Friday, August 31, 2012

HUDUD: JANGAN MEMBENARKAN YANG SALAH DAN MENYALAHKAN YANG BENAR


Oleh : Aspan Alias
 
Saya tidak pernah menulis tentang isu hudud sebelum ini kerana saya bukan seorang yang berkelayakan untuk bercakap dan berbahas tentang isu itu. Mungkin saya seorang yang begitu jahil kerana saya lihat semuanya bercakap tentang hudud dan apabila mereka bercakap dan berbahas tentang isu itu tentulah mereka ini sudah mahir dan memahami isu hudud ini dengan tepat termasuk mereka yang berada di dalam kerajaan sekarang.


Hanya yang saya tahu sebagai seorang Islam kita tidak boleh memakai separuh undang-undang agama kerana ia bersesuaian dengan kehendak kita dan menolak separuh lagi kerana undang-undang itu mungkin menjejaskan kepentingan peribadi lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan politik. Kalau kita beragama Islam kita wajar dan berkewajipan untuk menerima segala hukum yang disyariatkan Tuhan itu.

Jika kita melanggarnya, kita akui sahaja yang kita engkar dengan hukum itu. Tidak boleh kita kata setengah hukum Tuhan itu zalim dan tidak boleh dan praktikal dilaksanakan. Saya tidak ada keberanian seperti yang ada pada Dr Mahathir yang pernah mengatakan yang hukum hudud itu hukum yang zalim pada suatu masa dahulu. Saya sendiri selalu terlanggar banyak hukum yang disyariatkan Tuhan, tetapi saya tidak berani mengatakan hukum Tuhan itu zalim atau tidak baik dan sesuai dengan keperluan kita di negara ini.

Hukum Islam itu adalah ‘universal’ dan jangan sekali-kali menentang atau menolaknya. Hukum itu tidak boleh dikatakan sesuai bagi satu negara dan tidak sesuai dengan rakyat dan negara lain. Saya tidak berani mengatakan hukum Islam itu salah semata-mata ia menjejaskan kebebasan saya untuk melakukan sesuatu untuk kepentingan peribadi saya.

Hudud tidak diberikan penerangan yang meluas kepada rakyat oleh kerajaan selama ini. Ramai di kalangan orang Islam sendiri tidak memahami tentang hukum agama kita ini dan ia termasuklah diri saya sendiri. Jika kita sendiri tidak memahami sepenuhnya tentang hudud ini bagaimana kaum bukan Islam hendak memahaminya? Tetapi saya berani menulis sedikit setakat cebisan yang saya tahu. Selebihnya itu biarlah mereka yang berisi ilmu fiqh yang tinggi sahaja untuk memberikan fakta yang jelas tentang hudud yang sebenarnya.

Kita mesti akui yang Allah itu Maha Mengetahui dalam segala-galanya. Tuhan itu Maha  Adil serta Maha Pengasih dan Penyayang. Kita selalu menyanyikan segala nama sifatnya dan tidak mungkin apa yang diturunkanNya itu tidak sesuai dengan semua umatNya di dunia ini. Jadi isu yang berbangkit sekarang tidak lebih dari isu politik semata-mata. Memang senanglah hendak menjadikan isu ini sebagai isu politik kerana pihak yang takut dengan hukum yang mereka tidak memahaminya akan dengan mudah menjadikannya sebagai isu.

Saya rasa Dr Mahathir tahu yang hukum ini adalah hukum Allah kerana beliau adalah seorang Muslim. Tetapi mungkin oleh kerana beliau jahil dalam isu ini seperti saya, maka beliau telah menolaknya semasa beliau menjadi PM dahulu mentah-mentah. Bezanya Mahathir ini berani orangnya dan beliau berani mempersoalkan hukum yang diturunkan oleh Tuhannya.

Apa yang membuatkan beliau berani untuk tidak meyakini hukum ini saya tidak tahu. Tetapi oleh kerana beliau bercakap dalam konteks politik maka itulah kemungkinan yang menyebabkan beliau berani menolaknya dan menyekat hukum hudud itu terlaksana. Saya tidak berani menolaknya kerana saya akui hukum itu datangnya dari Tuhan kepada agama yang saya anuti semata-mata hendak menang perbahasan politik.

