Sunday, August 12, 2012

UNDANG-UNDANG BARU INTERNET: ORANG LAIN BUAT, ANDA KENA

KUALA LUMPUR, Kerajaan Barisan Nasional akan menguatkuasakan pindaan Seksyen 144A Akta Keterangan 1950 yang akan menjadikan semua pemilik laman web, blog, facebook dan twitter sebagai pesalah walaupun komen di dalamnya dibuat oleh orang lain.

Dengan itu, kerajaan UMNO-BN terbukti telah mengamalkan kezaliman bahawa “anda didapati bersalah sehingga dibuktikan benar”.

Melalui Seksyen 144A, jika pemilik laman internet kena godam (hacked), kesalahan tetap dikenakan ke atas pemilik laman-laman tersebut.

Biasanya komen dan serangan di alam internet sering dilakukan oleh pecacai siber pro-UMNO dengan kata-kata fitnah, bohong, lucah dan membenci kaum serta agama. Mereka sering menyerang laman-laman internet yang mahu kepada keadilan, kebebasan dan demokrasi.

Justeru, DAP menyokong penuh kempen Internet Blackout Day pada Selasa ini (14 Ogos), yakni kempen membantah penindasan kerajaan UMNO-BN yang mahu mengawal kebebasan internet.

Kempen ini dianjurkan oleh The Centre for Journalism (CIJ) Malaysia sebagai protes terhadap pindaan Akta Keterangan (No. 2) 2012 yang diluluskan pada 9 Mei 2012 di Dewan Negara dan digazet oleh Menteri (Undang-Undang) di Jabatan Perdana Menteri yang menyekat kebebasan bersuara dan bermaklumat rakyat

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, pindaan itu menyebabkan rakyat Malaysia akan dipertanggungjawabkan di atas setiap isi kandungan yang terdapat dalam laman-laman akaun Facebook, Twitter, blog atau forum internet termasuklah komen dan artikel yang ditulis oleh orang lain.

“Kita percaya bahawa pindaan itu boleh ditafsirkan sebagai satu percubaan oleh pihak berkuasa dan polis untuk menapis apa yang boleh dan tidak boleh diperkatakan di internet.

“Peraturan yang diluluskan itu dilihat berniat tidak baik dan ianya akan melemahkan tujuan internet sebagai salah satu wadah untuk menyebarkan maklumat dan memudahkan perbincangan secara terbuka,” katanya.

Beliau menjelaskan, orang yang dicuri identiti mereka dalam talian (yakni orang lain menyamar sebagai anda) juga boleh dikenakan tindakan di bawah akta ini jika kandungan yang dianggap ‘salah’ oleh kerajaan UMNO-BN diterbitkan dalam talian menggunakan akaun yang dicuri.

“Ini bermakna, semua pengguna internet tidak akan terkecuali mungkin menjadi mangsa akta ini.

“Apa yang menakutkan, anda akan mudah sahaja menjadi mangsa sekiranya ada pihak mencipta akaun Facebook, Twitter atau emel menggunakan nama dan maklumat anda dan melakukan ‘kesalahan’.

“Ini adalah kerana Seksyen 114A menganggap bahawa anda ialah pemilik sebenar akaun terbabit termasuklah sekiranya rangkaian wifi rumah anda dicuri atau digodam oleh pihak lain,” tambah beliau.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, pindaan akta itu akan menyebabkan hotel, restoran dan kafe siber tidak mahu lagi menawarkan akses internet kepada pelanggan kerana takut mereka akan dikenakan tindakan undang-undang.

Apa yang anda boleh lakukan?

Layari http://stop114a.wordpress.com/get-involved/website-owners-and-bloggers/ dan ikuti langkah-langkah yang diterangkan dengan teliti.

Untuk maklumat lanjut, layari http://stop114a.wordpress.com/ dan http://dapmalaysia.org/stop114a/



No comments:

Post a Comment