Friday, September 28, 2012

NAJIB PERLU TUMPU KEBAJIKAN RAKYAT, HENTI KEPENTINGAN KRONI – ANWAR IBRAHIM



KUALA LUMPUR 29 September: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Bajet 2013 BN yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang ini perlu menghentikan pengagihan kekayaan kepada kepentingan keluarga dan kroni, sebaliknya mengambil kira seluruh kebajikan rakyat.

Katanya, kerajaan perlu mengutamakan perkara ini bagi menjimatkan perbelajaan negara supaya ia dapat diagih untuk rakyat.

“Pakatan Rakyat telah bentangkan belanjawan kami. Kita harap Najib belajar untuk meneliti belanjawan Pakatan supaya tidak ada pembaziran rasuah tetapi mengamalkan tadbir urus yang baik,” katanya semalam.

Pada pembentangan belanjawan BN di Parlimen hari ini, Najib dijangka mengumumkan banyak ‘gula-gula’ pilihan raya kepada rakyat sebagai langkah cepat untuk menarik sokongan menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, bajet sedemikian tidak akan mapan dan tidak meningkatkan tanggungjawab fiskal kerana isu-isu tadbir urus dan kebertanggungjawaban tidak ditangani.
“Selagi anda tidak bertanggungjawab, pembaziran dan rasuah tidak ditangani, bajet anda tidak boleh dilihat sebagai boleh dipercayai,” kata Anwar dipetik The Malaysian Insider.

Menurutnya, kerajaan perlu memastikan rangka kerja asas Bajet 2013 adalah untuk memastikan perbelanjaan cekap dan mencegah kebocoran, sebelum memutuskan untuk melancarkan langkah-langkah yang bermanfaat kepada rakyat.

“Saya mahu bajet bertanggungjawab, yang serius menangani isu-isu melibatkan orang ramai.
“Apabila anda menganggap ini kerangka utama, secara semula jadi, isu-isu pembasmian kemiskinan datang bersama-sama kerana terdapat banyak pembaziran pada masa ini.

“Anda mesti melihat isu-isu melibatkan golongan miskin, perumahan awam adalah isu utama dan tentu saja isu harga di mana terdapat monopoli ke atas harga barangan keperluan seperti gula dan beras,” kata Anwar lagi.

Dalam Belanjawan 2013 yang dibentangkan Anwar Rabu lalu, Pakatan menggariskan rancangan untuk menurunkan harga kereta dengan mengurangkan duti eksais, menyediakan pendidikan percuma dan mengetepikan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Selain itu, turut ditekankan, reformasi dan ketelusan GLC, membina daya saing ekonomi, mengangkat martabat wanita, hasil minyak untuk negeri, reformasi membanteras jenayah dan perumahan untuk rakyat./KeadilanDaily

No comments:

Post a Comment