Saya tahu saya hanyalah makhluk yang bersifat baharu dan tidak terlepas daripada melakukan dosa dan noda lebih-lebih lagi semasa muda dan zaman remaja dahulu. Kita berkewajipan untuk melakukan introspeksi diri sendiri dan berusaha untuk membetulkan kesilapan kita yang lalu secara serius.

Bagi saya, saya mengakui yang saya tidak mampu untuk memberikan ulasan tentang isu ini dengan mendalam. Mungkin saya boleh menyambung artikel ini besok atau lusa kerana setakat sekarang ini artikel ini pun sudah cukup panjang.

Artikel yang panjang mungkin membuatkan orang ramai yang mengunjungi blog ini merasa jemu terutamanya kepada yang tegar tidak sehaluan dengan saya. Besok lusa saya sambung lagi dan saya akan memberikan pandangan saya tentang isu ini kerana isu ini adalah isu yang berkaitan dengan akidah kita.

Saya tidak berani untuk membenarkan yang salah dan menyalahkan yang benar.

Sebagaimana yang saya janjikan saya menyambung apa yang saya tulis dalam posting saya semalam.

Hudud ini, jika dipersoalkan berlebihan ia akan hanya menjadikan seseorang itu dipandang tidak mempunyai keyakinan terhadap hukum Tuhan itu. Walaupun ada seorang pemimpin besar negara yang sekarang menafikan beliau bukan tidak bersetuju dengan hudud tetapi beliau tidak bersetuju dengan hudud PAS.

Kenyataan beliau ini menjelaskan kepada kita beliau bercakap di atas premis politik dan menganggap hudud yang hendak diperjuangkan oleh PAS itu adalah hudud ciptaan PAS. Kenyataan ini merupakan satu kenyataan seorang yang hanya celik mata zahir tetapi sudah buta mata hatinya.

Beliau membutakan hatinya kerana bermain politik kepartian yang terlalu menebal sehinggakan di waktu partinya sudah hampir tumbang dan terumbang ambing beliau sanggup membuat keyataan yang bertentangan dengan agamanya sendiri. Apa yang hendak dibawa oleh PAS itu ialah hukum yang diturunkan oleh agama dan Tuhan kita.

Adalah tidak munasabah menuduh yang hudud yang diperjuangkan oleh PAS adalah hudud PAS. Untuk mendapat penyelesaiannya yang terpenting bagi kita yang berbeza parti politik ini wajar terlebih dahulu untuk mengakui yang hudud itu adalah hukum Tuhan. Itu yang perlu dilakukan dahulu kerana jika kita tidak percaya yang hukum itu adalah hukum Tuhan maka sampai bila isu ini tidak akan selesai.

Bagi saya hudud adalah undang-undang untuk semua orang Islam dan itu datangnya dari Tuhan yang maha adil dan saksama. Hudud ini wajar diterima oleh semua orang Islam kerana itu adalah undang-undang agamanya. Tetapi jika tidak mampu melaksanakannya jangan pula dihina undang-undang itu. Segala yang baik ini bukan senang untuk dilakukan dan tidak menjadi masalah jika ianya diikuti secara beransur-ansur sehingga dapat terlaksana dengan sepenuhnya.

Yang penting usaha mesti ada dari mana-mana pihak untuk membina keyakinan yang hudud itu adalah perintah Tuhan dan kita laksanakan secara beransur-ansur. Kata orang tua-tua, ‘kerja beransur-ansur itu tidak bertahan’. Susah senangnya untuk melaksanakan hukum Tuhan ini sebenarnya berada di dalam pemikiran kita. Jika kita berfikir yang ia susah untuk dilaksanakan maka susahlah ia. Tetapi jika kita serius maka ia akan dapat dilaksanakan dengan mudah dan senang.

Oleh kerana yang memberi komen ini meyalutkan unsur politik biar kita jawab dengan bersalutan politik juga. Kini pemimpin politik terutamanya di pihak UMNO dan BN sedang berusaha untuk memecah-belahkan pembangkang dengan isu ini. MCA (Chua Soi Lek) sehingga hari ini memainkan isu hudud yang bukan pun hukum agamanya dengan terang-terangan dan UMNO sebagai rakan kongsinya mendiamkan diri kerana UMNO sendiri memang telah menolak hukum ini. Jadi semua pari-parti dalam BN menolak hudud terang-terangan tanpa segan silu.

