidak ketinggalan, orang turut memuji Tuan Sabariah, isteri TGNA kerana kehidupan biasanya walau pun beliau adalah isteri kepada seorang MB selama 20 tahun.

Hj Mohammad Sabu, seingat saya adalah antara pemimpin yang banyak mengkritik pemimpin PAS kerana gaya hidup mereka dan keluarga. Berbanding pemimpin Umno, pemimpin PAS tidaklah semewah mana, namun apa yang baik bagi orang ‘baik’ adalah ‘buruk’ bagi orang muqarrabin.

Seseorang memberi tahu saya, ada anak MB daripada PR (termasuk anak kepada pemimpin yang berstatus YB) membeli kereta baru. Kalau anak MB itu membeli Persona baru, itu tidak menjadi pertikaian tetapi apabila dia membeli Mini Cooper baru, selepas ayahnya jadi MB, orang mula buka mata. 

Orang tidak kata dia atau ayahnya menyeleweng atau menggunakan kuasa untuk meraih kesenangan untuk diri sendiri dan keluarga. Cuma, orang akan saling berpandangan sesama sendiri dengan penuh makna apabila terpandang anak MB naik kereta baru yang agak luar biasa bagi mereka.

Itulah namanya fitnah. Seorang ayah terpalit dengan persepsi buruk masyarakat umum hanya kerana tindakan luar biasa anak. Sepatutnya anak itu tidak berbuat begitu dan sepatutnya di ayah juga tidak boleh alpa untuk mengingatkan anaknya mengenai perkara itu. Kecuali, sudah terbukti semenjak awal, yakni sebelum ayahnya menjadi MB, dia adalah seorang ‘bisnes man’ yang berjaya. Kalau ayahhya tidak jadi MB pun, dia mampu memiliki semua itu.

Tindakan anak MB itu menyusahkan PAS dan orang PAS bahkan menunaskan fitnah di dalam PAS. Ketika orang biasa PAS ke hulu dan ke hilir berkempen mengajak orang ramai menyumbang kepada PAS untuk berdepan dengan Umno / BN, tiba-tiba anak pemimpin PAS bergaya dengan kereta bagus. Bayangkan perasaan orang biasa PAS yang naik motor ketika itu, atau orang biasa PAS yang berkereta Toyota Ke 20 yang berkhidmat tanpa pernah bermimpi untuk menikmati kelembutan ‘speed’ Mini Cooper.

Betul, saya tidak menafikan bahawa ada anak pemimpin PAS yang berjaya dalam bisnes masing-masing. Namun, kedudukan mereka sebagai anak pemimpin sepatutnya menyedarkan mereka supaya tidak melakukan sesuatu yang membibitkam fitnah kepada ayah mereka. Fitnah kepada ayah mereka adalah fitnah kepada PAS kerana ayah mereka adalah pemimpin PAS.

Mereka perlu menerima hakikat bahawa mereka tidak seperti orang lain. Mereka anak pemimpin yang diperhatikan dan dipersoalkan. Sama seperti Nabi pernah mendidik para isterinya menerima hakikat bahawa mereka adalah isteri seorang nabi, walau pun naluri kewanitaan mereka mendesak mereka untuk hidup seperti isteri para pemimpin yang lain yang bukan nabi.

Sama juga seperti Umar bin Abdul Aziz menyedarkan anak-anaknya bahawa mereka adalah anak kepada amirul mukminin. Mereka boleh hidup sesuka hati mereka jika mereka bukan anak seorang amir.

Ayah mereka tentu sahaja pandai mengemukakan hujah untuk menjustifikasikan tindakan mereka, namun hujah ayah mereka tidak berupaya memadam api fitnah yang terus ditiup supaya marak itu.

Justeru, anak-anak pemimpin PAS perlu berusaha keras memadamkan fitnah ini. Dan, jika PR gagal mendapat tempat di hati rakyat, PR terfitnah kerana perbuatan mereka itu, rakyat yang cintakan keadilan akan mengutuk mereka sepanjang zaman.

No comments:

Post a Comment