Monday, August 20, 2012

MENJELANG RAYA: SEDIH DAN SENTIMENTAL ANWAR DI PENJARA


SHAH ALAM, 20 OGOS: Meskipun beliau dianggap sebagai ‘fighter’ dalam arena politik negara dan antarabangsa, kehilangan ibu tercinta tatkala berada di dalam penjara adalah sesuatu yang amat menyentuhi perasaannya.


Demikian luahan hati Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab satu soalan dalam program ‘Borak Bersama Anwar’ yang disiarkan di portal video YouTube baru-baru ini.

Menurut Anwar, kerinduan terhadap Allahyarhamah ibunya itu semakin terasa setiap kali menjelang hari raya.

“Ia bukan sahaja sentimental sebenarnya, tetapi menyedihkan kehilangan ibu semasa saya dalam penjara.

“Masa kanak-kanak, amat teruja setiap kali menjelang raya mengenakan baju baru dan ibu bapa ada bersama,” ujar beliau.

Anwar, seorang bekas Timbalan Perdana Menteri, dipenjarakan daripada 1999 ke 2004 di atas tuduhan salah guna kuasa dan liwat.

Beliau mendakwa tuduhan-tuduhan tersebut adalah palsu dan direka oleh pentadbiran Umno-BN pada masa itu untuk menhancurkan karier politiknya.

Bagaimanapun kata Anwar, beliau bersyukur kerana masih memiliki keluarga yang dapat mengubati kerinduannya terhadap ibunya.

Selain itu beliau turut sempat menceritakan pengalaman beliau beraya di dalam penjara Sungai Buloh.

“Bila menjelang raya, tentulah kita mahu berada disamping keluarga, tetapi saya hanya dapat bersama keluarga kira-kira setengah jam sahaja,” katanya.

Program Interaktif yang dikendalikan oleh Sharifah Shahidah Syed Kamarulzaman dan disiarkan selama sejam itu merupakan satu program ‘Google Hangout’ yang melibatkan ahli politik Asia Tenggara.

Ia dikendalikan di studio TVSelangor.

Antara pemimpin dunia lain yang pernah ditampilkan dalam program sama adalah Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama.

No comments:

Post a Comment