Chua Soi Lek telah memaksa Lim Guan Eng untuk menolak PAS kerana perjuangan untuk melaksakan hudud untuk orang Islam kita. Niatnya ialah untuk menakut-nakutkan kaum Cina dan bangsa lain yang telah menolak UMNO dan BN sekarang ini. Dalam perbahasan terbuka di antara Soi Lek dengan LGE beberapa bulan dahulu LGE telah memberitahu Soi Lek yang DAP menghormati agama dan kepercayaan orang lain. LGE dan DAP bukannya seperti MCA yang memaksa UMNO menolak hudud kalau UMNO tidak mahu MCA meninggalkan BN.

Dengan jawapan LGE dalam perbahasan itu dan dalam siding media bersama Pakatan Rakyat telah memberikan pendirian rasmi DAP yang parti itu menghormati agama dan kepercayaan pihak dan agama lain. Dalam erti lain DAP tidak menentang dan membenci hudud itu secara rasmi dan sanggup bekerjasama dan terus-menerus melaksanakan apa yang telah bersama-sama dipersetujui seperti yang terkandung di dalam buku jingga Pakatan Rakyat dan tidak mahu isu hudud itu menjadi penghalang kepada kerjasama dan permuafakatan di dalam Pakatan Rakyat itu.

Suara-suara terpencil seperti suara Karpal Singh itu merupakan elemen yang biasa di dalam mana-mana pertubuhan termasuk dalam pertubuhan politik. BN nampaknya menggunakan isu Karpal Singh ini sebagai isu yang besar untuk menakut-nakutkan orang Melayu sedangkan UMNO yang sedang berkuasa pun tidak membuat sesuatu pun untuk melaksanakan hukum agamanya sendiri. 

Apa yang dihairankan jika Karpal Singh mengeluarkan kenyataan peribadi menentang hudud itu? Karpal bukannya beragama Islam. Tetapi Mahathir atau Najib pemimpin besar UMNO yang beragama Islam sendiri mempersendakan hukum agamanya sendiri, kenapa pula hendak marahkan Karpal yang bukan beragama Islam menentang hukum Tuhan kita ini? UMNO tidak mahu dan enggan untuk membuktikan bahawa hudud itu adalah adil untuk semua.

Kepada pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO, saya berharap jangan dipersendakan hudud ini. Jika tidak mampu untuk melaksanakannya berikanlah penghormatan kepada pihak yang sedang berusaha untuk melaksanakannya. Jangan dipersendakan yang hukum ini adalah ciptaan PAS kerana PAS seperti juga dengan orang-orang Islam lain bertuhankan Allah swt.

Setidak-tidaknya berikan pendirian seperti DAP yang secara rasminya menghormati kaum lain dengan agamanya. Jika sebelum ini DAP dimomokkan sebagai parti kafir kenapa sekarang keadaan dan pendirian di antara DAP dan UMNO itu sudah terbalik?

DAP menghormati tujuan PAS untuk melaksanakan hudud sedang UMNO dari dulu menghalang perlaksanaan hudud ini secara terbuka. UMNO sehingga hari ini tidak mahu memberikan pengakuan secara rasmi yang hudud itu datangnya dari Allah swt dan jika kita bersama-sama beriman maka mengakuinya merupakan usaha memperkuatkan tahap keimanan kita.

Perbezaan di antara DAP dengan PAS mungkin wujud, tetapi di atas perbezaan inilah yang telah membina permuafakatan di dalam Pakatan Rakyat itu. Kita mesti ingat jika tidak ada elemen perbezaan maka tidak aka nada elemen permuafakatan itu sendiri. Kita juga tahu yang BN ada permuafakatan tetapi permuafatan mereka ialah untuk bersama-sama untuk mempersendakan hukum agama dan Tuhan kita.

Kita kepingin untuk mendengar UMNO mengakui secara rasmi yang hudud itu adalah hukum Tuhan kita sendiri, bukannya dari mana-mana. Tetapi sebaliknya kita mendengar kata-kata berunsur orientalis seperti ‘lebih baik bekerjasama dengan syaitan yang kita kenali dari malaikat yang kita tidak kenali’ dan sebagainya yang menyesatkan kita semua.

Sampai bila kita dikelirukan oleh politik murahan pihak yang sedang dalam ketakutan ini?

Baca juga artikel ini :

CSL, Jangan hangatkan isu agama kerana politik MCA

No comments:

Post a Comment