Saturday, September 1, 2012

PULUHAN JUTA WANG DIBELANJAKAN, JALUR GEMILANG TIDAK JUGA BERKIBAR


Oleh : Aspan Alias

Semalam genap 55 tahun negara kita merdeka dan begitu rapi persediaan yang diuruskan untuk merayakan hari kemerdekaan ini oleh kerajaan. Perayaan ini merupakan satu perayaan yang termahal sekali dan itu tidak mengapalah kerana memang sudah menjadi budaya kita berbelanja berlebih-lebihan untuk perayaan. Wang yang dibelanjakan pun bukannya duit siapa tetapi duit rakyat yang membayar cukai dengan keringat dan darah mereka.


Perayaan mengingati hari kemerdekaan di negara kita merupakan perayaan yang terboros sekali. Setahun yang lepas saya sempat melihat majlis ulang tahun negara Australia melalui kaca TV yang saya sudah lupa dari saluran mana. Tetapi Australia merayakan secara ‘simple’ tetapi meriah. Majlis itu yang berlangsung dalam kurang dari dua jam hanya mendengar ucapan Perdana Menteri yang ringkas. Tidak ada bas disewa oleh kerajaan untuk mengangkut orang ramai dengan elaun kehadiran sebanyak RM30, baju-T dan sebagainya.

Semua Ahli Jemaah Kabinetnya hanya duduk di atas barisan kerusi yang ‘simple’ dan mudah dan kita boleh tahu mereka tidak menggunakan wang rakyat yang begitu banyak untuk merayakan hari kebangsaan mereka. Sebaliknya kita di sini membelanjakan wang rakyat berpuluh-puluh juta untuk merayakan hari kebangsaan kita. Tetapi tak mengapa juga rakyat kita kebanyakannya tidak kisah harta benda mereka diperkosa seperti ini dan ada yang masih memberikan sokongan pihak yang membelanjakan wang mereka dengan boros itu.

Tetapi selain daripada memberikan komen tentang pembaziran ini saya ingin memberikan pemerhatian saya terhadap perayaan hari kebangsaan kita yang saya nampak tidak mendapat sambutan rakyat. Banyak publisiti yang kita dengar dan lihat tentang seruan untuk menaikkan ‘jalur gemilang’, tetapi di mana-mana kita pergi orang ramai tidak nampak jalur gemilang dikibarkan di premis-premis perniagaan dan rumah-rumah kediaman rakyat yang ramai.

Keadaan ini lebih jelas lagi dari keadaan semasa perayaan hari kebangsaan pada tahun 2008 dahulu. Kali ini tidak nampak semangat mengibarkan jalur gemilang itu lagi. Kereta-kereta serta teksi-teksi yang baru sahaja mendapat empat biji tayar pun tidak nampak mengenakan jalur gemilang di kenderaan-kenderaan mereka. Malahan situasi hambar tentang pengibaran jalur gemilang kali ini adalah yang terburuk dan terendah sekali penyertaan dari rakyat ramai.

Rakyat nampaknya sedang menjelaskan lagi sikap dan pandangan serta pendirian mereka terhadap seruan media yang meluas supaya semua rakyat mengibarkan jalur gemilang pada 31 Ogos ini. Nyata rakyat ramai tidak bersama memeriahkan hari kebangsaan ini dan elok setiap orang mengkaji kenapa keadaan ini berlaku. Yang pasti rakyat tidak boleh dipujuk-pujuk dengan duit-duit raya atau hadiah-hadiah yang tidak boleh menjamin masa depan negara mereka. Rakyat merasa jemu dengan cara pimpinan hari ini melayan mereka seperti melayan kanak-kanak ‘kindergarten’: boleh dipujuk dengan gula-gula dan coklat sahaja.

Kedapatan ramai yang mendapat jalur gemilang secara percuma pun enggan mengibarkan jalur gemilang di premis-premis kediaman mereka. Dengan sambutan hambar ini kita boleh membuat penilaian secara ‘conclusive’ yang rakyat tidak lagi menghiraukan perayaan hari kebangsaan ini. Tentulah situasi seperti ini berlaku dengan bersebab.

Bagi mereka yang serius membuat pemerhatian ini akan secara automatik berpendapat yang itu merupakan ‘reflection’ atau ‘manifestation’ rakyat terhadap kekurangan keyakinan terhadap kepimpinan negara.

Dalam kita sedang berada di ambang pilihanraya, kita sudah boleh menilai dengan agak tepat apa yang akan berlaku di dalam pilihanraya nanti, dan keputusannya merupakan keputusan yang ‘predictable’. Orang ramai berpendapat perbelanjaan yang terlalu boros itu merupakan tanda pimpinan sekarang tidak sayangkan negara kerana yang akan kekeringan adalah perbendaharaan rakyat.

Kepada rakyat kini, cara pimpinan kita berbelanja wang rakyat untuk majlis-majlis keramaian dan parayaan ini serupalah seperti tindakan-tindakan makhluk perosak. “Leaders of these days are bunch of pests,” kata seorang kenalan yang bersama-sama saya minum kopi di salah sebuah kedai mamak di Subang Jaya semalam.

“Giving Pakatan Rakyat the opportunity to take over the government is not an option. It’s a must,” kata seorang lagi bekas pegawai tinggi kerajaan yang baru sahaja bersara sebulan yang lalu.

No comments:

Post a Comment